Oktober 2009


Ramai yang beranggapan, keputusan mesyuarat PAS kelmarin masih belum memuaskan hati ramai pihak yang ‘menyokong’ TG Nik Aziz di Kelantan. Ramai kalangan YB yang masih menganggap bahawa keputusan yang dibuat TIDAK CUKUP hormat kepada Mursyidul Am PAS. Masih yang beranggapan, TG Nik Aziz sebenarnya sudah di ‘check mate’ kan oleh kepimpinan pusat secara kurang enak. Ini anggapan. Betul atau tidak adalah perkara yang lain. Yang penting, mesyuarat sudahpun berjalan dengan baik, tersusun dan menjurus kepada usaha mengembalikan kekuatan parti.
 
PAS tidak semacam MCA. Di mana Presiden yang sudah dikenakan undi tidak percaya pun masih mahu mempertahan kuasa. PAS tidak semacam MCA – pemimpin yang cemar dengan imej rasuah dan seks. Itu tidak ada dalam PAS. Alhamdulillah, parti kita masih lagi mampu bertahan dengan daya usaha kepimpinan yang ada. Soal tidak puas hati ini adalah perkara biasa. Bila sudah kalah, ada sahaja jalan yang digunapakai untuk menampilkan hebat diri dan kuasa peribadi.
 
Yang perlu, TG Nik Aziz perlu menasihatkan kalangan Yang Berhormat dari Kelantan untuk menghentikan cerita-cerita mereka mahu meletakkan jawatan secara beramai-ramai. Kita harap cerita ini tidak benar dan boleh dinafikan oleh pimpinan PAS Kelantan dalam kadar segera.
 
Terbaru, Husam Musa membuat cadangan bahawa ADUN UMNO/BN untuk dilantik sebagai Timbalan Pengerusi kepada setiap Exco di Kelantan. Ini cadangan atau usaha untuk memperli keputusan mesyuarat kelmarin? Kenapa Husam masih berdendam? Kenapa Husam masih tidak puas hati? Tidakkah Husam menyuarakan pandangan di dalam mesyuarat tempohari? Tidakkah Husam menyatakan apa yang sebenarnya terbuku di dalam hati?
 
Cadangan Husam ini adalah ibaratnya, pukul anak sindir menantu. Suatu cadangan yang sangat jahat dan cuba menidakkan keputusan mesyuarat. Sudah dikhabarkan oleh Presiden, bahwa rundingan Kerajaan Perpaduan sudahpun ditamatkan secara serta merta. Kenapa Husam nak timbulkan idea dan cadangan ini? Ibaratnya, kalau nak sangat bergabung dengan UMNO; mari kita buat di Kelantan.
 
TG Haji Hadi sepatutnya bersemuka dengan Husam dan berterus terang, bahawa dia sudah pantas menjadi liabiliti kepada PAS. Kalau Husam Musa terus bermain dengan sandiwara, membuat kenyataan yang menghina ‘institusi’; dia layak diambil tindakan tegas. PAS jangan takut. Pada pandangan penulis, dosa Husam lebih besar daripada dosa Hasan Ali. Hasan Ali tidak mengutuk pimpinan PAS. Hasan Ali tidak membuat kenyataan merosakkan parti. Hasan Ali tidak tumbuk orang di rumah terbuka. Husam?
 
PAS sudah perlu menggunakan keputusan mesyuarat sebagai platform untuk menyatupadukan penyokong. Soal beberapa orang pemimpin yang kasar seperti Husam ini mesti diambil tindakan. Jangan biar dia terasa dirinya sebagai ‘primadona’ dalam perjuangan PAS. Kalau TG Nik Aziz boleh terima keputusan mesyuarat, siapa Husam nak mempertikai keputusan sama?

Alhamdulillah, TG Nik Aziz dijadualkan akan hadir di pertemuan malam ini. Sebagai penyokong dan ahli parti, kita mendoakan agar pertemuan malam ini akan merungkai segala macam ketidakpuasan hati di kalangan pimpinan yang ada. Biarlah pertemuan malam ini menjadi nadi kepada percantuman hati dan iltizam, di kalangan pimpinan – dan kemudiannya semangat sama diturunkan kepada kita di peringkat akar umbi.
Waima di dalam kariah sekalipun, perbedaan fikiran adalah perkara biasa. Ada benda kita suka. Ada benda yang kita tidak suka. Tapi, dalam perjuangan kepentingan peribadi mesti diketepikan demi perjuangan parti. Ini asasnya. Ini bai’ah kita. Ini janii setia kita kepada pemimpin. Baik Hadi ataupun Nik Aziz, rasa hormat kita tidak boleh carik. Kita masih menganggap mereka seperti lilin kepada perjuangan PAS secara keseluruhannya.
Apa yang blog ini sedikit risau, sementara mesyuarat perpaduan berlaku di Kuala Lumpur; ada kalangan rakan-rakan Exco dan YB di Kelantan sudah memulakan mesyuarat sendiri. Mereka khabarnya tidak mahu TG Nik Aziz pergi ke mesyuarat di Kuala Lumpur tanpa perisai. Tanpa tanda kekuatan. Ini akan menyebabkan Menteri Besar Kelantan itu kelihatannya seperti tidak ada sokongan. Beberapa orang kalangan Exco/YB PAS di Kelantan sudahpun menyatakan persetujuan, bahawa pandangan TG Nik Aziz disangkal secara kasar dan kurang ajar; mereka sudah menyatakan kesediaan untuk mengosongkan kerusi masing-masing demi maruah TG Nik Aziz. Mereka sanggup turun semula ke peti undi, dalam menyatakan bahawa mereka sentiasa berada di belakang TG Nik Aziz.
Kita khuatir jika suasana ini berlaku. Manakan tidak. Dalam kita berkeadaan tidak kuat dan kecamuk, turun ke peti undi dan berhadapan dengan rakyat adalah sesuatu yang tidak menjanjikan sesuatu yang indah. Apatah lagi, jika PAS berpecah dan bertanding di atas platform yang berbeza. Inilah sebenarnya yang sedang bermain di fikiran ramai ahli PAS. KIta harapkan janganlah usaha mana-mana pihak nak ‘mempengaruhi’ MB Kelantan membubarkan DUN menjadi kenyataan.
Antara ADUN yang dikatakan menjadi orang kuat kepada usaha ini dikatakan pula bukan di kalangan yang menang selesa. Ini yang menang atas ‘nasib’ pun ada hajat nak kembali mengadakan PRK. Buatnya kalah, tak ke naya parti kita.
Antara yang bersungguh dan kuat menyokong agar TG Nik Aziz ugut untuk membubarkan DUN adalah ADUN Wakaf Baru, Selising dan Kemuning. Semuanya jenis menang nasib. Bawah majoriti 1,000. Tetapi ada niat nak balik ke peti undi.
ADUN Wakaf Baru menang 660 undi. ADUN Selising (783 undi) dan ADUN Kemuning (916 undi). Berani ke kita nak berhadapan dengan pilihanraya?
Kadang-kadang dalam kita bersungguh nak mempertahan ‘pasukan’ – jangan sampai parti jadi hancur. Ini tak betul. Tindakan ini merosakkan semangat kita dalam PAS. Selain daripada tiga orang yang menang nasib ini – ADUN Dabong pun dikhabarkan kuat juga menyucuk untuk dibubarkan DUN. Kuat sangat ke rakan-rakan YB kita ini?
Kita harapkan, biarlah kalangan pimpinan yang buat keputusan. Kita jangan campur nak merosakkan keadaan. Biarlah mereka yang beristikharah. Yang kita menang nasib ini – jagalah kawasan dengan sebaiknya. Jangan kalah nanti, hancur semua harapan.
Ini ingatan dan nasihat. Kalau menang nasib – buat cara menang nasib.
Wallahua’Alam
Pembentangan bajet di DUN Kelantan tempohari tidaklah membayangkan sangat bahawa kita mampu menghadirkan sebuah kerajaan Negeri yang wibawa dan hebat. Benar, mungkin ramai yang di dalam PAS tidak setuju dengan kenyataan ini, tetapi inilah kenyataannya. Kita masih terbelenggu dengan defisit dan tidak mampu menzahirkan suasana pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz yang selalu dijadikan model oleh mana-mana kerajaan Islam sekalipun. Kita masih terpaksa berhadapan dengan defisit pentadbiran yang masih belum lunas.
Alasan kita selalu mudah. Kita salahkan Persekutuan. Kita salahkan orang. Kita jarang melihat diri kita sendiri. Kita jarang menyalahkan bahawa tindakan politik dan iktisadiy kita tidak selari dengan zaman. Kita masih bergantung kepada balak. Kita masih bergantung kepada ekonomi lama.
Tidak lah sesuatu yang memeranjatkan apabila Ketua Pembangkang DUN Kelantan bangkit dan meminta kita menjadi pentadbir yang lebih kreatif dalam memacu ekonomi Negeri. Ini jugalah yang kita selalu lakukan di mana kita menjadi pembangkang. Bukanlah sesuatu yang amat memeranjatkan apabila banyak pihak yang mula mempersoalkan bagaimana kita mampu mengurus ekonomi Negeri Kelantan dengan lebih baik. Ini bukan lagi soal mainan. PAS Kelantan mesti menjadi model kepada pentadbiran Kerajaan Negeri PAS yang wibawa. Ini tidak ada galang gantinya.
PAS Kelantan mesti menampilkan kewibawaan kerana inilah lubuk kekuatan kita. Inilah raudhah politik yang menampilkan PAS sebagai kuasa politik yang sebenar. Sepatutnya, Tuan Guru Nik Aziz patut menyampaikan ucapan bajetnya. Bukan Husam. Tetapi inilah sebahagian daripada kemungkinan bahwa Husam Musa bakal ditampilkan sebagai Menteri Besar yang baru.
Soalnya, dalam memacu ekonomi ‘berhemah’; Husam perlu juga menampilkan amalan politik yang turut ‘berhemah’ juga. Tidak perlulah menampar orang di majlis rumah terbuka. Tidak perlulah menolak salam orang veteran dalam parti. Tidak perlulah tidak melihat wajah orang ketika bersalam. Tidak perlulah nak merosakkan parti demi kepentingan peribadi. Tidak perlulah menjadi ‘orang kalah’ yang tidak matang. Tidak perlulah menjadi seorang Exco Kanan yang lebih sudu dari kuah.
Kalau Husam komited kepada usaha membina ‘hemah’, dia juga mesti menjadi pengamal budaya politik PAS yang berhemah. Jangan berselindung di sebalik rapatnya hubungan dengan TG Nik Aziz sebagai pelindung kepada segala masalah peribadi yang merosakkan.
Orang melihat Husam sebagai seorang pemimpin Islam yang progresif tetapi mungkin terlalu ‘panas baran’. Terlalu ‘gedebe’ dalam politik pun merosakkan imej parti juga sebenarnya. Pandai-pandailah membawa diri supaya tidak menjadi seorang pemimpin yang melampau. PAS tidak memerlukan kepimpinan yang ‘gedebe’ yang cepat melemparkan penampar kepada orang lain.
Husam Musa mesti berubah dalam memastikan PAS tidak tergolek sama dengan masalah peribadinya. Jangan nak rosakkan parti demi menjaga maruah peribadi. Masalah kepada Husam adalah sikap egonya yang menggunung. Kalau boleh menjadi zuhud sedikit lebih molek untuk parti.
Janganlah terlalu mendahulukan diri, saat parti sudah semakin goyah.

Maaf jika lama tidak membuat ‘update’ di dalam blog ini. Tujuannya hanya satu, dalam kemelut yang melanda parti PAS sekarang ini – blog ini tidak mahu membuat terjahan sikap yang tidak tepat dan tidak betul. Tinjauan kena jauh ke bawah. Pemerhatian mesti menyeluruh. Kena jumpa seramai mungkin ahli parti. Kena perhati sebarang isu yang berlaku dengan hati yang terbuka dan tenang. Blog ini tidak mahu berada memihak di dalam kemelut yang melanda Haji Hadi dan Nik Aziz. Mungkin dalam keadaan marah, Nik Aziz telah membangkitkan cadangan kemungkinan di adakan EGM untuk menyelesaikan kemelut di dalam PAS.

Apa perlunya EGM ini? Sedang kita baru sahaja menyelesaikan Muktamar tidak beberapa lama pun lagi. Pemimpin sudah dipilih. Dipilih dengan suara yang yang ramai. Dipilih secara demokratik. Haji Hadi sendiri pun dipilih secara ‘sebulat suara’. Tidak ada tentangan yang bermakna. Dalam parti MCA, situasinya lain. Ada yang tak sedap hati antara Presiden dan Timbalan Presiden. Dalam PAS, Presiden dan Timbalan Presiden ‘satu papan’ kata orang politik. Takkan ada kemelut. Yang peliknya, kemelut datang daripada mereka yang berada di luar ‘hierarki’ parti. Ini yang tidak sepatutnya berlaku.

Suara Nik Aziz sudah diketepikan secara mutlak di dalam muktamar. Ini pandangan dan kemahuan perwakilan. Mereka mahukan PAS yang lebih dinamik dan progresif. Bukan PAS yang terbuai dengan budaya politik PKR dan Anwar. Ini hakikatnya. Kalau betul Nik Aziz kuat, Husam kuat – takkanlah undi nya jadi begitu. Tidak akan lah perwakilan PAS menjadi sangat tidak cerdik dalam menentukan halatuju dan kehendak mereka.

Ramai yang penulis temui mengatakan mereka tidak melihat EGM sebagai jalan yang baik. Ramai yang merasakan ianya akan hanya membuatkan PAS lebih terpecah belah. Ramai juga yang menganggap bahawa ini semua kerja mereka yang tidak puas hati kerana kalah. Kalangan yang sakit hati. Kalangan yang hasad. Kalangan yang dengki. Dek kerana marah yang belum tenang, penampar pun melayang di rumah terbuka parti. Masya’Allah, pemimpin jenis apakah ini.

Tindakan Salahuddin bertemu Tuan Guru Nik Aziz dengan pantas dan mencari jalan penyelesaian adalah langkah yang terpuji. Sebagai seorang Naib Presiden, tindakan Salahuddin nampak ada ‘tanjak’ sebagai seorang Naib Presiden yang matang. Tidak seperti dua lagi Naib Presiden kita yang ‘takut-takut’ dalam mengemukakan pandangan. Takut mengecilkan hati mana-mana pihak. Mana tahu nak bertanding lagi selepas ini.

Langkah Salahuddin mencadangkan mesyuarat khas, dalam menggantikan idea cadangan EGM adalah suatu langkah musyawarah yang baik. Jangan kita terbuai dengan kegilaan EGM dan kemudiannya membuatkan parti lebih parah dan tidak molek.

Kita mungkin boleh cadangkan, kepada mereka yang terlalu TAAT dan AKUR dengan jalan politik Anwar untuk keluar dan berada di dalam PKR. Bukankah itu lebih molek, daripada terus nak menimbulkan kacau bilau di dalam parti Islam kesayangan kita ini. Apa yang berlaku ini tidak lebih kepada masalah ‘setia yang berbelah bahagi’, antara kepentingan PAS dan parti lain yang jadi amirnya.

Kita kena ambil iktibar, dalam apa jua peperangan/ghazwah ‘pemimpin’ mestilah seorang, dan bukannya dua. Kalau masing-masing tahu peranan masing-masing, parti tidak keliru dan celaru. Kepada yang kalah tempohari, anda masih punya amanah dan tanggungjawab untuk mengukuh parti. Bukan meruntuh. Jangan cuba nak hancurkan PAS dengan mainan politik murahan seperti ini.

Alhamdulillah, bersyukur di atas penganugerahan Allah SWT kepada kita di dalam PAS seorang pemimpin yang sungguh zuhud dalam mentadbir kerajaan Negeri Kelantan. Teringat kata seorang Profesor UIAM, yang kebetulan ke Kelantan untuk melakukan ‘research’ mengenai PRU yang lalu – katanya: ‘kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz tidak boleh dinilai secara material dan kebendaan. Kita kena lihat susuk dirinya yang sederhana; dan kepimpinan berkesan yang menjurus kepada menyenangkan hati rakyat’. Ini suatu analisa yang luar biasa. Daripada seorang Profesor yang biasa dengan kajian kepimpinan dan ‘leadership’ di peringkat antarabangsa.
UMNO dan puak yang tidak menyukai kita akan mula membayangkan bahawa Kelantan adalah negeri yang mundur dan miskin. Betapa banyaknya kalangan mereka yang berada di bawah paras kemiskinan. Apakah mereka merasai kemiskinan itu? Hakikatnya, dalam suasana yang lebih besar; mereka merasai ‘kekayaan jiwa’ dengan kepimpinan yang sangat mendasarkan Islam. Inilah hebatnya kepimpinan TG Nik Aziz, Yang Amat Berhormat.
19 tahun bukan tempoh yang sekejap. Ianya lama. Dah dekat dengan rekod Tun Mahathir dah. Sepanjang hidup politik Tun M, beberapa kali Kelantan mahu ditumbangkan tetapi gagal. Ini termasuk usaha meletakkan Ku Li sebagai ‘pengerusi perhubungan’. Letak Annuar Musa (yang kononnya berjurus pun…) gagal jugok. Inilah kebalnya kedudukan kepimpinan TG Nik Aziz. Pihak UMNO boleh letakkan apa sahaja fakta, Nik Aziz sebenarnya kaya raya, anak menantu mengumpul harta, Husam Musa menggila kaya – apa sahajalah, semuanya tidak akan menjadi makanan kepada orang Kelantan.
Apa ‘psyche’ orang Kelantan? Yang boleh menidakkan kemiskinan, demi mengundi sebuah perjuangan bernama Islam. Ini tidak boleh diterangkan menggunakan teori politik dan sosiologi. Orang Kelantan sudah menilai kepimpinan di dalam kayu ukur yang lain. Bukan setakat retorik 1 malaysia, bukan setakat agenda mengkayakan negeri. Bukan setakat mempunyai ikatan baik dengan Istana. TG Nik Aziz adalah seorang pemimpin lengkap – yang tidak boleh dinafikan lagi. Rakyat Kelantan tidak mudah untuk dilenakan dengan ‘janji-janji manis gerombolan Tok Pa’ dan UMNO Kelantan.
Namun, dalam masa yang sama – sebagai jamaah PAS kita tidak boleh terus bergembira dengan suasana yang ada. Manek Urai telah membuktikan bahawa kita tidak selamanya selamat daripada serangan kutu politik kebendaan UMNO. Ini penyakit berjangkit. Penyakit berbahaya yang mampu meruntuhkan kepimpinan cemerlang TG Nik Aziz dan PAS. Kita kena kaji semula dengan sepenuhnya. Betul, mereka gunakan RISDA, FELCRA, KESEDAR dan sebagainya; tapi apa tindakan kita?
Kita jangan sedap berselindung di sebalik ‘kepimpinan ulama’, tetapi melupakan bahawa rakyat akhirnya akan menanyakan kemampuan kita menyelesaikan masalah mereka. Ana khuatir dengan ekonomi Kelantan. Nak cari maklumat melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan pun tak dapat. Website tidak dikemaskini. Tak boleh buka pun. Nak cari maklumat lain di website Kerajaan Negeri – data lama. Tahun 2000. Angka kemiskinan tahun 2000. Kadar pengangguran tahun 2000. Ini sudah 2009. Sudah 9 tahun. Mana data baru yang boleh memperkukuh niat politik kita di Kelantan?
Jangan ambil mudah. Jangan ambil mudah. Jangan ambil mudah. Dalam kita meraikan kehebatan kepimpinan TG Nik Aziz, kita kena jujur dengan prestasi sebenar kerajaan negeri pimpinan kita. KIta jangan terlalu terpercaya bahawa rakyat akan bersama kita dalam apa jua keadaan. Kalau mereka ‘korner’; tersadung dan tersungkur kita.
Kita tidak akan menerima tohmahan yang diberikan oleh pihak UMNO/BN; tetapi kita juga tidak boleh ambil mudah mengenai prestasi ekonomi negeri. Jangan tinggal kebajikan kepada rakyat. Mahathir dulu mungkin tidak betul; tetapi rakyat (melayu, cina, India) seronok berada di bawah kepimpinannya. Ekonomi baik. Pentadbiran baik.
Tahniah kepada kepimpinan TG Nik Aziz dan seluruh Exco Kerajaan Negeri. Tahniah – dan berusahalah untuk menjadi kerajaan yang LEBIH BAIK dan ber-PRESTASI TINGGI.
Sebagai penggerak PAS, ana setuju sangan dengan tulis Penarik Becha mengenai ucapan Ketua Pemuda UMNO yang sudah macam ‘tak ingatkan bangsa’. Betul, kita dalam PAS memang perjuangkan agama Islam sebagai perjuangan nombor wahid. Tetapi, bila seorang Ketua Pemuda UMNO (parti nasionalis) membangkitkan bagaimana orang Melayu/Islam perlu menghilangkan ‘siege mentality’ – mentaliti terperosok, defensif dan diperangi; timbul musykil yang hebat pula. Musykil, kerana dengan ucapan begitupun, Pemuda UMNO masih mengaku mereka sebagai pejuang agama, bangsa dan negara. Sudahlah perjuangan Islam diketepi; perjuangan bangsa pun nak dinafikan. Ini sudah kes parah.
Kita dalam PAS, perjuangan cukup jelas. Kita tidak pernah rasa bersalah nak bercakap pasal apa pun. Kerana nawaitu kita sangat jelas dan jernih. Mendaulatkan agama Allah SWT di atas muka bumi. Ini yang berlaku di kebanyakan negeri yang kita pimpin. Waima di Selangor sekalipun, semalam seramai 64 orang anak muda Muslim yang mendatangi sebuah pusat hiburan telahpun ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan. Permulaannya, mereka akan ditarbiyyah di dua buah kem pembaikan akhlak (bukan PLKN).
Nampaknya, perjuangan Islamiyy PAS sudah mula diterima baik oleh pegawai dan kakitangan kerajaan. Kalangan yang mengambil tindakan bersepadu pun sudah mula faham bahawa mereka mesti bertindak melalui minda dan arahan kerajaan Negeri. Ini memudahkan banyak perkara.
Ini bukan soal penangkapan – ini soal tarbiyyah. Kita tangkap bukan macam anggota RELA tangkap. Kita tangkap dengan ber-MARUAH. Tidak mengaibkan. Amalan sebegini akan pastinya mengembalikan sokongan undi orang Melayu di Selangor kepada PAS.
Siege mentality – yang disebut anak menantu Tun Lah ini kita dalam PAS tak payah ulas panjanglah. Namun, kesian kerana Pemuda UMNO mudah sangat diperbodohkan oleh Ketua Pemuda yang berlagak bijak. Kononnya nak melahirkan ‘pemimpin ber-fikiran’ (thought leadership); tetapi diri sendiri juga masih terjajah dengan sikap lama yang membebankan. Si anak menantu ini sudah tidak ada modal lain agaknya. Nak tarik perhatian, tetapi tersalah jalan.
Yang nyata, Pemuda PAS kena gunapakai hujah ini untuk membuktikan bahawa Pemuda UMNO, lawan mereka, sebenarnya sudah berada di tahap ‘tepu minda dan pemikiran’. Sayanglah sangat, kalau itu sahaja yang dapat keluar daripada minda Melayu Ox-Bridge. Memalukan.
Pemuda PAS tak perlu berusaha banyak pun dalam berhadapan dengan Pemuda UMNO ini. Gedebe mereka ini bermusim. Kejap pertahan hak Melayu. Kejap marahkan Hindu. Kejap heret kepala lembu. Kejap marahkan Cina. Tetapi dapat duit daripada kontraktor Cina – hipokrit.
PAS kena perkukuh nilai kerajaan Islam yang kita nak bawa. Yang kita tangkap pun – adalah orang Islam juga. Jadi betullah tindakan kita. Sebagai kerajaan, kita ada tanggungjawab dan peranan. Kita mesti perkuatkuasakan hukum Islam. Kalaulah hakim di Selangor jadi berani macam di Pahang, jenuh nak sebat 64 orang. Ramai tu.
Kita biarkan UMNO dengan ‘siege mentality’nya. Yang ana ingat, filem under siege – Steven Seagal. Cerita kapal selam. Dalam laut. Agaknya UMNO nak biasakan diri ‘tenggelam dan terbujur kaku di dasar lautan’ agaknya.
Mentaliti siapa yang terperosok jauh? Mentaliti hadhari?
* anak menantu ni mindanya ‘rosak’ sekali…kena overhaul.

Nampaknya Haji Hadi sekali lagi mengatakan bahawa pembukaan keahlian PAS kepada bukan Islam adalah jalan politik yang mesti diambil oleh PAS dalam masa terdekat ini. Perkara ini dinyatakan di dalam Kursus Kepimpinan PAS Terengganu yang turut dihadiri oleh Harun Taib dan Mustafa Ali. Ana bukan tak setuju, tetapi merasakan usaha ini terlalu ‘dipercepatkan’ dan khuatir ianya akan menolak lebih banyak undi orang Melayu kepada PAS. Ini sudah berlaku di Bagan Pinang, makanya tidak mustahil berlaku di tempat lain. Isu keahlian bukan Islam ini bukan isu kecil. Ini isu dasar. Isu yang sangat berkait dengan masa depan parti kita ini. Apakah kita sememangnya tidak boleh nak bergantung harap kepada DAP dan PKR? Apakah ahli bukan Islam di dalam PAS ini boleh mengundi? Apakah mereka ini mampu membuat keputusan penting untuk partyi kita? Maka, di mana sempadan sebenar antara Islam-nya PAS atau liberal benarkah PAS kita ini? Apakah kita akan dipandang sama oleh rakan-rakan parti Islam lain di peringkat dunia? Tidak kah kita dilihat sebagai parti yang tidak konsisten? Sejauh mana penerimaan orang PAS sendiri dengan keputusan ini? Perbualan ana dengan Haji Sarif (aktivis PAS kawasan AU Hulu Kelang) memberikan ana perspektif baru. Katanya, PAS mengambil jalan yang sangat sukar di dalam pilihanraya nanti jika mengambil keputusan mempunyai ahli bukan Islam. Haji Sarif risau kerana ramai di kalangan rakan-rakannya sendiri tidak boleh terima kenyataan ini. Tidak boleh terima dengan sikap Machiavelli pimpinan PAS dalam isu sebesar ini. Ana kata, pimpinan kita ini tarafnya wali Tuan Haji. Takkanlah mereka nak buat sesuatu yang merosakkan PAS. Haji Hadi mestilah ada ‘mimpi’ yang memungkinkan perkara ini berlaku. Haji Sarif marahkan ana. Katanya, pimpinan PAS bukan wali, tetapi ahli politik biasa yang boleh membuat silap. Ana akur. Soalnya, soal nak memberikan ‘hak penuh’ sebagai ahli PAS kepada bukan Islam memerlukan kajian lebih mendalam. Sejauh mana mereka ini sanggup ber-bai’ah bahawa mereka tidak akan menolak negara Islam. Mereka setuju? Mereka boleh terima – kalau boleh ana akur. Tapi, soalnya berapa orang yang boleh terima? Kalau setakat 10,000 orang tidak membawa makna apa-apa. PAS, pada pandangan ana memerlukan konsep sokongan ahli bukan Islam dengan lebih menyeluruh. Jangan kita berebut nak jadi UMNO. UMNO dah benarkan bukan Islam masuk ke dalam parti tersebut. Habis kacau bilau. Najis jadinya perhimpunan UMNO. Ramai orang UMNO Sabah yang bukan Islam. Ahli kristian tetapi bercakap soal ‘agama, bangsa dan negara’. Macam itukah kita nak jadi? Ana cukup khuatir. Zaman Nabi pun, pendekatan yang dibuat adalah ‘engagement’ dengan orang bukan Islam. Bukan keahlian. Orang bukan Islam tidak pernah masuk dalam mesyuarat orang Islam. Ini pun kita kena perhati.

Laman Berikutnya »