Ana hadir juga semalam di majlis pembentangan bajet bayang-bayang Pakatan Rakyat. Ana tengok, penglibatan kita, orang Pas sangat minimum. Yang ramai, orang Pkr dan DAP. Ana pun tak tahu apa sebab. Tapi pada ana, benda yang sebesar dan sepenting ini, janganlah nak pinggirkan Pas. Tak seronok begitu.
Sudahlah ana dan 4 orang kawan lain nak masuk kena tanya macam-macam soalan. Daripada mana? Siapa suruh datang? Senarai tetamu hanya diluluskan oleh HQ PKR. Tak boleh ada orang lain. Ana terus tunjuk kad ana. Baru dia bagi masuk. Mangkuk. Perasan bagus.
Pada ana, tak kisahlah kita nak kata apapun, tapi bajet kita kali ini akan jadi sangat penting untuk PRU. Sangat penting. Salah buat, hancur kita.
Jadi pada ana secara peribadi, ini semua bajet PKR dan DAP. Bukan bajet kita.
Mana peruntukan untuk sekolah agama. Apa janji kita pada sekolah pondok? Apa jaminan Islam akan ditegakkan? Itu semua tak disebut dalam bajet. Ana kecewa. Patut Anwar kena umum juga peruntukan khas untuk pendidikan Negara Islam. Barulah ada makna. Berilah sikit muka pada Pas.
Yang ok sikit, PetroKelantan. Bab itu ana suka. Lebih baik lagi, kalau kita letak menantu kepimpinan kita sebagai CEO. Lengkap.
Tapi secara keseluruhannya, pada ana, bajet yang Anwar bentangkan semalam tak akan buat kita menang pilihanraya. Lemah. Tak ada daya saing.
Tapi pemimpin kita cepat sangat puji.

BELANJAWAN PR 2013 KE ARAH NEGARA BERKEBAJIKAN

11 Dzu al-Qa’idah 1433 bersamaan 27 September 2012

Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan pembentangan Belanjawan  PR 2013  yang bertemakan “Ekonomi Rakyat Negara Berkat”. Ianya dengan  tepat  memberi penekanan kepada tiga agenda memacu kebajikan rakyat;

a] meningkatkan pendapatan sebenar rakyat dan mengurangkan tekanan kos sara hidup,

b] membina kumpulan rakyat berkeusahawanan dengan daya saing kompetitif dan

c] mendaya masyarakat untuk mencapai keadilan dengan kemuliaan dan rasa penuh bangga.

Belanjawan PR ini menjadi satu lagi  bukti kemampuan Pakatan Rakyat  di dalam merangka strategi alternatif  ekonomi nasional  yang amat  relevan untuk diangkat sebagai tawaran yang membawa pembaharuan sebenar  untuk Malaysia.

Kelak UMNO-BN dan pengampu-pengampu  mereka tidak boleh lagi  berhujah bahawa Pakatan Rakyat cuma pandai  beretorik dan membuat omongan  kosong kerana Belanjawan PR ini buat  kesekian kalinya telah menjelaskan  tawaran kita secara objektif,  profesional dan bijaksana tanpa bersikap  apologetik terhadap cabaran  ekonomi yang seolah-olah cuba disembunyikan  oleh pemerintah.