Malam kelmarin diadakan perbincangan antara beberapa rakan daripada Indonesia dan penggerak PAS Wilayah Persekutuan. Perbincangan bukannya tersusun sangat pun. Hanya di kedai mamak. Tetapi perbincangan cukup hangat. Daripada Isya’ – sehinggalah menjelang awal pagi; disambung dengan qiyamullail diketuai oleh seorang sahabat daripada Jakarta. Alhamdulillah, bacaannya bagus. Cukup melembutkan hati. Cukup mendayu. Subhanallah. Perlu ada selalu kerjasama dengan rakan dari seberang ini.

Rakan-rakan dari Seberang membayangkan bahawa apa yang berlaku di Egypt, Tunisia – sudah didahulukan oleh Indonesia hampir 12 tahun. Mereka bangga kerana reform dapat dilaksanakan dengan lebih baik. Banyak perubahan. Sistem diruntuh. Digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Rakan tersebut juga bertanya; ‘mengapa sukar sangat puak Islamis Malaysia melaksanakan benda sama. himpun dan protes sahaja!” katanya mudah. Beberapa rakan PAS diam membisu. Lalu timbul jawapan bahawa Islamis di Malaysia lembik kekenyangan. Makan cukup. Kerja pun ada. Anak bersekolah dengan baik. Sembahyang tidak diganggu. Azan tidak disuruh diam. Semuanya dilaksanakan dengan baik. Dalam konteks ‘kerajaan dan rakyat’; kita tidak terasa terlalu diketepikan. Soal, ideologi politik isu lain.

Soalnya, apakah kita perlu ketepikan keperluan demo, protes, hartal dan sebagainya sebab kita kenyang. Di mana amanah dan tanggungjawab?

Soalan itu tidak dapat ana jawab. Ana cadangkan agar para sahabat dari Indonesia bercakap dengan mereka yang lebih punya autoriti. Dengan Presiden. Dengan Timb Presiden. Ana tidak punya kredibiliti untuk bercakap soal itu.

Rakan itu menyebut tentang ‘al wasilah la tubarrir al-ghayah’; tujuan enggak bisa menghalalkan cara. Justeru, apakah tujuan untuk menjatuhkan kerajaan layak menghalalkan kekacauan? Itu soal lain katanya.

Demokrasi bermula dengan fikiran buruk ‘su’uzzann’; tanggapan buruk bahawa orang yang berkuasa itu bisa menyeleweng. Ana setuju. Tidak salah kita bersangka buruk dengan pemimpin. Terutamanya pemimpin yang mengkayakan diri sendiri dan rakan-rakan keliling.

Soalnya, apa jadi kalau negara kacau bilau; dimana Islamnya? Di mana peranan kita sebagai da’i. Ustaz dari seberang mengatakan; itu sebahagian daripada perjuangan.

Wallahu’alam.

Advertisements