Ogos 2009


Nampaknya, beberapa hari ini, kisah mengenai kemungkinan ‘lompatan bergalah’ ADUN Negeri Terengganu seramai 10 orang akan melompat ke dalam Pakatan Rakyat masih belum ada pembuktiannya. Memang kita, dalam PAS – membuka pintu kepada mereka-mereka yang sudi ‘beralih anging’ dengan parti dan perjuangan kita. Kita alu-alukan sangat. Namun, setakat ini, orang seperti Rosol Wahid, Ding Adam dan yang lain-lainya masih belum ‘akil baligh politik’ untuk berbuat demikian.

Adapun mengikut kata orang di Terengganu, puok ni hanya ‘berebut kasih sayang’ YAB PM sahaja. Tidak lebih daripada itu. Puok-puok ini bukannya jenis ada pendirian dan keberanian. Perjuangan mereka, selama ini hanyalah bersandarkan kepentingan peribadi dan kekayaan ahli keluarga. Hambe dengor cakap orang sahaja.
Untuk melihat kalangan 10 orang ADUN Terengganu ini melakukan lompatan – ianya mestilah diberikan ‘galah’. Galah yang kita tak tahan dengan orang-orang Rosol. Kalau main di Barclays Premier League; transfer fees untuk orang macam Rosol dan Din Adam ini boleh diibaratkan bagaimana Manchester City beli Adebayor dan Tevez. Bayarannya cukup mahal. Puok ni marah sangat dengan YB Ahmad Said pun kerana ‘ruang ekonomi’ yang semakin sempit. Kalau Ahmad Said ‘jaga dan pelihara’ mereka – insya’Allah tidak ada masalah.
Oleh yang demikian, setuju juga dengan Ustaz Harun Taib bahawa puok ni mesti kita ‘nilai dan perhati’ dahulu. Kalau nak berpindah dan melompat dengan – ‘galah’; susah kita nak layan. Mereka ini memang terkenal dengan projek-projek mewah di Terengganu termasuklah Piala Monsun yang tidak membawa makna kepada rakyat itu. Boleh ke kita di dalam PAS dan Pakatan Rakyat ‘maintain’ mereka ini. Berpolitik mengalahkan ‘gold-digger’. Masak kita.
ADUN Terengganu tidak akan melompat tanpa ‘galah’. Mereka pun tak berapa tinggi. Din Adam, kalau tidak menggunakan galah tidak akan lepas waima jaring ‘tenis’ pun. Itu yang perlu galah tu. Tak sampai. Jadi, kita minta kepimpinan kita jangan bersungguh memberikan galah kepada kawan-kawan kita yang belum ‘akil baligh’ politik ini. Mereka ini berpolitik ikut perut dan kepentingan diri. Sampaikan Duli Tuanku Agong pun hendak dilawannya. Sebab – mentor mereka tidak diterima.
PAS perlu mempunyai ‘sistem nilaian’ yang baik terhadap kawan-kawan yang ingin melompat ini. Kalau mereka nak main lompat jauh sahaja, mungkin tidak apa. Namun, ada yang dah terbiasa dengan ‘lompatan bergalah’. Itu yang kita takut. Takut kalau mereka ‘terlompat’ tinggi sangat. Selama ini pun, orang macam Rosol dan Din Adam ini juga yang banyak mengutuk dan mengeji kita di Terengganu.
Hambe cukup yakin, tanpa ‘lompatan bergalah’ dan sementara menunggu mereka ‘akil baligh’ – kita dah pun memasuki zon PRU13. Kalau ikutkan prestasi UMNO Terengganu sekarang (kita rasanya akan menang di Terengganu sekali lagi). Bayangkan, kita menang dengan adanya ‘wang royalti’ minyak di Terengganu. Allahuakbar. Makmur parti kita.
UMNO Terengganu berada dalam zaman ‘kegelapan’ ketika ini. Mereka boleh nafi. Mereka boleh kata apapun. Kita yang bekerja di bawah tahu – ianya ibarat suatu bangunan yang bakal runtuh. Siapa yang nak lompat, kita alu-alukan. Tapi janganlah minta yang bukan-bukan. Janganlah minta GALAH yang melampau. Atau kita doakan, Rosol dan Din Adam (mimpi berahi politik) – dan kemudiannya terus akil baligh keesokan harinya.
Kita tunggu lompatan – tapi tak dok galah la!!!
Advertisements

Ana dah katakan banyak kali – jangan kita cuba untuk mendahului Duli Tuanku dalam kepimpinan dan tindakan kita. Kenyataan Duli Tuanku Sultan Selangor bahawa Baginda tidak dimaklumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor berkenaan kewujudan Polis Akhlak adalah sesuatu yang tidak kita terlalu suka mendengarnya.
 
Bukannya apa, berapa kali kita perlu belajar untuk menghormati dan menghargai kewujudan institusi kesultanan yang bukannya hadir sekadar untuk menjadi pelengkap. Sultan dan Duli Tuanku mestilah dihargai dan senantiasa dimaklumkan dengan segala perkembangan dan usaha pembangunan. Jangan biarkan Duli Tuanku maklum hanya melalui akhbar dan media. Tidak manis dan tidak kena. Tidak juga molek dipandang mata.
 
Sesuatu yang melibatkan agama Islam mestilah mendapat perkenan dan kerjasama pejabat Duli Tuanku. Jangan sampai Duli Tuanku merasakan Baginda ditinggalkan dalam isu dan darihal berkaitan agama. PAS jangan meniru sikap kurang ajar dan tidak hormat sesetengah pihak kepada Istana. PAS mesti senantiasa akrab dan rapat dengan Istana. Barulah kita mendapat ‘kerjasama’ Duli Tuanku dalam memimpin Negeri dan Negara, insya’Allah.
 
Hassan Ali sepatutnya jangan mengikut sangat ‘kepala angin’ MB Selangor yang main redah sahaja dengan keputusan dan pertimbangannya mengenai agama. Asal boleh dan kena pada rasionalnya. Dia pun setuju. Kita kena tengok pengajaran daripada kepimpinan Tok Guru di Kelantan dan Ustaz Azizan di Kedah. Bila dah berbaik dengan Sultan – semua urusan nampak mudah. Nampak molek. Nampak comel. Maklumlah, tidak semua Sultan yang gemar terbabit dengan politik. Kepada Baginda, apa yang penting – rakyat mestilah senantiasa mendapat perhatian. Itu yang penting.
 
Dalam kes pemecatan Radzhi dari jawatan Exco Kedah, kalau dibuatnya Duli Tuanku tak perkenan – tak ke naya kita? Mahunya kita tengok muka Radzhi dalam mesyuarat Exco sedang kita tahu dia sudah khianat dengan perjuangan Pakatan Rakyat. Tak larat kita nak tengok muka dia. Jeling pun belum tentu.
 
Ahli dan anggota Exco PAS mesti lebih cermat dan hati-hati dengan ‘sikap’ kita kepada Duli Tuanku Sultan di mana negeri sekalipun. Kita tidak boleh mengamalkan sikap ‘lepas tangan’, tidak menerima kehadiran Duli Tuanku dalam tindakan dan amalan kita. PAS mesti menerima hakikat bahawa Duli Tuanku masih punya kuasa yang boleh dipakai untuk menentukan sesuatu yang penting kepada masa depan kita.
 
Ana cadangkan Hassan Ali segera mengadap Duli Tuanku dan memberikan maklumat mengenai perkara ini. Jangan biarkan hubungan menjadi renggang. Kalau MB tidak mahu jumpa – Dr Hassan Ali mesti ambil usaha berjumpa Tuanku. Jangan nak tunggu Khalid yang tidak tahu apa-apa mengenai keperluan menghormati Duli Tuanku. PAS mesti jaga thiqah dan kerjabuat kita. 
 
Hubungan baik PAS Selangor dengan Istana mestilah sentiasa berada di tahap yang terbaik. Duli Tuanku Sultan pemimpin yang adil lagi terbuka. Kalau kita tahu menghormati, takkanlah Sultan nak ketepikan pandangan kita. Usahakan yang terbaik. Polis Akhlak mesti dijadikan kenyataan di Selangor Darul Ehsan.
 
Takbir!

Alhamdulillah, dengan serangan bertub-tubi, banyak surat layang yang melayang, banyak juga wang yang melayang – Salleh Man akhirnya berjaya memenangi DUN Permatang Pasir. Mula-mula, memang ada petanda dan signal bahawa kita akan menang. Namun, setelah beberapa lama – kita pun jadi risau juga. Salleh Man diserang dari pelbagai sudut, termasuk dalam kes wang pilihanraya. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT.

Nampaknya, arwah Pak Hamdan dan kesinambungan perjuangan beliau akan diteruskan lagi. Inilah yang kita harapkan. PAS di Pulau Pinang bukannya kuat sangat. Mungkin sokongan kita kuat, tapi Pulau Pinang sudah jadi ‘negeri DAP’. PKR pun boleh tahan juga kuatnya. Baguslah, dalam Pakatan Rakyat – kekuatan rakan-rakan adalah juga kekuatan kita. Tetapi, soal hormat dan janji mesti juga dikota. Jangan setakat sedap pada halwa telinga. Bila bab melaksana – PAS terpinggir lagi.
Janji Ketua UMUM PKR untuk melantik Salleh Man sebagai orang kuat MAIP juga mesti dikotakan. Itulah sahaja yang kita layak nampaknya, kalau PAS sahaja jaga agama. Kalau PAS sahaja baca doa. Kalau PAS sahaja jadi peneraju tahlil. Kalau PAS sahaja kepalai sembahyang tarawikh. Kalau PAS sahaja mesti pandai baca talkin. Semua yang berkait agama – mesti PAS.
Kita minta dengan hati tulus ikhlas kepada Ketua UMUM PKR untuk beri juga ruang untuk kita ‘mengurus’ sesuatu yang lain. MAIP tu bagus juga. Tapi ruang dan peluang, termasuk suara PAS mesti didengari juga di peringkat Negeri. Lim Guan Eng jangan buat tak tahu pada PAS. Jangan layan hendak tak hendak. Jangan anggap PAS tidak penting.
Ini mesti diberhentikan. Orang PAS sudah mula rasa ‘geram’ dan tak puas hati dengan ‘layanan separuh penting’ yang diberikan kepada PAS. Arwah Pak Hamdan waktu hidupnya pun bukannya dilayan sangat. Endah tak endah sahaja. Jangan ketepikan kami sampai begitu. Kami pun ada maruah dan sokongan juga.
UMNO heboh dengan kekurangan undi hampir 800 kita. Itu bukan soalnya. Berapa ribu pula orang PAS yang tak dapat balik kerana tak dapat cuti. Sebab kebijaksanaan SPR mengadakan pilihanraya pada hari Selasa. Tak ada cuti pula tu. Dalam bulan Puasa lagi.
Kita menang dengan baik. 4551 undi yang baik. Rakyat masih mahukan kita. Rakyat sayangkan PAS. Tak tahu pula – kalau PR masih layan kita sebelah mata. Kita pun ada hati dan perasaan ya Sheikh. Jangan lah begitu.

Alhamdulillah, akhirnya PAS Selangor bangkit daripada terus ditidurkan oleh tagline ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’. Hassan Ali sudah bangkit dari tidur dan lenanya, sekaligus menampilkan kesungguhan untuk melahirkan Selangor Darul Ehsan sebagai negeri Islamik. Bukan sekadar jelmaan Serambi Mekah – tetapi ‘Baghdad Malaysia’. Kota ilmu dan kota akhlak di Semenanjung Malaysia.

Kenyataan YB Dr Hasan Ali semalam sememangnya ditunggu-tunggu oleh jamaah Islam di Malaysia. Kita tidak mahu PAS jadi parti yang lembik. Yang dilute dengan kesungguhan dan permainan politik orang lain. Yang tunduk kepada permainan ‘underground’ DAP. Yang lemah tengkuk dengan Anwar Ibrahim. Inilah bukti, PAS Selangor bukan kecik anak. Kita dah sedia menjadi rakan sebenar kepada pakatan rakyat.
Apa yang dicadangkan oleh Hasan Ali, agar Tuan Imam dan Bilal dibenarkan menangkap orang Islam yang minum arak dan mencemarkan bulan Ramadhan amat dialu-alukan. Tindakan ini mesti diambil segera. Jangan tunggu lagi. Kena masuk ke seluruh pelusuk Selangor dan pastikan tidak ada orang Islam yang pekena – ‘harimau nyander’. Ada kan, botol arak jenama apa ntah, yang dipanggil ‘harimau nyander’. Harimau menyandar.
Memang pernah kita ada Skuad Badr. Skuad yang menentukan orang Selangor senantiasa menjaga akhlak. Ini tidak, tepi masjid Shah Alam pun berani main selak-selak. Ye lah, mula dengan ringan-ringan. Lepas tu? Kita, wakil rakyat PAS mesti memainkan peranan dakwah. Mesti mainkan peranan ‘amal maaruf nahy mungkar’. Bukan yang Lim Guan Eng cakap. Ini yang jenama PAS punya. Ini yang betul-betul Islamik.
Kita kena ingat, pengundi Melayu memberikan kita kepercayaan, untuk melihat perubahan. Mereka tak nak tengok kita heboh dengan fatwa yang lambat dan mencurigakan. Mereka nak tengok tindakan. Mereka nak tengok Islam yang dilaksanakan sepenuhnya. Barulah mereka akan meneruskan sokongan kepada kita.
Percayalah, UMNO akan mengatakan kita ‘Wahabi Moden’ dengan cadangan Hasan Ali ini. Peduli apa. Ini kita punya masa. Ini kuasa kita. Kita tidak perlu tanya UMNO apa nak buat. PAS fikir sendiri. PAS tadbir sendiri. Bukan perlu tunggu orang lain.
Masya’Allah. Tak sabar rasanya nak tunggu operasi ‘akhlak’ dilakukan di Selangor. Kita mahukan tindakan yang menjurus kepada peningkatan ‘kepercayaan’ orang Islam dengan PAS di Selangor. Hasan Ali sudah memulakannya. Kita minta semua YB PAS memulakan rentak ini. Jangan pandangan ke belakang lagi. Lihat ke hadapan dan amalkan apa yang kita perkatakan.
Polis Akhlak ini akan meletakkan Selangor selari dengan Kelantan. Kedah masih slow motion. Orang lama. Selangor kena laju sedikit.
Hard Rock Kafe dan Havana Club tak masuk Selangor ke? Sayanglah, kalau tidak – jenuh kita nak tangkap dan sebat orang. Ramai sangat. Bab tu biarlah Raja Nong Chik dan Datuk Bandar yang handle kan. Bukan kuasa kita. Sementara kita ada kuasa, Islam jalan terbaik. Syabas PAS Selangor – Syabas Hasan Ali.
Takbir!!!

Payah nak tadbir kawan-kawan PKR yang mempunyai agenda dan kepentingan sendiri. Kita cukup kesal, kerana kalau nak letak jawatan – letak semua lah. Kenapa pula jawatan Exco nak simpan. Konon atas dasar ianya dilantik oleh Sultan. Tapi atas cadangan siapa; kalau bukan Menteri Besar PAS!

Kita kesal kerana inilah sebahagian usaha untuk menidakkan kepimpinan PAS di Kedah. Kita tahu, selama inipun – yang beria-ia ke depan, bertanya tentang ‘apa projek boleh beri kepada saya’? Berapa saya boleh dapat? Kita minta Ustaz Azizan beritahu kepada media betapa peningnya YAB melayan karenah orang macam Radzi ini. Segalanya berdasarkan ‘fulus’. Berdasarkan projek. Berdasarkan berapa dia dapat. Dalam perjuangan mana boleh ada elemen yang begini. Kita kena ikhlas. Niat berada di landasan perjuangan dan tidak sesekali lari daripadanya.
Kita pernah katakan dulu – orang PKR memang tidak ada darah perjuangan. Mereka ini adalah harapan palsu kepada Pakatan Rakyat. Kalau kita ikut sirah dahulu, orang macam inilah yang mencetuskan perbalahan sesama orang Islam. Dalam Perang Jamal misalnya, habis bertempur pasukan Islam dengan pasukan Islam – kerana adanya watak yang menghasut dan mengadu domba di kalangan masyarakat Islam. PKR cukup hebat bab ini.
Kita diberitahu, Radzi sedang diteliti oleh SPRM berkenaan perbelanjaannya di pejabat Exco. MB tahu lama dah. Sahaja tidak mahu kecoh. Jaga aib dan air muka PKR. Jaga kelangsungan perjuangan parti. Kes Radzi ini tidak ubah macam kes Teoh Beng Hock di Selangor. Ada kesamaan. Tapi agaknya sebab takut dan malu – cepat ambil tindakan nak lompat parti. Di mana nilai perjuangannya?
Nampaknya, kita akan terus berhadapan dengan pelbagai cabaran lagi di Kedah. ADUN PKR ada 4 orang lagi. Nampaknya MB kena buat ‘man to man marking’. Macam main bolasepak. Jangan tinggal. Tapi, puak ni – kita marking lagu mana pun hancuq juga. Jenis tak dak akal.
La, di Kedah Pakatan Rakyat ada 21 kerusi. PAS ada 16 (syukur alhamdulillah), PKR ada 4 (bila la nak declare bebas pulak…); DAP ada 1. Yang DAP ni pun kita tak lalu nak jaga. Liaq semacam. Ini kata pejabat MB la. Bukan kita yang kata.
Depa dok ada 14 saja. Tapi kalau depa dok mampu nak beli 4 ADUN PKR. Beza kita ngan depa 3 sahaja. Memang slim nak habaq bagi. Tapi nak buat lagu mana. Yang PAS ni kita yakin – depa ni dok pi tarbiyyah banyak kali dah. Agak-agak kalau nak jalan singkat ke Neraka – depa buleh lah pindah parti. Tapi, rasa tak kot. Depa ni orang perjuangan. Bukan macam wakil rakyat PKR yang hangat-hangat tahi ayam saja.
Kita tunggu sama-sama YAB MB kita jumpa Duli Tuanku di Istana. Kita harap ADUN Lunas pun boleh kena ‘struck off’ oleh Sultan sat lagi. Biaq pi dia teruih masuk BN pun takpa. Bebas apa dia…masuk teruih la. Senang cerita.

Calon YB kita di Permatang Pasir – Salleh Man rasanya akan turun berat badan kali ini. Sudahlah berpuasa, agenda mendekati rakyat perlu diteruskan. Mana boleh berhenti. Kita mesti berhadapan dengan dugaan dan cabaran ini. Alhamdulillah, setakat ini sambutan nampak baik. Sudah ada bunga-bunga mereka nak serang Salleh Man dengan kes ‘perbelanjaan pilihanraya’. Ini semua permainan politik.

Ana dah pesan kepada jentera kita di Peti Undi. Kalau pengundi tanya berkenaan kononnya ‘skandal Salleh Man’; cakapkan sahaja bahawa Tok Guru sendiri akan turun memaklumkan kepada mereka situasi sebenar. Jangan percaya dengan fitnah. Walaupun Salleh memang berada di tempat strategik sewaktu pilihanraya. Itu bukan bererti Salleh terlibat. Ini semua cubaan nak merosakkan thiqah dan karakter calon kita. Jangan percaya.

Yang Ana tak berapa puas hati ni – kenapa PKR Kedah pulak yang jadi huru hara; saat PAS berlawan sengit nak mempertahan kerusi arwah Pak Hamdan. PKR ini sudah gila isim ker? Kita ini asyik jadi mangsa ‘politik berpecah belah’ PKR. PAS mantap. Tapi PKR memang nampak goyahnya. Macamana kita nak beritahu pengundi bahawa Pakatan Rakyat mantap; kalau PKR Kedah sudah jadi kacau bilau.

Ana cukup kecil hati, kerana masa Ana bertemu dengan pimpinan PKR di Kuala Lumpur, mereka menyatakan bahawa PKR berada di tahap yang terbaik dan mantap. Seia sekata. Dengan maklumat itu, Ana terus berasa yakin bahawa PAS akan menang selesa di Permatang Pasir (salah satu DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh).

Apa sebenarnya yang berlaku di Kedah? Apakah mereka sudah hilang hormat kepada Menteri Besar PAS. Apakah ini cara mereka nak berterima kasih dengan kita? Sedang di Pulau Pinang, Pak Hamdan tidak diberikan tempat – kita diam dan redha. Ini tidak, mereka yang sudah berada di dalam barisan Exco; boleh letak jawatan. Ini amat mengecewakan.

Ana seringkali khabarkan, PAS ini mampu jadi huru hara kalau berjangkit dengan virus PKR ni. Mereka ini tidak ada istiqamah dalam perjuangan. Berjuang ikut dan. Berjuang ikut fulus. Berjuang ikut perut. Tidak macam kita. Perjuangan ada asas. Asas kita Islam. Pelindung kita iman. Akhlak kita berasaskan ketakwaan. Itu yang tidak ada dalam PKR.

Sudahlah M Radzi Salleh (ADUN Lunas) letak jawatan Exco; Ketua Bahagian PKR Padang Serai pun dibubarkan. Ini disebabkan apa? Katanya Jamaluddin (Ketua Bahagian) terdengar ada arahan Anwar untuk suruh Ahli Parlimen mengamuk sewaktu penamaan calon. Masya’Allah. Apa dah jadi ni?

Salleh Man dan jentera kita kena fokus dan istiqamah. Biarkan mereka selesai masalah dan najis perpecahan di kalangan mereka. Memang akan ada kesan kepada undi di Permatang Pasir. Tapi nak buat macamana. Ini bukan kehendak kita. Mereka memang tidak tahu jaga halaman politik sendiri. Kalau kita, krisis Tuan Guru Nik Aziz dan Nasharuddin – kita selesai dengan muzakarah. Dalam PKR tidak ada muzakarah. Yang ada – ‘MuANWARmarah’. Hmmm….apalah nasib kita kali ini.

Sekali mereka derhaka kepada Ustaz Azizan sebagai MB; seribu kali kita hilang hormat dengan PKR. Ingat tu!!!

Ana terpanggil untuk menyatakan bahawa sesungguhnya kita tidak memulakan perjuangan di Permatang Pasir dengan kaedah dan cara yang Islamiyy. Kita tidak memulakan dengan semangat mujahadah. Kita tidak memulakan dengan semangat ukhuwwah. Kita tidak memulakannya dengan semangat bersungguh menegakkan agama Allah. Ana cukup risau, bahawa kita tidak menggunakan ‘jalan Islam’ sebenar dalam mengetengahkan perjuangan. Ana risau.

Dalam kita menempuh madrasatul Ramadhan ini, Ana nak ingatkan diri Ana – dan semua penyokong Pas bahawa kita adalah khalifah kecil di muka bumi Allah SWT ini. Jangan kita sombong, jangan kita suka-suka nak tentukan ‘syurga neraka’ orang. Jangan kita sesekali meletakkan kita sebagai penjaga ‘pintu Syurga’. Masya’Allah. Ana malu sebenarnya. Malu dengan masyarakat. Malu dengan jamaah. Malu kerana kita terpaksa menjawab bagi pihak orang lain. Orang dah mula buat lawak dengan Ana – ‘nak dekat dengan Ana, sebab ada harapan masuk Syurga’. Ana sendiri tak tahu nasib Ana. Macamana nak beritahu orang lain, Ana ada tiket masuk syurga?
Ana masuk PAS dengan kerelaan hati. Dengan keyakinan bahawa inilah ‘hizbi’ yang membawa Ana ke jalan yang terbaik. Jalan yang betul. Tapi kalau khalifah Ana sendiri mula menyatakan perkara-perkara yang kurang tepat. Ana jadi risau. Ana jadi musykil. Ana jadi malu dengan jamaah.
Sudahlah kita jadikan kes profesion calon orang sebagai ‘masalah besar’ – semalam Ketua Pemuda PAS sendiri menggunakan isu peribadi. Menuduh calon orang sebagai beristeri dua. Benda ini melibatkan keluarga. Benda ini melibatkan maruah famili. Ana rasa ada yang tidak kena dengan kaedah kita di Permatang Pasir. Kita jadi gila publisiti dan fitnah. Kita sudah jadi PKR. Kita sudah membuka aib orang secara melampau.
Ana nak kongsi hadith mudah, riwayat Sunan Ibnu Majah yang bermaksud: ‘sesiapa yang menutupi kesalahan (aib) seorang Muslim; maka Allah SWT akan menutupi aibnya di akhirat’. Masya’Allah. Ini Islam. Ini patut jadi jalan PAS. Ini patut jadi amalan kita. Ini patut jadi arah kita. Sayangnya tidak, kita sudah melondehkan calon orang dengan menggila. Ana rasa tidak sedap hati.
Memang niat Ana nak gunakan blog ini sebagai alat Ana menyampaikan pandangan Ana sebagai ahli PAS. Itu sahaja. Ana tidak mahu cakap di muktamar. Ana tidak mahu cakap di tamrin parti. Kepada Ana, politik dan dakwah mesti selari. Politik dan dakwah mesti sejalan. Jangan tinggalkan satu, untuk yang lagi satu. Kita kuat selama ini kerana ini. Kerana kita gandingkan kedua-duanya.
Ana percaya dengan konsep ‘al qaidatul murabbi’. Pemimpin mesti mendidik. Mesti memimpin ke arah kebaikan. Mesti memimpin ke arah yang baik. Kalau tidak, baik jangan jadi pemimpin. Nanti orang gelar kita – ‘USTIK’. Ustaz Politik. Buat malu ajer.
Ana harap sangat, jangan kita membuka aib orang; orang buka aib calon kita. Bunga-bunga sudah ada. Ada orang sudah membuka cerita bahawa Salleh Man ada juga terlibat dalam menghilangkan wang parti. Menggunakan peruntukan pilihanraya. Apa rasa kita? Kalau orang buka aib calon kita. Tahu kita marah. Tahu kita geram. Biarlah mereka bertanding sebagai lelaki. Tak payah ganggu. Kita jalankan amanah kita sebaiknya.
Harap Mursyidul Am mula mendapat nasihat yang baik-baik. Jangan terlalu mengikut perasaan. Bawa bertenang.

Laman Berikutnya »