Salam Syawal.

Alhamdulillah, segala kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana telah memperkenan usaha pemahsyuran ke bawah Duli Tuanku Sultan yang baru. Ini semua rahmat bulan syawal agaknya. Rakyat dijangka menerima baik keputusan Majlis Perajaan. Duli Tuanku pun memang dah lama rapat dengan kepimpinan TGNA kita. Alhamdulillah, ini semua petanda bahawa Kelantan Darul Naim akan kekal makmur di bawah pemerintahan Duli Tuanku Sultan yang baru.

Memang ada blog yang mempersoal perlantikan ini. Atas sebab apa pun ana tak berapa nak tahu. Tapi pada ana, yang penting adalah pandangan rakyat. Apa yang rakyat rasa. Apa yang rakyat fikir. Apa yang rakyat mahu. Seharian ada berada di Kedai Mulong; setengah hari lagi di Pasir Putih dan kemudiannya di Kubang Kerian; ana dapat rasakan Sultan yang baru ini menerima pandangan baik masyarakat. Pakaiannya yang ringkas. Sikapnya yang terbuka. Rakan-rakannya bukan daripada orang kaya dan ‘artis Indonesia’ sahaja. Rakan-rakannya adalah orang biasa. Orang Kelantan biasa yang mengenalinya sejak dari kecil.

Pada ana, ini bukan soal politik PAS atau UMNO di Kelantan. Kita perlukan payung mahkota yang lebih rakyat. Peranan istana dalam politik tidak boleh kita nak hadkan sekadar di dalam pagar istana sahaja. Sultan mestilah lebih merasai kehendak dan kemahuan rakyat. Sultan mestilah mampu merasai kesusahan rakyat dan menggunakan kuasa untuk kebaikan rakyat. Bukan di kalangan mereka yang gemar menjadi ‘kasanova’ dan ke hulu hilir dengan cerita kontroversi. Sultan alaf baru kena ada ikatan moral dan keimanan yang lebih kuat dan mantap. Boleh jadi imam kepada solat. Inilah didikan baik yang telah PAS hamparkan secara halus kepada Duli Tuanku.

Wajiblah kita menunduk, merasai bahawa ini semua adalah ‘redha’ Allah SWT jua. PAS memimpin Kelantan lebih 20 tahun. Kita dikutuk, dimomok, dikecam, dihina, diludah oleh puak tertentu dalam masyarakat kita. Alhamdulillah, kita masih mampu memimpin baik.

Betul, memang Kelantan agak miskin – tetapi kita kaya ‘moral’ dan keimanan. Kita rasa senang di Negeri Kelantan. Kita rasa roh islami di negeri Kelantan. Ini bukan ‘perasaan’ ana sahaja. Ramai yang cakap begitu. Di Kelantan – kita rasa selamat dan sejuk sentiasa.

Dengan adanya Sultan baru, dengan menangnya kita di mahkamah dalam soal tuntutan royalti (jangan lupa – Duli Tuanku sokong kita bawa ke mahkamah); insya’Allah Kelantan akan lebih makmur dan sejahtera. Kita doakan sahaja TGNA diberikan kesihatan dan kewarasan kepimpinan yang berkekalan. Jangan sesekali kita tunduk dengan tekanan pihak luar. Kita tentukan nasib Negeri kita.

Ana nak ucapkan Mabruk dan tahniah kepada Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Pemangku Raja Kelantan waris, menjadi Raja memerintah, menaiki takhta Negeri Kelantan dan Jajahan takluknya bagi menggantikan KDYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra berkuatkuasa pada hari ini 4 Syawal 1431 Hijriah bersamaan dengan 13 September 2010.

Semoga Tuanku dikurniakan Allah SWT jiwa khidmat yang bersungguh kepada rakyat jelata. Kalau kami lemah. Kalau kami silap. Kalau kami tipu. Kalau kami rasuah. Kalau kami pentingkan diri. Kalau kami pentingkan anak menantu. Kalau kami pentingkan kroni. Kalau kami menggunakan kuasa. Kalau kami tidak amanah. Tuanku tegur dan nasihatkanlah kami.

Daulat Tuanku!