Salam Tuan Empunya Blog,
Pertama sekali, maafkan saya kalau bahasa yang digunakan tidak bersesuaian. Yang penting mesej yang nak saya sampaikan kepada pimpinan atasan PAS – mengenai isu pergaduhan Lim Guan Eng dan Nik Ali (SDO, Pulau Pinang).
Sebagai ahli PAS, saya lihat tindakan KM PP ini hanya akan mendatangkan risau dan marah kalangan orang Melayu Pulau Pinang. Saya katakan ini, kerana Nik Ali adalah ‘satu satunya’ pegawai kerajaan yang mampu membantu kita di bawah. Saya sendiri, sebagai ahli PAS dilayan dengan baik di pejabatnya tempoh hari; sewaktu mengadu mengenai beberapa projek pembangunan di Kepala Batas. Jangan tak percaya, beberapa projek pembangunan di kawasan bekas Perdana Menteri pun ditangguhkan. Sebagai pemimpin PAS kawasan, beberapa ahli jemaah telah sepakat untuk mengadu kepada Nik Ali. Pada masa dan ketika itu juga, dia membuat panggilan kepada Kement Kewangan di Putrajaya. Nik Ali sangat cekap; dan menganggap kami sebagai rakyat yang wajar dibantu.
Saya mengaku di hadapan Nik Ali bahawa saya adalah orang PAS kawasan Kepala Batas. Saya aktif di kawasan. Tuan tahu apa dia kata; ‘saya di sini untuk rakyat; bukan untuk UMNO dan mana-mana parti politik’ lain. Saya dan rakan-rakan sangat terharu; kerana rupanya masih ada lagi kalangan pegawai kerajaan yang tahu dengan ‘prinsip kesetiaan’ mereka kepada rakyat.
Sewaktu keluar daripada pejabat, bertembung pula dengan bakal calon BN Kepala Batas, Ahmad Darus (orang kaya baru UMNO). Ahmad Darus sendiri mengakui bahawa ‘tidak salah’ untuk Nik Ali membantu PAS…’memang patut dia membantu semua….dia pegawai kerajaan; bukan pegawai parti’.
Makna kata, Nik Ali akan membantu ‘rakyat’. Tidak kira ahli politik mana sekalipun. Di Pulau Pinang, nak masuk pejabat Ketua Menteri macam masuk Bukit Aman. Banyak soal. Banyak karenah. Banyak orang yang akan memandang kita serong. Apatah lagi saya yang memakai kopiah putih ini. Kepimpinan DAP tidak mesra dengan kita. Selalu melihat kita macam menyusahkan.
Nik Ali ini orangnya berbeza. Luar biasa. Sangat mesra dan mudah didekati. Memang menjadi tempat mengadu kita di Pulau Pinang ini. Harapkan SUK pun sama kepala macam Ketua Menteri. Banyak protokol. Menyusahkan orang.
Ketua menteri agaknya tidak pernah mendapat maklum balas orang ramai di PP. Saya khuatir, kalau Nik Ali dipindahkan atau dibuang; kita akan mempunyai masalah untuk mengadu dengan pegawai kerajaan. Kita tidak ada tempat untuk minta tolong sebab kerajaan PP sendiri macam tak endah pada kita.
Dengan rasa rendah diri, saya memohon agar pimpinan PAS dapat membantu Nik Ali ini.
Sekian, Wassalam
HABM
Kepala Batas
==========================================================================
Kali ini, kita hanya menyiarkan e mail yang diberikan oleh pengunjung blog ini. Dalam soal yang berlaku di PP, kita tak payah campur. Tapi, apa yang dikatakan oleh ahli kita ini perlu juga diambil kira oleh pimpinan kita. Mereka kurang tempat mengadu di negeri tersebut. Kita di KL ini mungkin tak faham apa yang berlaku di PP. Tapi apa suara hati mereka; kita kena amati dan fahami maksudnya.
PAS Pulau Pinang kena kaji pendirian dalam hal ini. Samada Nik Ali layak dipertahan atau tidak; kita kena buat keputusan dan nyatakan kepada pimpinan. Jangan simpan. Jangan diam. Takut nanti merosak parti…
Pada ana, sebagai ahli PAS kita jangan menjadi JAKUN POLITIK. Takut dengan bayang-bayang sendiri. Takut nak bertindak. Takut kena kritik. Takut dipersalahkan. Tak perlu kita nak menegakkan benang yang basah; kalau yang rugi adalah parti kita sendiri…
Advertisements