“Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan berita seorang rakyat Malaysia menjadi pengebom berani mati kumpulan militan Islamic State atau IS di Iraq. Ini merupakan kali pertama seorang rakyat Malaysia bertindak sedemikian. Dalam insiden ini, Ahmad Tarmimi Maliki telah merempuh ibu pejabat pasukan keselamatan Iraq di wilayah Anbar dengan sebuah SUV yang dimuatkan dengan bahan letupan. Akibat tindakan itu seramai 25 orang anggota pasukan tentera elit Iraq telah terbunuh. Pada usia muda 26 tahun, Tarmimi sepatutnya membantu menyara keluarga sebaliknya memilih untuk melakukan tindakan sia-sia dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Selain Tarmimi, empat orang lagi rakyat Malaysia telah terbunuh di Syria pada tahun ini. Saya sedih dan bersimpati mengenangkan nasib mereka yang kehilangan ahli keluarga yang tersayang. Saya juga bimbang bilangan ini mungkin akan meningkat kerana seramai 39 orang rakyat Malaysia telah dikenal pasti sedang berada di Syria dan 40 lagi mungkin menerima nasib yang sama sekiranya pihak berkuasa tidak menahan mereka.
Sepuluh hari yang lalu tanggal 16 November 2014, sekali lagi dunia digemparkan dengan penyembelihan hidup-hidup seorang lagi warga Amerika Syarikat, Peter Kassig oleh IS walaupun beliau telah memeluk Islam dan menukar nama kepada Abdul Rahman.
Di Sydney, seorang remaja berusia 17 tahun, Abdullah Elmir, warga Australia sanggup melarikan diri dari rumah dan memeranjatkan keluarga dan dunia apabila muncul dalam satu video lengkap bersenjata di kalangan kumpulan militan IS di Syria. Anak muda ini mencabar kerajaan Australia dan negara-negara pakatan untuk menyerang mereka. Dia juga secara angkuh menyatakan tidak akan berhenti berjuang selagi bendera IS tidak berkibar di Rumah Putih dan Istana Buckingham. Perubahan mendadak seorang remaja yang masih bersekolah, tiba-tiba menjadi militan menunjukkan betapa kuat pujukan dan propaganda IS.
Dalam satu kejadian lain pada bulan Mei 2014, Mehdi Nemmouche, 29 tahun, yang pernah berada lebih setahun di Syria bertindak sendirian melakukan serangan yang membunuh empat orang awam di Belgium setelah terpengaruh dengan fahaman ekstrem IS.
Sebenarnya, umat Islam kini menghadapi cabaran getir dari satu kumpulan militan yang menyasarkan kita dan anak-anak kita supaya pergi ‘berjihad’ ke Syria dan Iraq atas jalan Islam. Kita berada di satu persimpangan di mana kita harus berusaha dengan lebih gigih untuk menjaga agama, bangsa dan negara. Saya yakin ramai rakyat Malaysia masih tidak mengetahui IS yang sebenar sehingga mereka mudah terpedaya dengan ideologi ekstrem kumpulan itu.
Kertas Putih ini bertujuan mendedahkan wajah sebenar IS yang bertopengkan Islam bagi mencapai cita-cita mereka untuk menubuhkan negara Islam mengikut acuannya. Modus operandi perjuangan mereka berakar umbi daripada Al Qaeda dan mirip kumpulan militan Al Qaeda telah diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas oleh masyarakat antarabangsa dan jumhur ulama-ulama arus perdana hari ini.
Sebagaimana sifatnya kumpulan militan-militan yang lain, IS juga menyalahtafsirkan ajaran Islam umpamanya dalam konsep jihad. IS beranggapan matlamat penubuhan negara Islam hanya dapat dicapai melalui apa yang dipanggil “Jihad Peperangan”. Sebenarnya, ideologi Salafi-Jihadi yang diperjuangkan oleh kumpulan ini adalah berlandaskan ekstremisme dan keganasan yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Jihad sebenar adalah membawa pengertian yang lebih besar dalam mencapai matlamat Maqasid Syariyah, termasuk melindungi keselamatan negara, menjaga agama, akidah, nyawa, akal maruah atau keturunan dan harta benda.
Sehubungan itu, Kertas Putih ini mencadangkan satu undang-undang baru yang sesuai digubal untuk membanteras dan mengambil tindakan terhadap rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti militan dan kumpulan pengganas. Kerajaan bercadang membentang rang undang- undang ini pada sesi Parlimen akan datang.
Selain daripada itu, Kertas Putih ini juga mencadangkan pemerkasaan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA, Akta Pencegahan Jenayah atau POCA dan Kanun Keseksaan, khusus bagi menangani ancaman pengganasan dan militan.
Dalam melihat konflik di Syria dan Iraq ini, pihak kerajaan menghormati keprihatinan rakyat Malaysia terhadap krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di sana. Kerajaan juga berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara dan hak asasi manusia termasuk akses kepada media sosial, namun, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan ia tidak mengancam keselamatan negara.
Kerajaan sedar undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk membendung ideologi IS. Saya amat berharap supaya mendapat sokongan daripada semua lapisan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan fahaman sedemikian.
Saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia terutama golongan belia dan ibu bapa supaya menolak ideologi ekstrem yang boleh merosakkan masa depan kita semua. Keamanan dan keharmonian yang kita kecapi selama ini tidak ternilai dan harus terus dipelihara.
Sebagai kesimpulan, adalah diharapkan Kertas Putih ini dapat menjelaskan dengan lebih mendalam tentang IS dan ancamannya kepada keselamatan negara. Kerajaan mencadangkan penggubalan satu undang-undang khusus serta pemerkasaan akta-akta sedia ada.
Selain daripada undang-undang, semua lapisan rakyat perlu bersama-sama kerajaan menolak sebarang ideologi ekstrem dan yakin bahawa konsep wasatiyyah adalah jalan terbaik untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan Malaysia sebagai negara berbilang kaum.
Pada masa yang sama, Malaysia akan terus komited untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa menangani ancaman radikalisme, ekstremisme, pengganasan dan militan.”
—————
– Ana tak rasa ancaman IS seteruk itu di Malaysia. Pada ana, ini semua satu strategi propaganda untuk mengaitkan IS dengan PAS. Pada ana ini agenda politik. Bukan keselamatan.
– Ana juga rasa, Akta Hasutan juga akan digunapakai secara maksima, bagi menjadikan Malaysia ini negara yang bisu kritikan. Tak baik pada ana.
– Pada ana juga, ini semua agenda Najib yang semakin melemah dan semakin haru biri. Nak buktikan dia hero, mulalah ada benda macam ini.
– Ucapan Najib ini sebab nak selamatkan punggung sebelum dia ke perhimpunan. Lepas tu, senyaplah. Boleh hidup senang lenang semula.
Advertisements