Salam. Ana mohon maaf kerana terlambat nak tulis dalam blog ini. Ana ke Singapura dalam program khas mencari pengalaman merayakan Maulid di Kota Singa. Alhamdulillah, ana dapat melaksanakan ziarah ini dalam tempoh 4 hari sahaja. Seronok berada di Kota Singa. Walaupun syiar Islam itu tidak terasa sangat – tapi Alhamdulillah, sinar Islam itu ada. Ana tinggal di sebuah hotel murah di kawasan Serangoon. Kawasan yang dikatakan sebagai Little India. Dekat dengan Masjid Angulia. Menarik.

Ana perhati, Maulidur Rasul semakin menyepi di Singapura. Orang Islam sibuk dengan gaya hidup sendiri. Shopping. Jalan-jalan. Maulid di masjid dan surau sahaja. Tak lebih daripada itu. Ana pergi ke kawasan Mustafa Centre – sampai 5 pagi pun Melayu pergi shopping. Bukan Melayu Singapura pun. Melayu Malaysia pun ramai. Ana pun tak tahu apa yang murah sangat di Mustafa ni. Ana tengok semua benda mahal. Dah tukar ke duit kita pun mahal lagi.

Beza Melayu kaya dan Melayu miskin di Singapura – adalah beza antara Orchard Street dan Mustafa Centre. Jauh bezanya. Kalangan penduduk Cina akan berada di Orchard. Mereka seronok dengan hidup mewah di Singapura. Mereka pegang semua benda. Ekonomi, politik, sosial dan segala-galanya.

Memanglah bebas beragama di Singapura; tapi Islam itu di mana duduknya? Di kalangan sufi? Di kalangan mereka yang duduk dalam masjid? Di kalangan mereka yang amal dan hidup dengan gaya Islam sahaja?

Memang banyak perkara yang PAS boleh belajar daripada syiar Islam di Singapura. Banyak sangat. Ana insaf – bila Islam hanya berada di tepian dan tidak menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan di Singapura.

Ana nak ucap terima kasih kepada seorang pembaca, Sdr Jason Wong yang terlalu risau jika PAS berkuasa kerana ianya akan menjadikan Malaysia sebuah Negara Islam. Jason perlu tahu, Islam sudah memimpin dunia pada satu ketika; dan terbukti Islam lebih mampu memuliakan umat berbanding mana-mana agama lain. Jason tak perlu risau; kena tengok model Negeri Islam Kelantan yang hebat dan mampu menjaga kepentingan semua pihak.

Jason tidak keseorangan. Ramai lagi anak muda yang takut jika PAS berkuasa. Anak Melayu profesional yang biasa minum di Telawi; tunggang Martini, Wiski, Red Wine di Bangsar Shopping Centre; yang duduk bersama dengan girlfriend di Hartamas – tak perlu risau. Kalau PAS berkuasa pun; belum tentu kami dapat laksanakan. Kami akan laksana Islam sekadarnya sahaja. Kalau nak jadi Taliban sangat – siapa yang akan undi kami kan? Betul tak? Oleh yang demikian, kami akan laksana Islam sesuai dengan apa yang PR setuju. Boleh begitu? Boleh undi PAS?