Alhamdulillah, ana rasa tidak ada hari yang membahagiakan PAS Pahang; selain daripada mendengar kesudian Tuan Ibrahim Tuan Man menyertai pemilihan di peringkat Timbalan Presiden. Ana cukup percaya, rakan-rakan di Felda Jengka, Keratong, Panching – PAS Temerloh, Maran, Kuantan dan sebagainya akan bersorak gembira dengan keputusan ini. Pada kita, memang sudah sampai masanya PAS Pahang diberikan tempat yang baik dalam hirarki kepimpinan Pusat.

PAS Pahang banyak potensi. Ada peluang memberikan impak yang lebih baik di dalam PRU akan datang. Dengan keadaan UMNO Temerloh bergaduh macam budak-budak sesama sendiri; Sharkar dan Saifuddin – pertembungan ‘Dua S’ – kita boleh mencelah ikut tepi. Tuan Ibrahim, sebagai Timbalan Presiden PAS akan dapat hadir di Temerloh sebagai pimpinan PAS. Kita syukur dengan keputusan ini.

Tuan Ibrahim adalah pemimpin yang sangat bersih. Pemimpin yang tidak ada cacat celanya. Tidak pernah nak main politik dengan kawan-kawan. Ikhlas dan mudah dibawa berbincang. Inilah keputusan yang mampu membawa UMNO Pahang terkencing dalam seluar.

Tuan Ibrahim MESTI diberikan sokongan oleh perwakilan. Kita dah rasa kepimpinan Ustaz Nasa. Cukuplah itu. Ustaz Nasa boleh main peranan lain. Mungkin sebagai Bendahari (sebab mempunyai kemampuan). Tuan Ibrahim adalah pemikir dalam gerakan. Sangat setia kepada parti. Sangat bersungguh membawa PAS ke Pahang. Keluar masuk FELDA hampir setiap masa. Almaklum, nak runtuhkan pemikiran jahiliyah dalam FELDA bukan mudah. Semua jenis fikir terhutang budi. Sudahnya tergadai body.

PAHANG ada potensi untuk PAS. Selagi Najib takut nak tukar Menteri Besar ‘Kaki Carut’ Adnan Yaakob; kita ada peluang cerah. Memang ada harapan.

Baru-baru ini, sewaktu Muslimah buat bancian di FELDA pun – arah pemikiran jahiliyah Felda dah banyak berkurang. Mereka dah nampak situasi sebenar. Mereka dah nampak peranan Isa Samad yang dah jadi macam kaki pukul masuk FELDA. ‘Awak mesti undi UMNO. Awak terhutang budi dengan UMNO. Awak makan daripada pinggan UMNO. Anak awak ke luar Negara dengan duit UMNO’. Puas dah kita dengar ayat macam ini daripada Isa. Orang pun dah muak.

Haji Hamid, seorang peneroka FELDA awal di Pahang – meludah depan orang; bersumpah dan berjanji tak akan undi UMNO. Padahal, lima orang anak dia ke luar negara dengan biasiswa JPA. Itu duit rakyat. Bukan duit UMNO kata dia. Sanggup dia buang gambar sewaktu jadi AJK UMNO Cawangan. Benci dia kata.

Perwakilan kena beri ruang kepada pemimpin PAS Pahang yang satu ini. Kena beri tempat. Kami dah lama bersabar tunggu lahirnya pemimpin PAS dari Pahang. Takkan lah satu ini pun tak mampu nak bantu.