Ana menjunjung kasih Duli Tuanku Agong yang sudi untuk memainkan peranan sebagai orang tengah kepada usaha memperbaiki hubungan PAS dan UMNO. Niat Tuanku memang murni. Sebagai payung kepada rakyat, tindakan Tuanku mencemar duli bagi menyelesaikan isu politik ini adalah sesuatu yang kita; hamba rakyat rasa terharu dan berterima kasih. Soal samada ianya akan berjaya atau tidak; kita tidaklah terlalu kecewa. Yang penting, Tuanku sudah mengambil usaha untuk memulakan langkah kerjasama.

Isu asasnya adalah ‘perpaduan’. Bukan penyatuan. Perpaduan tidak ada salahnya. Mungkin baik kepada umat Islam secara keseluruhannya. Tapi sayang, ianya tidak menjadi kenyataan.

Duli Tuanku mungkin sudah nampak, bahawa masalahnya adalah kepada sikap politik. Ana bukan tak setuju dengan tindakan TG Nik Aziz, tapi kepada ana, Tuanku Agong wajar diberikan ruang untuk mengemukakan pandangan. Kita raikan dahulu apa yang nak diperkatakan. Bukan tolak sejak awal.

Sayangnya, ulama’ kita macam ada tembok yang besar bila cakap soal perpaduan. Kita jadi takut. Jadi fobia. Jadi ngeri. Malahan kita jadi risau bahawa kita akan ditipu lagi oleh parti satu lagi. Takkanlah kita nak kena kencing dua kali kot. Tak mungkin.

Usaha pertama Baginda Rasulullah saw untuk membina masyarakat di Madinah, ialah dengan mendirikan masjid sebagai asas perpaduan. Seterusnya Baginda mempersatukan dua golongan yang telah beratus tahun bermusuhan sesama sendiri iaitu golongan Khaus dan Khazraj, lalu dikenali golongan ini sebagai Ansar. Seterusnya Baginda mempersatukan golongan yang datang daripada mekah yang diberi nama golongan Muhajirin. Hasilnya, terbentuklah satu masyarakat yang bersatu padu yang disatukan dengan ikataan ukwah Islamiah bercirikan kehendak Allah dan Rasul. Sebagaimana firmanNya ;

انما المؤمنون اخوة فاصلحوا بين اخويكم

Artinya, Sesunguhnya orang- orang Mukmin itu bersaudara maka perbaiklah diantara saudara kamu .

Ini usaha yang berniat baik. Tapi UMNO-pun janganlah nak jadikan perpaduan bagi hancurkan PAS. Jangan ada niat begitu. PAS pun layak nak tawarkan yang terbaik kepada rakyat. Kalau dah perpaduan macam nak bunuh politik PAS…kita pun jadi risau.

Bukanlah niat nak samakan UMNO-PAS; macam Khaus dan Khazraj…tapi semangat perpaduan kena kita hargai. Moga terbukalah minda semua; pemimpin PAS dan UMNO untuk mengejar perpaduan yang tidak menjahanamkan parti masing-masing.

Dan katakanlah kepada hamba- hambaku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik ( benar ) sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka . Sesunguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu – Al-Israk ayat 53.