Kerajaan Negeri Kelantan akan mewujudkan Institut  Pemikiran Tok Guru sebagai usaha kerajaan negeri terus memperkasakan  institusi ulamak di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob  berkata, penubuhan itu juga sebagai satu pengiktirafan kepada jasa Bekas Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kita juga mahu meraikan serta meletakkan jasa Tok Guru selama ini memimpin Kerajaan Kelantan sejak 1990 sehingga 6 Mei 2013.

“Objektif penubuhan institut ini ialah bagi mempastikan legasi Kepimpinan Ulama  diabadikan dalam institusi selain menjadi rujukan dan pengembangan Dasar Membangun Bersama Islam dan UMI (konsep Ubudiyyah, Mas’uuliyyah dan  Itqaan),” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas  menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan di kediaman  rasmi Menteri Besar, JKR 10, Kg Sireh dekat sini pagi tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata institut itu juga akan menjadi pusat penyelidikan (R&D) bagi pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

MB baru ini pada ana, masih lagi dalam FASA BODEK DAN KIPAS. Belum masuk gear mentadbir lagi. Kalau itulah benda pertama yang dicadangkan oleh MB, pada ana, kita akan meletakkan pentadbiran Kelantan dalam keadaan sukar.

Institut ini dikatakan akan menjadi think tank Kerajaan Negeri. Nampak sangat MB tidak yakin untuk memimpin.

Ana dimaklumkan, menantu Tok Guru ada juga dicadangkan sebagai CEO kepada institut ini. Jawabnya, jadi program keluarga lah.

Pada ana, yang lebih afdal, untuk MB mencari jalan untuk memperbaiki kedudukan ekonomi di Kelantan. Itu paling penting. Tengok semula pelaksanaan Projek Lembah Sireh. Majukan semula. Perbaiki bekalan air. Ini pun penting.

Sudah-sudahlah membodek Tok Guru tu. Cukup. Ini masa untuk bekerja, bukan sibuk nak melambung jasa pemimpin yang tak seberapa. Sekadar pandangan ana sahaja. Tak setuju, tak apa.