Salam. Semalam ana sempatlah meluangkan masa dengan rakan-rakan di DUN Khir Toyo. Kalau tuan/puan biasa dengan markas kita di sebelah sana; memang sebelah orang kuat UMNO tersebut. Kita tak persoalkan samada Khir memang buat atau tidak apa yang dibuat. Kalau dia buat; biarlah hukuman itu ditentukan di Padang Mahsyar…kita ni tak berapa layak nak tentukan salah atau tidak. Siapalah kita. Kita bukan sempurna.

Tapi, apa yang ana terkejut dan terpejanjat; kalangan orang kita di kampung ramai juga yang menghormati Khir sebagai seorang individu. Khir memang budak kampung yang baik. Itu mereka tak boleh nak nafikan. Lebih menarik lagi; ada dua tiga orang kawan-kawan kita di kampungnya yang dibawa sama mengerjakan umrah! Mungkin guna duit rasuah; tapi yang penting membayangkan Khir ini tidak terlalu mengenepikan orang PAS.

Ana termenung….bagaimana seorang ahli politik boleh ambil sikap macam itu punya terbuka. Jumpa orang kita. Hormat. Beri salam. Tegur sapa. Tidak sombong. Bertepuk tampar. Ana memang kalah dengan orang yang begini. Maknanya, Khir ini memang punya pengaruh di kampungnya. Itu kita kena hormat dan berikan pujian.

Ana suka ingatkan kalangan Exco Kerajaan Negeri, YB-YB PAS supaya tidak cepat seronok dengan kes Khir Toyo. Kalau Khir boleh kena macam itu; jangan ingat kita selamat. Jangan lupa dengan kes PMBK di Kelantan yang belum settle. Jangan lupa isu-isu rasuah YB kita yang belum diketahui umum.

Ana nak ingatkan; bahawa setiap daripada kita tak sempurna. Kita boleh buat silap. Kita boleh tersasar jauh daripada kepimpinan Islami yang kita selalu bangga-banggakan. Nampak zuhud…tetapi mengumpul kekayaan. Hati-hati.

Sebagai penyokong PAS – kita mesti sentiasa menambah ilmu. Imu yang berkat.

Ilmu yang berkat adalah senjata yang paling digeruni oleh syaitan. Umar bin al-Khattab pernah melewati satu lorong kemudian beliau berjumpa Rasulullah SAW, Baginda pun bersabda: “Sesungguhnya syaitan lari daripada laluan Umar, kerana takut kepadanya.”

Seorang yang berilmu bijak membentengi dirinya daripada hasutan syaitan dan hawa nafsunya. Ia bagaikan memiliki indera keenam yang mampu mengesan setiap gerakan zahir dan batinnya.

Benarkah apa yang dilakukannya atau salahkah jalan yang dilaluinya? Semuanya disebabkan ilmunya yang berkat dan bermanfaat. Ingatlah sabda Rasulullah SAW: “Manusia yang mendapat azab paling keras pada hari kiamat ialah orang yang tidak mendapat manfaat dari ilmunya.” (Hadis riwayat Imam al-Tabrani dan al-Baihaqi)