PAS Putrajaya akan menganjurkan majlis makan tengah hari sempena Maulidur Rasul bersama Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pada 5 Februari ini bertempat di Dewan Kondominium Saujana Aster, Jalan P11H/1, Presint 11, Putrajaya.

“Program ini diadakan bertujuan menyemai cinta dan kasih kepada Rasulullah s.a.w. dengan menjadikan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiulawal setiap tahun sebagai syiar,” kata Ketua Pemuda PAS Putrajaya, Mohd Khoirol Anwar Mat Zuki.

Beliau berkata, sesungguhnya Rasulullah adalah insan termulia di antara semua makhluk dan baginda adalah ikon yang wajib dicintai oleh setiap umat Islam.

Katanya, sebagai insan teladan dan teragung, peribadi, tingkah laku, akhlak, watak kehidupan dari sudut peribadi, keluarga, masyarakat dan kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w. merupakan sunnah yang perlu dicontohi.

Justeru, ujarnya program itu menjadi suatu wadah umat Islam melahirkan kecintaan dan kasih terhadap Rasulullah s.a.w.

Selain daripada itu, kata beliau program makan tengah hari itu disasarkan untuk mengutip dana bagi menghadapi Pilihan raya Umum ke 13 yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa.

PAS Putrajaya, katanya mensasarkan kutipan sebanyak RM50,000 akan berjaya dikutip dengan program yang dianjurkan itu.

Tambahnya, tiket berharga RM20 seorang dijual dengan harapan penyertaan daripada pelbagai peringkat.

======

Ana mohon kalangan kakitangan awam yang ada di Putrajaya untuk sama-sama menderma untuk tabung ini. Kita perlu duit yang banyak, kerana kita akan bertempur dengan pahlawan UMNO yang hebat.

Menurut teman ana, seorang Pemuda UMNO Putrajaya, Tengku Adnan sudah tidak lagi relevan di Putrajaya. Namun, seorang lagi pemimpin ‘nasional’ akan dibawa bertanding di kerusi ‘elit’ itu. Ahli Parlimen Putrajaya memang mempunyai prestij yang luar biasa.

Ada juga ura-ura, KSN yang ada sekarang akan bertanding di Putrajaya. Berdasarkan maklum balas awal, KSN tersebut juga mencuba untuk mendapatkan tempat di hati pemimpin Negara. Kalau betul dia bertanding, kita rasa kita ada peluang.

Apalah sangat 50k demi impian kita untuk memenangi kerusi ini. Derma kepada jalan Allah ini insya’Allah amat dihargai. Fisabillillah.

Kalau UMNO tolak calon yang ada dalam hirarki parti – mereka pandai. Kakitangan dan warga Putrajaya mahukan perubahan. Lakonan demi lakonan UMNO Putrajaya tidak akan dapat tempat di hati rakyat.