Projek Lebuhraya Pantai Timur pertama kali diumumkan pada tahun 1994 oleh kerajaan persekutuan. Pada masa itu, kerja-kerja naik taraf Lebuhraya Karak E8/FT2 daripada lebuh raya dua lorong kepada lebuh raya ekspres penuh oleh MTD Prime sedang berlangsung. Pada masa itu, LPT dirancang sebagai sebuah laluan yang berasingan daripada Lebuhraya Karak E8/FT2, sungguhpun ia dirancang sebagai sambungan daripada Lebuhraya Karak E8/FT2, dengan kod laluan tentatif E22. Kini, kod laluan E22 telah digunakan oleh Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) E22.

Pada mulanya, syarikat konsesi asal bagi projek LPT ini adalah sebuah konsortium yang dianggotai MMC Corporation Berhad [melalui anak syarikatnya, Projek Lebuhraya Timur Sdn. Bhd. (Pelita)], MTD dan MRCB. Namun, disebabkan kos pembinaan yang dianggarkan terlalu tinggi, maka MTD dan MRCB menarik diri daripada konsortium tersebut, meninggalkan Pelita meneruskan projek tersebut sendirian. Perjanjian konsesi ditandatangani pada 9 September 1998, tetapi akhirnya langsung tiada sebarang petanda kerja-kerja dimulakan – tiada kelibat jentera mahupun buruh-buruh binaan. Disebabkan tiada sebarang kerja yang dilakukan, perjanjian konsesi terbatal – Pelita akhirnya sudah padam…!!!

Perkembangan tersebut sudah tentunya menjadi kontroversi di kalangan rakyat. Pada tahun 1999, Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, mengumumkan bahawa kesemua projek lebuh raya ekspres pada masa itu ditangguhkan atas alasan “rakyat Malaysia masih belum bersedia membayar tol bagi menikmati lebuh raya berkualiti tinggi”. Menteri Kerja Raya pada ketika itu, Datuk Seri Samy Vellu kemudiannya menerangkan bahawa projek lebuh raya yang dimaksudkan oleh Tun Dr. M itu hanyalah melibatkan projek-projek yang masih belum ditandatangani, dan LPT tidak termasuk dalam senarai projek yang ditangguhkan itu. Setelah kerajaan negeri Pahang, Terengganu dan Johor merayu agar projek lebuh raya dalam negeri-negeri mereka tidak ditangguhkan, maka kerajaan persekutuan bersetuju untuk meneruskan projek LPT itu.

Untuk membolehkan projek LPT dihidupkan semula, kerajaan persekutuan mengambil keputusan untuk membiayai sendiri projek tersebut dan seterusnya melantik MTD sebagai syarikat konsesi berasaskan perjanjian turnkey contract, yang mana pemilik sebenar LPT ialah kerajaan persekutuan; MTD hanya sekadar membina, menyelenggara dan mengutip tol atas nama kerajaan persekutuan. Ia berbeza dengan kebanyakan model perniagaan lebuh raya ekspres yang lain yang mana syarikat konsesi memiliki lebuh raya yang diselenggara oleh mereka sehingga tamat konsesi. Sebab utama kenapa MTD dipilih sebagai syarikat konsesi bagi LPT adalah kerana MTD berupaya menawarkan kos pembinaan yang paling rendah.

Bagaimana MTD mampu menawarkan kos pembinaan yang rendah…? Ia bukanlah bermaksud MTD banyak menggunakan bahan binaan berkualiti rendah ataupun “menggunakan jalan pintas kejuruteraan”, tetapi sebenarnya penjimatan kos yang sebegitu banyak dapat dihasilkan melalui pemilihan jajaran yang paling ekonomik. Dalam reviu Blog Jalan Raya Malaysia mengenai LPT E8 Fasa 1, anda akan mendapati bahawa majoriti jajaran LPT E8 melalui kawasan hutan tebal, dan jarak setiap persimpangan dari bandar-bandar utama yang dihubungkannya selalunya mencecah sehingga belasan kilometer jauhnya. Pengambilan kawasan hutan sebagai laluan lebuh raya ini telah banyak menyumbang kepada penjimatan kos yang amat ketara, memandangkan kos pengambilalihan tanah dapat diminimakan.

Namun, pembinaan LPT Fasa 1 tidak terlepas daripada onar dan duri. Pada tahun 1999 semasa Pilihan Raya Umum ke-13, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berjaya merampas negeri Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) dengan bermodalkan manifesto memansuhkan kutipan tol di Terengganu. Mereka telah berjaya memansuhkan kutipan tol di Jambatan Sultan Mahmud FT65 sebaik memenangi pilihan raya, dan mereka membantah keras kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur. Akibatnya, projek LPT hanya dilaksanakan di negeri Pahang terlebih dahulu. Selain perselisihan politik di Terengganu, masalah banjir besar di Pahang sedikit sebanyak mengganggu kelancaran pembinaan LPT Fasa 1. Sungguhpun demikian, MTD telah berjaya menyiapkan projek LPT Fasa 1 pada tahun 2004, betul-betul tepat pada masanya. Ia dibuka secara rasminya pada 1 Ogos 2004, manakala sambungannya ke Jabor dibuka pada Julai 2007. Semasa pembukaannya, Lebuhraya Pantai Timur diwartakan sebagai Lebuh Raya Ekspres dengan kod laluan rasmi E8, sebagai sambungan kepada Lebuhraya Karak E8/FT2.

———————-

Ana tak kata lebuhraya ini tak ada guna. Banyak gunanya. Memang bagus untuk rakyat. Tapi kalau dah bina lebuhraya dengan kaedah yang cepat dan murah, sebab itulah nyawa rakyat jadi taruhan.

Pada ana, ada dua faktor lebuhraya ini makan nyawa orang:-

1. Pembinaan yang teruk

2. Sikap pemandu

Ana rasa, artikel yang ditulis kat atas tu boleh beri sedikit gambaran. Ini projek kroni dan nak dapat untung cepat.

Tapi pada ana, masalah pemandu kita pun ya juga. Pemandu kita ni nak cepat sangat. Kalau memandu, mesti nak cepat dari orang lain. Itu petanda kita pakai kereta bagus.

Perjalanan KL-Kuantan sebenarnya memenatkan. Boring pun ya jugak. Tak ada apa nak perhati. Pemandangan sama sepanjang jalan. Bila dah penat, dan kita sambung terus ke Terengganu, mata kita akan cepat penat. Kita mengantuk. Sudahnya, kita landing belakang lori.

Kalau boleh, masuk la Kuantan kejap. Rehatkan diri. Minum teh tarik dulu. Baru mula semula perjalanan ke Ganu.

Lagi satu, tak payahlah TV nak interview MB Terengganu pasal isu ini. Buang masa. Tak pandai lalu bercakap. Teruk sangat lah. Tak ada standard MB lalu. Standard Pegawai PPD sahaja.