http://msomelayu.blogspot.com/2013/04/proses-pemilihan-calon-pas-berkonsep.html

Kenapakah proses pemilihan calon kali ini menjadi kecoh dan berkucar wak yah? Jawabnya tidak ada sebab lain melainkan kerana berlaku unsur-unsur kronisme dan nepotisme di dalam membuat pemilihan dan penyaringan  calon. Ia ditambah dengan sikap munafik mereka yang menjadi anggota  pemilih calon; cakap depan lain dan cakap belakang lain. Sikap tidak  berterus terang kononnya untuk ambil hati tidak betul dalam hal ini dan  inilah menyebabkan timbul kekalutan.

Contohnya ada seorang ahli pemilih calon (Timbalan Pesuruhjaya) menjanji akan membuat penilaian adil, berjanji untuk merujuk atau memaklumkan  kepada Tokguru, tetapi ia mungkir. Bukan saja maklumat sebenar  disembunyikan kepada tokguru, tetapi Tokguru tidak diberitahu langsung.  Tokguru hanya dijadikan rubber stamp, cop sahaja tanpa memaklumkan  kepadanya. Apakah kerja seperti ini betul mengikut keadan Islam?

Unsur kronisme di dalam hal ini sangat jelas sehinggakan ia tidak boleh  ditutup lagi. Unsur kronisme ini menyebabkan PAS menjadi seperti  syarikat anak beranak – syarikat sendirian berhad dan bukan syarikat  berhad. Maka itu pemilihan calon dibuat di kalangan anak beranak, waris  warah dan ipar duai, biras dan besan sahaja.

Sesiapa yang berseorang diri, hatta bekerja kuat didalam parti dan  mendapat sokongan dari peringkat kawasan, cawangan akan ditinggal begitu saja bagaikan tunggul kayu kalau ia tidak ada hubungan diplomatik  dengan individu yang memilih calon. Kuatlah ‘setara mana’ mereka tidak  akan dipilih dan dia ajak berjemak berkira.

Ini satu budaya dan perangai di dalam PAS. Penyakit atau perangai di  zaman Mohd Asri Muda (Allahyarham) nampaknya menjadi turutan dan ikutan. Budaya memilih calon di kalangan kawan-kawan, anak beranak sendiri mula dipraktikan secara jujur di dalam pemilihan kali ini. Apakah dengan  berlakunya keadaan maka ia membungakan kekalahan untuk PAS?

Sebenarnya bagi ahli PAS mereka  tidak ada masalah kalau ‘waris warah’  yang akan mewarisi takhta itu asalkan berkelayakan dan dilakukan secara  adil. Tetapi pemberian peluang menjadi calon itu biarlah adil, tidak  pilih kasih atau pun membelakang prosedur biasa. Keharmonian di dalam  PAS selama ini ialah kerana tidak ada unsur jahat dan khianat. Ketelusan dan keikhlasan itulah menjadi teras dan spritual kepada PAS.

PAS parti Islam sewajarnya menegakkan prinsip keadilan dan kesamarataan. Sisi inilah yang membezakan PAS dengan Umno. Dalam pemilihan calon dan  apa-apa juga aspek keadaan atau pendekatan secara Islam biarlah jujur  dan bersih sesuai dengan pengakuan dan syahadat kita terhadap perjuangan yang berpaksikan kepada perinsip Islam.

Perkara ini disebut kerana perkara ini jelas. Ada calon-calon yang  dipilih tidak pun berada dalam barisan nama yang dicadangkan oleh PAS  cawangan, kawasan seperti mana ditetapkan dan menjadi amalan biasa. Tetapi kerana mereka adalah kroni kepada orang tertentu, tepatnya kepada ahli Dewan Harian PAS yang terdiri dari Pesuruhjaya, Timbalan  Persuruhjaya I dan II, Setiausaha Badan Perhubungan maka dia diambil dan dinilai.

Waris dan sahabat handai, ipar duai, biras mereka dibasuh dan dimake-up  sebaik mungkin. Dipersembakan kepada Tokguru Nik Aziz sebagai barang  persembahan yang indah. Puak-puak inilah penipu Tokguru sebenarnya bukan Umno Barisan Nasional. Merekalah yang menjadi ulat yang memakan PAS  dari dalam dengan bersela lendik dan berkopiah putih.

Saya akan senaraikan macam mana calon-calon yang dipilih kali ini ada  hubungan relatif dengan individu-indivdu yang disebut di atas tadi. Ada  orang yang menjadi pemegang ‘jabel’ pitis kepada ahli Dewan Harian  dipilih menjadi calon, bukan kerana orang itu berwibawa, tetapi kerana  hanya menjadi pemegang jabel duit. Al maklumlah saat pilihan raya ia  memerlukan duit banyak. Menjadi proxy dalam pemberian kawasan balak,  getah klun dan biji besi. Perlu ditegaskan anggota Dewan Harian Dr Mohd  Fadzli Hassan iaini Ketua Penerangan tidak diajak berunding langsung  dalam soal pemilihan calon ini. Kenapa?

Betulkah cara ini? Memang pemimpin PAS senantiasa memberi ingatan dan  pesan, di dalam PAS jawatan tidak boleh diminta. Jawatan bukan matlamat. Tetapi soalnya apakah prinsip itu diguna pakai dengan seadil-adilnya  dan menyeluruh? Apakah ia terkena kepada mereka di bawah yang tidak ada god father atau taukeh, manakala yang mereka ada taukeh akan berlaku? Mereka yang  rapat dan pernah makan di restoran-restoran lima bintang dengan anggota  Dewan Harian diutamakan. Mereka yang melancung ke Marocco, Mesir bersama akan diambil menjadi calon?

Tidak perlu saya menyebut nama-nama bakal calon yang akan diumumkan  malam ini yang tidak layak dan sepatutnya diambil menjadi calon kerana  beberapa kelemahan. Saya akan bercerita selepas ini macam mana orang  tidak dikenali dan diterima oleh kawasan tetapi diambil menjadi calon  kerana hanya orang itu pernah berjumpa dengan individu tertentu dan  menolong individu tertentu dalam sesuatu urusan kependidikan. Kerana itu saja maka dia diambil menjadi calon. Ditinggalkan nama-nama lain yang  selama ini berkorban dengan parti atas alasan kerana ia kroni Yang  diPertua Kawasan. Anihnya kenapa kalau orang tidak boleh tetapi kita  dibolehkan. Inilah jenis munafik.

Perkara ini selalu terjadi. Suka saya merujuk kepada apa yang berlaku di Tendong dalam pilihan raya umum ke-12 lalu. Hamid Abdul Aziz yang  dilantik menjadi penyelia, bekerja keras untuk parti, siang dan malam  akhirnya dinafikan begitu sahaja. Arwah Muhamad Daud diambil menjadi  calon, kerana apa, kerana dia ada pertalian darah merah dan darah hijau  dengan salah seorang ahli Dewan Harian yang juga merupakan Timbalan  Pesuruhjaya PAS. Untuk menghalakan tindakan itu Hamid dicalit dengan  sedikit kotoran. Peliknya calon yang kini menjadi wakil rakyat, jelas  ‘mengekok’ dengan betina diambil menjadi calon? Di manakah keadilan?

Tidak mengapa kita sama-sama dengar pengumuman calon malam ini. Kita  tengok dan nilai nama-nama yang diumumkan nanti apakah mereka adalah  nama menjadi pilihan rakyat ataupun kerana mereka ada hubungan sulit  dengan anggota Dewan Harian. Kalau sebahagian besar nama-nama yang  diumum itu adalah kronis PAS akan menghadapi masalah.

Saya memberi isyarat lampu merah, sekiranya tidak berubah selepas ini  saya akan menghurai satu persatu. Biarlah kita semua tahu dan tidak  ditutup dengan perkataan “InsyaAllah…” Biarlah kita bermain dalam  cerah kali ini dan tidak berlindung disebalik gelap. Tidak ada guna  kemenangan kalau kemenangan itu bukan atas prinsip keadilan dan  kebenaran.

Sepatah kata azimat Tokguru kepada saya; ana akan dikatakan zalim kalau  tidak bertindak ke atas kemungkaran berfakta, dan ana akan dikatakan  tidak adil kalau bertindak tanpa ada bukti. Atas prinsip itulah kita  mahu soal pemilihan calon ini dilakukan demi kemenangan PAS. Amaran juga saya berikan kepada Zulkefli Mamat, beliau harus menggugurkan namanya  dari senarai calon di Pulai Chondong. Pengguguran itu nanti membuktikan  dia ikhlas dan jujur dan apa yang ada dihatinya sama seperti tergambar  di dahinya yang bertanda hitam dan lekok kerana kuat sujud.

Advertisements