Ana mendapat sms daripada perwakilan PAS Perak yang memaklumkan bahawa sudah ada cai reformasi di dalam pemilihan PAS. Cai perubahan. Menu perubahan. Kumpulan baru yang dirasakan mampu membawa PAS ke amalan politik baru dan progresif. PAS yang tidak lagi menjadi parti lama; parti serban dan jubah. Tapi PAS yang bersiap sedia dengan generasi yang lebih berani; bawa kereta hebat, pakai pakaian hebat, bercakap hebat, berjuang hebat. Kumpulan ini dikatakan akan menjadi teras kepada perubahan PAS.

Ana sms semula kepada sahabat ana tersebut: ‘baguslah kalau begitu. ana redho dengan perubahan. ana nak PAS kuat’. Memang itupun harapan dan impian ana. Bukannya PAS yang lesu dan tidak bermaya. PAS yang lebih muda akan menampilkan kita sebagai parti yang lebih sihat dan mampu membawa perubahan.

Sebenarnya, itu bukan sms pertama yang ana terima mengenai muktamar. Dah banyak. Yang kempen ada. Yang nak jumpa pun ada. Walaupun ana bukan perwakilan.

Ana akan mengambil sikap berkecuali mulai hari ini. Ana akan menyokong siapa sahaja yang menang.

Tapi bab jawatan yang dilantik – ana harap sangat kita berani melakukan perubahan. Tak payah nak simpan pendekar lama yang parangnya dah tumpul. Tukar dengan muka baru yang dinamik dan berani. Yang ada pemikiran baru.

Ana pun hantar 100 sms kepada kalangan sahabat PAS. ‘Siapa layak duduk jawatan Setiausaha Agung yang baru?’

Daripada 100 sms yang ana hantar – 71 sms memberikan jawapan yang sama. Ana rasa pelik. Tetapi inilah jawapan yang diberikan oleh ahli PAS di bawah. (daripada 100 tersebut; 92 orang adalah perwakilan PAS ke Muktamar). Ana tidak pernah pun telefon atau berborak dengan responden yang ana sms. Tak ada. Memang betul-betul usaha ana nak tahu gelombang pemikiran ahli PAS di bawah. Nampaknya mereka sepakat nak melihat perubahan. Mungkin mereka berharap agar Presiden lebih berani menentukan barisan yang lebih mantap melalui lantikan.

13 orang sms ana dengan nama individu lain. 7 memilih calon Pemuda. 5 mencadangkan wanita. 2 mencadangkan calon import (daripada luar PAS).

Ana kena akui, soalan ana bukan santifik. Sekadar nak menduga minat perwakilan tentang jawatan lantikan. 71 % yang memilih individu sama – Dr Mujahid Yusof Rawa membuktikan bahawa PAS memang benar-benar nakkan perubahan. Mereka nak reform? Soalnya berjaya atau tidak?

Ana bukannya ada masalah dengan Setiausaha Agung sedia ada. Ana suka. Tetapi ana nak membayangkan bahawa perwakilan ada pandangan sendiri. Mereka berhak untuk melihat perubahan.

Soalnya, bersediakah kita?

Wallahu’Alam.