Masalah betul Utusan Malaysia ni – bila TG NA baca doa untuk Najib dia marah. Bila Tok Guru puji Najib, dia perli kita pulak. Apa sebenarnya yang Utusan Malaysia ini nak pun kita jadi tak tahu. Kalau dah pujian diberikan tu – terima sahajalah. Cakap terima kasih. Tak perlu ulas secara politik. Tak perlu nak pulang paku buah keras – kata orang tua. Tapi inilah payahnya, bila kita nak tengok semua perkara dalam pandangan politik. TG NA ada pandangan makrifat. Benda yang baik, dia akan puji sebagai baik. Yang tak elok, tugas sebagai pendakwah, memberikan kita kewajiban untuk menegur sesuatu yang tidak elok. Di mana salahnya?

Kita terimalah, sebagai Perdana Menteri, Pak Jib boleh memilih untuk TIDAK HADIR di majlis yang diadakan di Selatan Thailand. Situasi belum aman. Bom sini sana. Petang sebelum tu pun ada bom lagi. Ini memang suasana yang memungkinkan seorang Perdana Menteri untuk berfikir dua kali untuk pergi. Memanglah ada berpuluh kalangan tentera yang mengiringi, termasuk memastikan keselamatan – tetapi itu tidak menjami apa apa.

TG NA puji sebab Pak Jib berani ambil risiko walaupun suasana tidak aman. Ini adalah pujian ikhlas daripada seorang pemimpin PAS. Makna kata, di mana benda yang baik, sebagai orang biasa kita kena kata baik. Bagus juga saranan TG ni. Kita kena husnul zann dalam banyak perkara. Puak dalam parti kita ini pun macam-macam jenis. Ada yang boleh berlebih kurang dengan lawan politik kita; ada yang tidak. Apa yang nak disampaikan oleh TG, ‘makna tersiratnya’ adalah – benda yang baik perlu dipuji dan diterima sebagai baik. Sebagai pejuang, kita tidak boleh kata kita tidak diuji dengan kesakitan. Sakit boleh datang dalam banyak bentuk. Sakit pada batang tubuh. Atau sakit pada hati dan perasaan. Terutamanya, apabila keluarga kita dihina oleh orang lain. Sakit juga.

Dalam perjuangan, waima Rasulullah SAW pun menderita kesakitan. Dalam Perang Uhud, muka Rasulullah SAW luka. Gigi patah. Ini perjuangan. Sebagai pemimpin, tidak ada ruang untuk kita menyorok dan memencilkan diri daripada pertarungan dan peperangan. Bagai diterangkan sebuah hadith sahih:

Sahal bin Sa’ad menceritakan kepada kita tentang luka yang diderita beliau . Ia berkata: “Demi Allah Subhanahu wa Ta’ala, aku benar-benar mengetahui siapakah yang mencuci luka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, siapakah yang menyiramkan airnya dan dengan apa luka itu diubati.” Ia melanjutkan: “Fathimah radhiyallahu ‘anha putri beliaulah yang mencuci luka tersebut, sementara Ali bin Abi Thalib Radhiallahu’anhu menyiramkan airnya dengan perisai. Namun ketika Fathimah radhiyallahu ‘anha melihat siraman air tersebut hanya menambah deras darah yang mengalir dari luka beliau, ia segera mengambil secarik tikar lalu membakarnya kemudian membungkus luka tersebut hingga darah berhenti mengalir. Pada peristiwa itu gigi beliau patah, wajah beliau terluka dan kepala beliau terkoyak lebar.” (HR: Al-Bukhari)

Inilah namanya perjuangan. Inilah namanya ujian sebagai pemimpin. Kita tidak boleh lari daripada situasi yang sukar, sekaligus menguji ketahanan kita sebagai pemimpin. Jiwa pemimpin dan pengikut PAS juga wajar dibangkitkan dengan semangat ini.

Pujian TG NA kepada Najib mestilah diterima dengan hati yang terbuka. Memang ada di kalangan kita yang mengatakan ini memberikan ‘senjata’ kepada Najib nak serang kita. Jangan risau, kalau niat kita ikhlas – insya’Allah kita akan dilindungi.

Nampaknya, TG NA semakin berlembut dengan lawan politik kita. Berlembut tak bermakna kita kalah. Kita akan teruskan usaha. Kita akan perkukuh saf kesatuan kita. Biar kita sekali sekala berlembut dan melemparkan pujian – dan tidak meneruskan benci pada setiap masa. Baguslah perkembangan ini. Rasanya, lebih ramai orang yang sayang dengan parti kita kalau kita mampu berlembut sedikit. Ini ingatan dan iktibar buat semua pendokong PAS di bawah. Jangan memusuhi semua orang. Muka kena manis. Hati kena bersih. Barulah PAS boleh diterima semua pihak

Advertisements