Bekas naib presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata keputusan sama ada menerima atau menolak pelantikan sebagai ahli jawatankuasa PAS pusat adalah “perhitungan hidup mati karier beliau dalam PAS.

Menurutnya, beliau masih belum menjawab secara rasmi “tetapi beberapa jam yang lalu, telah riuh rendah di media baru tentang berita perlantikan saya sebagai AJK Pusat.”

“Ada yang memberi nasihat dan memujuk. Ada yang memberi amaran dan ancaman memutuskan persahabatan,” katanya dalam catatan di Facebook semalam, sambil menambah beliau “tak boleh marah-marah”

“Itulah asam garam dunia politik yang saya telah pilih dengan jiwa raga saya.

“Kesian saya. Sudahlah sebelum Muktamar ditohmah fitnah , dah kalah pun kena belasah lagi,” tegasnya.

Dalam catatan itu, beliau berkata pejabat agung PAS telah menyerahkan surat rasmi perlantikannya sebagai AJK PAS pusat.

“Bermakna bermula lagi satu episod dalam kehidupan saya untuk membuat satu keputusan penting.

——

Ada yang tak kena dengan adab kita dalam politik. Sampai begitu sekali mantan Naib Presiden diugut oleh rakan-rakan dalam Pas. Kita agaknya dah lupa bahawa kita bukan sekadar berpolitik, tetapi berjamaah.

Pada ana, Salahuddin kena fikir panjang. Ini bukan soal hidup mati karier politik. Ini soal adab berjamaah. Kenapa waktu orang lain tewas jawatan Timbalan Presiden, tidak ada usaha nak robohkan parti.

Tapi bila kena seorang ini, bagai nak runtuh parti dibuatnya.

Ana suka Salahuddin. Ana undi dia pun sebenarnya. Tapi sayanglah kalau dia tolak jawatan kerana ugutan sesetengah pihak.

Saidina Khalid al Walid r.a merupakan seorang tokoh hebat dalam medan peperangan dan telahpun dilantik sebagai Panglima Perang sebelum zaman pemerintahan Saidina Umar al Khattab. Sememangnya kepercayaan masyarakat Islam pada waktu tersebut amat tinggi terhadap kebolehan dan kehebatan Saidina Khalid al Walid r.a.

Namun apa yang memeranjatkan, setelah takhta khalifah diwariskan kepada Saidina Umar al Khattab r.a, beliau bertindak memecat Saidina Khalid al Walid dengan menggantikan Abu Ubaidah r.a untuk jawatan tersebut. Tindakan ini amat mengecewakan kebanyakan orang ramai dan menimbulkan perasaan tidak puas hati.

Walau bagaimanapun, Saidina Khalid al Walid r.a menerima keputusan tersebut dengan tenang dan berterusan taat terhadap kepimpinan Saidina Umar al Khattab r.a.