September 2009


Nasihat umum Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man untuk kita tidak mengambil mudah dengan cabaran politik UBN ni ada betulnya. Dalam ceramah baru-baru ni, Tuan Ibrahim ingatkan ahli parti agar tidak ambil mudah dengan cabaran UBN. Jangan anggap mudah sangat kita nak kalahkan mereka. Betullah agaknya MCA kecamuk. MIC huru hara. Tetapi, UBN secara keseluruhannya masih kuat.
Nak menawan sesuatu yang menjadi milik mereka bukan mudah. Tuan Ibrahim kata, kita mesti ada kekuatan ‘menggigit’ juga. Jangan kita sama kita asyik bercakaran – akhirnya UBN juga yang menang. Nasihat ini memang ada nilai dan kebenarannya. Dalam seronok-seronok kita meraikan kemenangan; mesti ada orang yang menasihati kita dengan kemungkinan ‘kekalahan’. Alhamdulillah, Naib Presiden kita ini memainkan peranan itu.
Nasihat juga Naib Presiden kita berikan agar kerajaan ‘muda’ PR di Selangor dan Pulau Pinang belajar banyak dengan kerajaan ‘tua’ yang ada di Kelantan dan Kedah. Ilmu TG Nik Aziz dan Ustaz Azizan bukannya kecik anak. Mereka penuh pengalaman. Punya kemahiran diplomasi yang tinggi. Kerajaan nampak kuat. Pentadbiran nampak teguh.
Kerajaan PR di Selangor dan Pulau Pinang kadangkala terlalu ’emosional’ dan tidak berpegang kepada konsep musyawarah. Itu yang payah. Banyak keputusan MB buat atas nasihat ‘rakan sekeliling’ yang ada kepentingan. Nasihat baik – tidak diterima. Akhirnya, yang buruk juga dijadikan pedoman.
Tuan Ibrahim hanya menyampaikan pandangan ‘matang’ seorang pemimpin PAS. Pandangan ‘matang’ ini tak semua orang ada ilmunya. Ramai yang cakap berdegar – tapi tak matang. Ataupun cakap berdegar – ‘tapi ada bunyi suara orang lain’. Tuan Ibrahim cakap tidak ada kepentingan. Direct to the point.
Memangpun kerajaan Negeri PR kena banyak belajar dan mendalami ilmu politik lagi. Tidak cepat rasa senang hati dengan pencapaian yang ada. Pemberian BONUS kepada kakitangan sokongan adalah permulaan yang baik! Ini yang kita nak. Kerajaan yang boleh memberi ‘keselesaan’ kepada kakitangan kerajaan Negeri yang ada. Bila mereka seronok dengan kita – mereka akan setia dan bertindak dengan arahan kita. Senang buat kerja.

Advertisements

Kita selalu mengatakan bahawa PAS adalah ‘option’ terbaik kepada orang Melayu. PAS jadi ganti UMNO. PAS lebih baik dari UMNO. PAS ada pemimpin yang lebih molek akhlaknya daripada apa yang ada dalam UMNO. PAS mesti jadi ‘alternatif’ kepada masa depan politik orang Melayu. Dengan teguh pendirian tentang Islam, sepatutnya tidak ada pilihan untuk orang Melayu. Samada PAS, ataupun UMNO. Kalau mereka pilih UMNO – mereka sebenarnya adalah Melayu nasionalis yang tidak ada nilai Islamik sangat. Mereka pentingkan materialisme. Kalangan orang Melayu yang teguh pendirian, siap ditarbiyyah dengan amalan Islami akan pastinya memilih PAS. Perjuangan PAS jelas dan lengkap. Tidak akan ada makna Melayu jika bukan Islam. Tengok lah dalam Perlembagaan. Melayu mesti beragama Islam. Bukannya Islam tidak ada tanpa Melayu. Bab ini kita jangan keliru dan dikelirukan. Apa yang ramai teman-teman musykilkan waktu selepas iktikaf di masjid tadi adalah saranan Anwar Ibrahim agar Melayu turun beramai-ramai dan menjadi ahli DAP? Apa maknanya ini? Ustaz Ramli sampai meludah tidak puas hati (sebenarnya nak buang air liur dalam mulut). Apa tidaknya, kenapa seorang Ketua Pakatan sanggup mendahulukan DAP daripada PAS? Apa pulak salah PAS kepada Anwar? Sejak bila pula DAP jadi opsyen kepada UMNO? Ramai ahli jamaah PAS di bawah dah semakin keliru dengan kenyataan Anwar. Apakah kalau Melayu masuk PAS; PR akan goyah? Apakah itu yang Anwar nak sampaikan? Kenapa mesti DAP? Melayu apakah yang boleh menerima perjuangan rasis DAP? Apakah sifir politik semudah itupun Anwar tidak boleh faham? Minta maaf cakap, PAS mesti menjadi opsyen mutlak kepada orang Melayu. Kenyataan ‘Melayu Masuk DAP, PR Lagi Kuat’, macam nak memberi erti – ‘Melayu Masuk PAS; PAS terlalu kuat’? Apakah itu maksud Anwar? Apakah Anwar sudah terlalu gentar dengan perjuangan PAS yang mula mendapat tempat di kalangan orang Melayu? Apakah Anwar terlalu takut dengan kemungkinan PAS menjadi terlalu ‘ke depan’ dalam politik nanti? Dalam Anwar sibuk memahamkan dirinya dengan politik baru – Anwar juga kena faham dengan hati budi dan perjuangan PAS. PAS ini, pada hakikatnya tidak pernah sangat bercita-cita tinggi nak jadi Perdana Menteri. Tidak pernah lagi. Tapi, apa yang berlaku pada Mac 2008; membayangkan bahawa PAS juga sama kuat dengan parti-parti lain. Meletakkan DAP di hadapan PAS, adalah suatu ‘tikaman’ politik yang tajam kepada PAS. Anwar mungkin tak rasa – tapi kami rasa. Untuk pengetahuan Anwar, disebabkan rasa ‘percaya’ kepada PAS lah, ramai orang Melayu mengundi PR. Ini hakikat. Anwar sahaja tidak akan ke mana. PAS menyediakan ‘asas’ kepercayaan rakyat kepada PR. Bukan PKR. Bukan DAP. Malahan, ramai juga orang Cina yang kata, sebab PAS – mereka lebih yakin. ‘Orang PAS manyak dekat dengan Tuan Alla. Dia boleh kasi nasihat sama kita punya leader’. Itu yang dia orang kata. Anwar patut lebih hati-hati dengan membuat kenyataan begini. UMNO pasti ambil maklum dengan perkara ini. Kalau Anwar sudah galakkan Melayu masuk DAP; apa kedudukan PAS? Adakah PAS masih lagi penting dalam sifir politik Anwar. Ataupun, sifir politik Anwar – 2 kali 2, belum tentu 4. Kita desak Anwar perbetulkan kenyataan itu. Tempat orang Melayu adalah PAS. Bukan DAP. DAP jangan gatal nak cuba tampilkan diri sebagai parti semua kaum. Tidak ada satu parti semua kaum yang sukses setakat ini. PKR pun sebab kita yang sama-sama bantu. Harap dia sendiri. Ke laut juga.

SPR (takde M) telahpun membuat keputusan untuk mengadakan PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober 2009 nanti. Penamaan calon akan dilakukan pada 3hb Oktober. Musim raya lagi tu. Barulah betul pilihan ‘raya’. Sebab jadi musim raya. Inilah sebenarnya yang kita tunggu-tunggu. Bertanding dengan UMNO di kawasan mereka menang. Baru seronok. Barulah kita boleh menguji kekuatan sebenar parti kita. Tidaklah sentiasa berselindung dengan kekuatan tempat sendiri. Kita nak buktikan kepada pengundi di luar sana; PAS boleh menang ‘home’; dan boleh juga menang ‘away’ match. Macam bolasepak la pulak.

TG Haji Hadi telahpun memaklumkan bahawa PAS telahpun mengenalpasti 3 orang calon di Bagan Pinang. Semua mereka orang yang dah ‘biasa’ dengan daerah tersebut. Dah kenal orang. Tahu segala selok-belok jalan di situ. Faham dengan kelemahan UMNO yang ada di situ. Inilah yang kita mahu, orang tempatan yang mengerti dengan amalan politik setempat. Barulah ada sengat.

PAS, setakat ini memang tidak ada masalah dalam mencari calon. Kita tak main sangat dengan calon ‘recycle’. Apatah lagi dengan calon ‘recycle’ yang banyak cerita ‘busuk’ belakang tabir. PAS jauhkan sama sekali. Mudahnya dengan PAS, kalangan aktivis dan ahli parti memang sudah sentiasa ditarbiyyah dengan budaya dan amalan hidup yang bersih. Yang Islamik. Jadi, soal nak tentukan calon itu bukanlah sesuatu yang sukar. Kita ada banyak pilihan. Kalau dalam pasukan bola – yang duduk di bangku ‘simpanan’ pun bagus. Itu yang UMNO tak tahan.

Lainlah dengan UMNO. Bila sahaja sebut pilihanraya kecil di Bagan Pinang. Mata mereka terus nampak kelibat Mat Isa. Takde orang lain dah. Mesyuarat Bahagian yang dipengerusikan sendiri oleh Mat Isa – cadang dua nama. Kalau tak Mat Isa. Anak Mat Isa. Senang ajer sifir politik UMNO ni. Jawatan wakil rakyat pun boleh difaraid begitu. Tak kiralah layak atau tidak. Mesti ada ‘kaitan’ Mat Isa, baru boleh menang.

Mat Isa bukannya tidak ada ‘cerita’ di belakang. Masya’Allah. Teruk juga. Tapi disebabkan UMNO sudah desperate dengan calon yang boleh memenangkan – takrif yang digunapakai ‘winnable’; maka terpaksalah juga mengekalkan Mat Isa. Najib, walaupun sama nama dengan PM – tidaklah setangkas dengan PM itu. ‘Tangkas’…..tapi dalam hal yang lain la kot.

PAS kali ini dikatakan akan tertumpu kepada dua orang calon utama, Zulkefly (Pesuruhjaya PAS NS) dan Ramli Ismail (YDP Pas Teluk Kemang). Dua ini calon favourite. Setakat ini. Mereka inilah antara nama yang diharapkan dapat menawan hati pengundi di Teluk Kemang. Ketokohan ada. Kemampuan pun ada. Calok ke-3 dikatakan orang luar. Itu yang payah sikit tu. Kita pun kadangkala ada perangai UMNO juga. Orang luar kita tak boleh nak terimo sangat do. Tak dapek nak menerimo seponuh hati den. Ini pun penyakit bosar jugo.

Berbalik kepada calon kita yang dua ini, walaupun PAS NS dirasakan ‘kurang ummmphh’ berbanding negeri lain. Kita kena terima hakikat bahawa mereka ini duduk dalam Negeri yang sangat ‘taksub’ dengan UMNO. Taksub dek budi baik UMNO. Taksub dengan duit ringgit UMNO. Jadinya, susah la sikit untuk kita ‘menjerat’ pengundi dengan perjuangan kita. Tetapi, ini tidak bermakna kita akan tewas kali ini. Angin di bawah dirasakan cukup lain. Apatah lagi dengan 19 % pengundi India; dan 10 % pengundi Cina. Kita hanya perlukan peratusan yang besar di kalangan pengundi Melayu. Dapat 35 % pun kita dah menang. Insya’Allah ada harapan.

Kita kena cadangkan kepada pimpinan agar cetak gambar Teoh dan gambar kepala lembu banyak-banyak. Kita tebarkan di seluruh kawasan mereka. Barulah mereka sedar betapa kita sedang berlawan dengan kerajaan yang tidak mesra dengan kita. Ini kita kena usahakan secara bersungguh.

Kali ini, UMNO ada harapan kalah di tempat mereka sendiri. Ya Allah, inilah nikmat perjuangan buat kita yang sebenarnya. Jangan beraya lama-lama. Kita lengkapkan Puasa 6 kita di kawasan Bagan Pinang. Biar pengundi kali ini buat perubahan. Kalau tidak berubah juga – sah mentaliti politik orang NS setahap dengan ‘orang MIC’ sahaja.

Jumpa di Bagan Pinang…

Bersungguh nampaknya Najib mengemukakan lagi pandangan mengenai ‘penyatuan dan perbincangan’ antara UMNO dan PAS. Kali ini, di bumi Kelantan – Najib seakan merayu agar PAS menerima ‘ajak-ajak ayamnya’ untuk usaha penyatuan demi Islam dan orang Melayu. Kenapa sekarang? Kenapa hampir berhadapan dengan PAS dalam pilihanraya kecil, baru Najib menyanyikan lagu – kesatuan. Kalau bertanding dengan PKR, tak dengar pula mereka nak bersatu dengan PAS. Pelik tetapi benar. Seorang PM yang dikatakan mempunyai penerimaan rakyat sekitar 60 % dikatakan masih berusaha memujuk kita.
 
Kita memuji sikap kepimpinan yang tidak melayani ‘rengekan politik’ seperti ini. Kita tidak mahu menerima UMNO yang lemah dan huru hara. Kita tidak mahu menerima UMNO yang busuk dengan ‘imej’ buruk PM dan Wanita Pertamanya. Kita tidak mahu UMNO yang lemah mahu menjadi ketua di agenda penyatuan ini.
 
Langkah pimpinan PAS dalam menolak ‘idea penyatuan’ dan kerjasama ini adalah amat dialu-alukan. TG Nik Aziz nampak sangat kedepan dalam membicarakan soal penyatuan ini. Luka lama masih berdarah. Ibarat bahasa filem, ‘Tiada Maaf Bagimu’. PAS tidak mahu lagi berbincang dengan mereka yang sangat ‘licik’ dalam politik. Biarlah kami bermain dan berkongsi ‘masa depan’ dengan parti seperti PKR dan DAP. Walaupun mungkin PKR juga ada masalah, tetapi kami ikhlas dengan perjuangan menjatuhkan BN. Itu sudah cukup menjadi ‘gam’ perjuangan yang ada.
 
Masalahnya, ke mana Presiden dan Timbalan Presiden parti? Apakah mereka tidak mahu menjawab segala usaha ini? Apakah mereka sudah mula ingin memulakan perbincangan dengan Najib dan UMNO? Jadi risau juga kalangan penyokong di bawah dengan keadaan ini. Kalau mereka agak bersetuju, atas dasar dan alasan apa?
 
Kita anggap sahaja pelawaan Najib ini sebagai pelawaan yang tidak jujur dan ikhlas. Najib nak bermain politik dengan pimpinan PAS. Mencadangkan sesuatu usaha ‘penyatuan’ saat kita nak berhadapan dengan PRK Bagan Pinang. Ada strategi ingin memburukkan PAS lagi? Heboh sekampung di Manek Urai kononnya PAS menolak perpaduan yang bersifat islamiyy. Kotor sungguh permainan Najib.
 
PAS sudah menetapkan pendirian bahawa DAP dan PKR adalah rakan kongsi ‘dunia akhirat’. Tak payah lah UMNO nak main politik murahan dengan pelawaan ala-ala ‘GRO’ biang yang sudah tidak laku. Maaf cakap, orang PAS tidak biasa bermain dengan GRO tua yang miang dan gatal seperti UMNO. Kami ada standard yang tinggi.
 
Kali ini, kami akan turun berhabisan dalam menentang UMNO di Bagan Pinang. Siapapun yang diletakkan sebagai calon. Tolong juga pesan kepada Pemuda UMNO – jangan main gila dengan istilah ‘Take Beer’ (berdosa dan seolah-olah mempermainkan Allah SWT). Dengan UMNO segala benda nak dipolitikkan. Sehingga takbir yang mulia pun sudah dimanipulasi sebagai ‘alat politik’. Busuk sungguh permainan politik UMNO!
YB Husam sempat hadir ke pengebumian YB Bagan Pinang tempohari. Walaupun tewas tempohari, gerakan dan kaedah turun ke bawah yang ditampilkan Husam sangat berkesan dan masih sama seperti dahulu. Malahan, ada kalangan kita yang turut sama di pengebumian tersebut merasakan Husam masih punya ‘aura’ sebagai Timbalan Presiden PAS yang sebenar. Tidak payah kita komen apa yang sudah lepas. Biar kita melihat ke hadapan, dan membiarkan Husam mengatur tindakan dan jalan politiknya di dalam PAS.
 
Cuma yang menarik hatinya, selepas sahaja pengebumian jenazah, aktivis PAS singgah di sebuah kedai minum berdekatan dengan ‘tapak peperangan’ Bagan Pinang nanti. Ungkapan yang paling menarik adalah – apabila Husam mengatakan, ‘Kalau Isa Samad bertanding – kita akan berhadapan dengan masalah besar’. Jemaah PAS yang hadir sama di situ, agak terkejut dan membenarkan Husam meneruskan pandangan.
 
Husam cuma menyifatkan Isa Samad sebagai ‘faktor penting’ kepada kemenangan/kekalahan PAS di kawasan itu nanti. Sentuhan Isa Samad, kata Husam adalah sangat bahaya. Isa Samad kenal hati budi orang kampung. Dia banyak menabur jasa dan bakti sepanjang menjadi MB di Negeri Sembilan. Orang kawasan Bagan Pinang akan banyak ‘malu alah’ jika Isa Samad bertanding.
 
Ada juga di kalangan yang hadir mencelah, ‘apakah dengan kes politik wang dulu – kita tidak boleh pengaruhi orang kampung?’. Apa yang dilakukan dengan cemerlang kepada calon di Permatang Pasir boleh diulang tayang di Bagan Pinang. Apa masalahnya?
 
Hakikatnya, jelas pemimpin kita lagi, Isa Samad adalah faktor lain. Husam sendiri menghormatinya sebagai lawan yang ‘berbeza’ berbanding di Permatang Pasir. Lagipun, di Negeri Sembilan, sentuhan PAS belum betul-betul mampu dirasai oleh penduduk. Ya, memang benar ada perubahan – tetapi apakah ianya cukup untuk memenangkan PAS dalam pilihanraya.
 
Jelas aktivis PAS setempat lagi, selama inipun mereka tidak mendapat layanan baik oleh Ahli Parlimen PKR yang ada. Kita selalu diketepikan dan tidak dipanggil berunding. Banyak perkara yang PAS di kawasan Telok Kemang seperti dipinggirkan oleh jentera PKR.
 
Kita kembali kepada cerita lama, di mana kita ini ibarat hanyalah penumpang kepada PKR di kawasan yang sama-sama kita menangkan. Itu yang kadang-kadang mengecewakan kalangan ahli kita di bawah. Kita selalu bercakap tentang hal ini degan pimpinan, tetapi masih lagi tidak ada perubahan yang besar. Itu yang amat dikesalkan.
 
Kita harap, Anwar Ibrahim dan Haji Hadi dapat turun ke bawah dan mengembalikan keyakinan kepada rakyat bahawa semua ini tidak akan berlaku lagi. Kalau ini gagal diterangkan, tidak mustahil kita akan berhadapan dengan tugas sukar. Jangan lupa, kita terpaksa berhadapan dengan hampir 5000 undi pos. Ini pun masalah besar juga.
 
Kita kena kerja dua kali lebih kuat di Negeri Sembilan ini. Jangan berlengah dan anggap kita boleh menang dengan begitu sahaja. Jangan harap dengan undi orang India sahaja. Jangan harap kita menang undi Cina sahaja. Kita kena pastikan kita dapat 60 % undi Melayu, bagi memastikan kemenangan yang hebat. Insya’Allah, kita usahakan sama-sama. Lain, kita serahkan kepada takdir.

Setakat ini, penyertaan rakan-rakan kaum lain di dalam PAS hanyalah dalam konteks ‘Kelab Penyokong’ sahaja. Tidak lebih daripada itu. Dibenarkan bersuara di dalam muktamar; melaksanakan aktiviti di atas platform sampingan. Setakat ini belum dibenarkan mengundi dan sebagainya. Ramai kalangan jamaah PAS di bawah yang bertanya tentang kesan langsung apabila PAS dibuka kepada orang bukan Islam. Apakah PAS akan terus teguh dan istiqamah dalam memperjuangan Islam? Apakah perlu kita buat penjajaran semula ideologi? Di cawangan mana? Apa fungsi dan peranan kalangan rakan bukan Islam ini? Apakah ini sememangnya yang dimahukan oleh pimpinan? Apakah pimpinan ‘bersetuju’ sepenuhnya dengan cadangan ini? Memanglah konsep ini akan kena dengan ‘PAS for All’ yang kita agung-agungkan sekarang ini. Rasa yakin kita sebab kita sudah mula mendapat ‘kepercayaan pengundi’ dalam pilihanraya yang lalu. Orang Cina mula sayang dengan perjuangan PAS. Orang India mula dapat menerima kita sebagai ‘suara’ mereka. Tapi, bukankah soal ‘menyokong’ dan menjadi ‘ahli’ ini dua perkara yang jauh berbeza. Menyokong tidak semestinya menjadi ahli. Kalau kita jadi sebuah parti yang wibawa – penyokong atas pagar inilah akan menentukan kemenangan kita. Bukannya apa, kalangan ahli kita hanyalah risau dengan kemungkinan kita terpaksa KORBANKAN ideologi kita. Kita kena tinggalkan niat ‘Daulah Islamiyyah’ kita. Islamic state kita. Ini yang ramai di kalangan ahli jadi ragu-ragu dan keliru. Mereka mahu PAS jadi kuat dan mantap, tetapi dengan mengekalkan ideologi yang lama. Orang akan mempersoalkan ‘itqan dan istiqamah’ kita dalam perjuangan kita jika dibenarkan terjadi. Bukan soal tidak mahu parti jadi kuat dan padu; tetapi lebih kepada kerisauan jika ianya membawa makna ‘pengorbanan ideologi’. Itu yang majoriti ahli tidak berapa nak terima. Apapun, kita setuju dengan niat YB Salahuddin Ayub untuk perkara ini dikaji sedalam-dalamnya. Jangan ambil pendekatan ‘keuntungan singkat’; tetapi membawa petaka jangka panjang kepada parti. Itu yang kita cuba nak elakkan. Kalau kekal sebagai kelab, apakah ianya menjatuhkan martabat dan maruah rakan-rakan bukan Islam kita? Kalaupun memilih calon bukan Islam bertanding atas tiket ‘kelab penyokong’ pun ramai yang dapat terima. Pada mereka, ini perancangan yang sangat strategik. Sangat membawa erti. Tetapi bab membuka keahlian masih lagi menjadi ‘kerisauan’ kepada majoriti ahli. Kita berharap sangat, agar pimpinan tidak membuat keputusan sendiri dalam hal ini. Bincang dan turun bertemu ahli. Fahami sendiri kerisauan yang ahli akar umbi khuatirkan. Baru lah membuat keputusan yang baik dan berkesan.

Kenyataan tahniah YB Dato’ Mahfuz di atas kemenangan bergaya DPJ mengalahkan LDP di Jepun sangat kita alu-alukan. Ini membayangkan, bahawa PAS sudah mula berjinak-jinak dengan ‘bakal rakan sejawatan’ Tuan Guru Haji Hadi di masa akan datang. Kemenangan DPJ – bak kata Mahfuz, memang bergaya dan luar biasa. Mengalahkan parti yang berkuasa hampir 54 tahun adalah sesuatu yang sangat hebat. Memang LDP pernah hilang kerajaan sebelum ini (1993/94) – itupun kerana ‘lompat parti’, seperti yang diamalkan oleh UMNO di Perak.

 Yang penting, DPJ sudah membayangkan bahawa tidak ada yang mustahil dalam politik. Sifir politik tidak macam sifir biasa. Sifir politik ada ‘pelik’ sedikit. 2 campur 2, belum tentu 4. Dalam politik, kita kena mempunyai fikiran yang mencapah. Jangan setakat luruh sahaja. Bukan politik namanya, kalau lurus macam pembaris. Adakala, ilmu ‘pusing, cantas, tikam tepi, tikam belakang’ semua kena pakai. Ini ilmu politik – ilmu yang tak mungkin habis.
 
Apa persamaan LDP dengan UMNO? LDP dah tua. UMNO pun tua. LDP dah layu. UMNO pun begitu. LDP banyak kes korupsi atau orang panggil economic mismanagement; samalah dengan UMNO. LDP tidak menyelesai masalah rakyat; UMNO pun sama. LDP banyak lancarkan pelan pemulihan (stimulus package); UMNO pun sama. LDP kroni. UMNO bapok kroni. LDP pentingkan keluarga. UMNO tidak? Persamaan UMNO dengan LDP ini dah macam ‘bayang-bayang’. Cukup sama.
 
Tetapi, ada juga penulis terbaca bahawa banyak juga pihak yang meragui kemampuan DPJ untuk memerintah dengan baik. Menjadi pembangkang, mungkin mudah. Naik lah apa sahajapun, yang perlu dibuat – bangkang dan bantah. Ada pihak yang meragui bahawa DPJ mampu menyusun semula ekonomi Negara dengan janji politik yang keterlaluan. Ini pun kita kena ambil kira.
 
Jangan kita suka dan seronok dengan kemenangan sahaja, tetapi bila sampai amanah ke bahu kita – hancur. Rakyat akan kecewa. Rakyat akan marah. Bayangkan kalau jenis ’50 orang yang berarak otak lembu’ itu ramai sewaktu kita memerintah. Masak juga kita. Agaknya kalau ada ISA lagi ketika itu – kita pun tak setuju nak pinda ISA. Sebab nak jaga kepentingan kita. Kita jangan lupa dengan ‘dugaan’ Allah datang ketika kita senang dan susah. Ini jugalah yang berlaku kepada Kevin Rudd di Australia. Menang bergaya; tetapi bila mentadbir, cepat mengecewakan rakyat.
 
Kita kena ambil maklum dengan cabaran sebuah kerajaan baru. Puak peniaga mungkin tidak ada masalah dengan kita. Mereka ikut kerajaan yang ada. Tapi apa jaminan orang lain akan mengikut sahaja kita. Pasti suasananya sudah berbeza. Takkan kita nak teruskan dengan konsep ‘tazkirah’ sahaja. Lambakkan orang di Dataran Putrajaya, buat ceramah setiap Jumaat. Itu sahaja cukup? Atau memangnya rakyat nakkan perubahan daripada segala segi.
 
Dalam kemenangan ada amanah yang perlu ditunaikan. Jangan ambil mudah dan sentiasa yakin bahawa kita mampu menjalankan amanah. Mampu satu perkara, apakah kita cukup mempunyai jentera yang ‘istiqamah’. Itu pun kena ambil kira.
 
Apapun, DPJ telah membuka mata kita. Ruang untuk menang tetap ada. Soalnya, bersungguh atau tidaknya kita. Tidak akan tertadbir sebuah kerajaan Islam hanya dengan laungan semata-mata. Muamalah kena juga difikirkan. Orang berniaga mesti rasa happy – dan mereka tidak mengutuk kerajaan kita. Itu semua kena fikir. Tahniah DPJ…PAS akan menyusul nanti, dengan izin Allah SWT.

Laman Berikutnya »