Ana sejak dari dulu memang ‘candu’ dengan ucapan/ceramah Dr Siddiq Fadzil. Sejak dari ana zaman belajar. Memang seronok dengar ucapan/ceramah ala-ala Jawa totok yang dibawakan oleh Dr Siddiq. Memang terhibur. Kalau dulu lebih aktif dengan ABIM; sekarang Dr Siddiq lebih kepada WADAH. Pada ana, ianya satu perkembangan yang sangat baik. Fikrah Dr Siddiq jangan kita rugikan. Kepada ana, Dr Siddiq adalah permata kepada komuniti agama. Memanglah, kadangkala kerana terlalu sayangkan Anwar; habis semua benda nak dikaitkan dengan Anwar.

Ana mendengar ceramah Dr Siddiq dengan minda yang sangat terbuka. Keperluan kita memahami konsep Maqasid al-Shariah; soal maslahah – memang amat-amat diperlukan pada ketika ini. Kita tidak boleh nak menggunakan ilmu agama; yang tidak diperkembangkan dengan ijtihad yang lebih baru dan terkini.

Kalau jumhur ulama’ lama mempertahan bahawa Maqasid al Shariah mempunyai lima niat utama; menjaga agaman, jiwa, akal, keturunan dan harta; Dr Siddiq mempertahankan keperluan ianya dikembangkan menjadi 7 atau 8.

Ini termasuklah soal menjaga ‘kehormatan diri’. Kes liwat Anwar mula bermain dalam fikiran para hadirin. Apakah hukum boleh di’rencana’ untuk mempertahan seorang individu? Ana masih mentah dalam ilmu agama. Tapi bunyinya macam terlalu menjurus kepada isu Anwar.

Dalam pertemuan itu, Anwar sendiri hadir. Sebagai tetamu istimewa. Hadirin memang ramai mantan aktivis ABIM. Jadi, tak mustahil ianya bertujuan untuk memahamkan kepada hadirin bahawa mempertahan maruah Anwar adalah juga sebagai ‘maslahah’ dan sebahagian kecil daripada maqasid yang lebih besar.

Buang bab itu, pada ana, Dr Siddiq masih lagi seorang pemikir yang luar biasa. Yang hebat. Yang sangat mendahului masa. Tapi bilamana menjadi terlalu anwarist; kadang-kadang fikiran itu jadi tersasar sikit.

Ana terbiasa dengan karya Dr Hashim Kamali – Principles of Islamic jurisprudence’…tak jumpa pula soal ‘kehormatan diri’. Tidakkah ianya termasuk di dalam usaha menjaga ‘akal’ dan ‘keturunan’? Yalah, kalau hukuman terhadap homoseksual dan sebagainya; mestilah beristimbat kan keperluan kita menjaga keturunan.\

Ana akan terus mendengar ceramah Dr Sidddiq. Ana cadangkan PAS pun boleh panggil Dr Siddiq ke markaz…bagi memantapkan lagi pemikiran Islamiyy kita bersama.

Salam.