1. Saya tahu tulisan saya ini tidak akan dibaca oleh orang yang
menghukum saya sebagai anti-hadis. Orang lain juga akan dilarang
membaca tulisan ini. Mereka yang menghukum saya takut kalau-kalau
hukuman mereka dipersoal. Mereka hendak segala-gala yang diperkatakan
oleh mereka diterima bulat-bulat sebagai fatwa yang wajib diterima
seperti firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran.

2.      Orang yang benar, berani. Orang yang takut, takut kerana salah
atau mungkin didapati salah.

3.      Memberi label dan mengecap orang apabila kita tidak bersetuju
dengannya memanglah satu cara orang yang tidak sanggup berhujah.
Terima sahajalah apa yang didakwa oleh mereka tanpa berfikir. Jangan
guna akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kerana ini
kononnya  dilarang oleh agama Islam.

4.      Saya sekarang dilabel, iaitu diberi gelaran atau dicap
anti-hadis kerana kononnya saya sudah jadi penyokong Kassim Ahmad yang
telah diberi gelaran yang sama.

5.      Saya juga diberitahu bahawa sebagai seorang yang tidak tahu
bahasa Arab maka saya tidak berhak bercakap berkenaan agama Islam.

6.      Hari ini kita lihat ummat Islam berpecah, bermusuh sesama
mereka, berperang dan membuat kerja orang Yahudi dan Nasrani. Siapakah
yang membawa malapetaka ini kepada orang Islam dan Negara-negara
mereka. Bukankah mereka fasih dalam bahasa Arab bahkan penasihat dan
pemimpin mereka terpelajar dengan dalamnya ajaran Islam dalam Al-Quran
dan hadis Nabi. Saya sendiri sering mendengar mereka dari kedua-dua
belah, mengeluarkan ayat Quran dan hadis bagi menghalalkan perbuatan
mereka.

7.      Ya, saya tak tahu bahasa Arab. Justeru itu saya terpaksa
terima apa sahaja yang diajar kepada saya dalam bahasa Melayu sebagai
ajaran Islam. Apakah kerana saya menerima Islam dalam bahasa Melayu
maka ia bukan Islam. Apakah saya tidak Islam. Apakah lafaz dua kalimah
syahadat oleh saya tidak boleh diterima.

8.      Selain dari khatam Quran semasa umur belasan tahun, saya baca
terjemahan Quran dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Ya, memang
terjemahan Quran bukan Quran. Tetapi bolehkah kita kata terjemahan
ajaran Islam yang diajar kepada kita dalam bahasa Melayu bukan Islam?
Jika apa yang disampaikan dlam bahasa Melayu berkenaan agama Islam
bukan Islam, majoriti orang Melayu bukanlah Islam.

9.      Saya dan rakan-rakan saya pernah dihukum kafir kerana sebagai
ahli parti tertentu telah bekerjasama dengan orang kafir. Tidak ada
siapa yang fasih berbahasa Arab dan mendalami ajaran Islam yang
mempertahankan saya apabila dituduh kafir. Mungkin sebabnya ialah
mereka bersetuju saya kafir.

10.    Kemudian orang yang mengkafirkan saya bekerjasama dan
berpeluk-peluk dengan orang kafir. Tetapi tidak ada orang yang
mendalami agama Islam yang fasih berbahasa Arab mendakwa mereka ini
kafir. Saya tertanya-tanya apakah kelebihan mereka? Apakah mereka
maksum?

11.    Orang yang fasih berbahasa Arab dan mengenal diri sendiri
sebagai ulama Islam dan mursyid telah berkata ia sanggup bekerjasama
dengan syaitan jika syaitan menyokongnya. Orang yang fasih berbahasa
Arab dan tahu larangan dalam Al-Quran terhadap bekerjasama dengan
syaitan, tidak membuat tuduhan apa-apa, jauh sekali dari memberi
apa-apa label kepadanya. Kenapa?

12.    Bukan sahaja orang Arab yang fasih bahasa Arab yang berpecah
dan bermusuh sesama Islam, tetapi di Malaysia juga perpecahan berlaku
apabila orang yang digelar ulama dan fasih dalam bahasa Arab
memisahkan diri dan memecahkan perpaduan orang Islam kerana tidak
dapat tempat di dunia, tidak dipilih jadi Yang Berhormat. Sehingga
sekarang perpecahan ini berlaku. Maka lemahlah orang Islam dan
terpaksalah mereka mengemis untuk mendapat sokongan orang bukan Islam.
Maka berpeluk-peluklah mereka. Tidak ada ulama yang berkecuali yang
mendesak supaya semua orang Islam bersatupadu dan bersaudara semula.

Ana tak mahu ambil sampai habis. Antum nilaikan sendiri tulisan ini.

Advertisements