Jun 2009


Beberapa orang ahli MT PAS sudahpun mengadakan pertemuan dengan Duta Iran bagi mendapatkan maklum balas mengenai suasana ‘sebenar’ yang berlaku di Iran pada ketika ini. Dr Syed Azman, Khalid Samad dan beberapa orang ahli MT PAS sudahpun menyatakan pandangan PAS dan harapan PAS untuk melihat Iran dapat menyelesaikan masalah dalaman yang sedang berlaku di sana. MT PAS juga menyampaikan ucapan tahniah parti kita di atas kemenangan Ahmadinejad di dalam pilihanraya yang baru lalu.
Dr Syed Azman sendiri mengakui bahawa proses pilihanraya di Iran berlangsung dengan baik dan telus. Pengundia pos yang berlaku di Kuala Lumpur juga dipanjangkan masa dalam menentukan rakyat Iran dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka untuk mengundi. Dr Syed Azman juga, seperti dilaporkan oleh harakahdaily, menganggap apa yang berlaku di Iran adalah suatu yang tidak positif kepada wajah politik Islam di dunia pada ketika ini.
Duta Iran memaklumkan kekecewaan dengan apa yang berlaku di Iran. Mereka yang gemar membawa isu ke jalanan. Membuat rusuhan. Mendatangkan perpecahan di kalangan rakyat. Duta tersebut juga dikhabarkan memaklumkan bahawa ini bukanlah budaya politik orang Islam. Kenyataan ini ada juga benarnya, dan seharusnya kita juga menerimanya dengan hati yang terbuka. Perlu ada jalan keluar yang lebih baik dalam kita menyelesaikan masalah dalaman yang sedemikian sifatnya.
Khalid Samad juga menambah bahawa kewujudan puak ‘Munafiqun’ yang memungkinkan perkara tidak elok terjadi. Inilah kalangan yang mungkin memberikan imej buruk kepada kerajaan Iran. Siapa munafiqun dalam konteks halaman politik kita? Siapa yang Khalid maksudkan – kita pun tidak berapa jelas. Tapi hakikatnya, dalam suasana politik jalanan yang terbuka dan emosi; sesiapa juga boleh bertindak di luar kawalan. Inilah perkara yang perlu kita sama-sama jaga dan pelihara.
Tindakan MT PAS bertemu dengan Duta Iran ini kita rasakan sangat tepat dan membanggakan. Inilah ruang kita menampilkan PAS di landasan antarabangsa. Memang orang sudah kenal kita, tetapi ‘kaedah, cara dan manhaj’ kita mendekati rakan-rakan politik Negara lain ini juga perlu diperkemaskan. PAS perlu mempunyai wajah antarabangsa dan diplomasi. Mana tau, PAS mampu jadi Perdana Menteri satu hari nanti – senang kita nak tampilkan diri di pentas antarabangsa.
Dr Syed Azman sememangnya orang yang tepay untuk memulakan langkah ini. Dengan kemampuan dan latarbelakang akademik yang baik, Dr Syed Azman adalah individu yang mampu membawa hormat masyarakat antarabangsa kepada PAS. Soalnya, kita mesti cakap serupa bikin. Jangan dengan orang kita cakap lain, di halaman sendiri kita buat lain. Kalau kita tentang dengan budaya politik jalanan yang merosakkan, takut pula orang tuduh kita pun sama! Tak ke malu?
Mousavi adalah jelas seorang yang tidak berpuas hati dengan kekalahan. Samada dianya itu seorang yang baik atau tidak, itu perkara lain. Yang penting, bagi seorang yang waras dan mampu berfikir – kita tidak akan meletakkan kepentingan individu melebihi kepentingan parti dan ummah. Sejauh mana Mousavi percaya bahawa dia dianiaya sekalipun, dia tidak wajar meletakkan ‘rasional rakyat’ di tempat yang terbawah. Mousavi sepatutnya meletakkan dirinya kurang penting daripada keamanan dan keselamatan negara.
Advertisements
Blog ini ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kesediaan pimpinan PAS bertemu dan berbincang malam ini mengenai apa sahaja perkara yang berkait dengan status dan suasana dalaman PAS akhir-akhir ini. Kita mesti kembali kepada budaya ‘musyawarah’ dalam menentukan kedudukan dan dasar parti yang kita sama-sama dokong ini. Macam kita di bawah ini, apa yang lebih penting adalah mereka di peringkat kepimpinan dapat selesaikan masalah yang ada. Yang di bawah tetap bersama perjuangan parti.
Semua pimpinan kami hormati atas nama ‘wehdatul fikri’. Kita kena ada persamaan pemikiran dalam semua perkara. Pemahaman kita mengenai Islam. Pemahaman kita mengenai tindakan parti. Pemahaman kita mengenai segala usaha untuk memastikan parti kita terus kuat. Pemahaman kita untuk memastikan parti tidak ‘terikut-ikut’ dengan jalan tindakan orang lain. Kita tidak mahu ada boneka dalam parti; boneka UMNO ataupun boneka PKR. Sejak dulu lagi, blog ini mengungkapkan kata – PAS perlu kuat kerana PAS; bukan orang lain.
Dalam isu kerajaan perpaduan – kita kena tengok dan nilai secara keseluruhan. Jangan ikut hati dan ikut gerak orang lain. Jangan bercakap apabila sedang marah. Jangan mengamuk saat belum dengar secara keseluruhan. Jangan amalkan ‘amarah’ yang merosakkan kredbiliti diri sendiri sebagai ulama’. Apakah perpaduan ini bukan usaha dan nilai yang Islamiyy sehingga kita menolaknya bagai tak sudah.
Kita perlu kembali kepada syariat dan nilai Islam. Dalam Islam, kita kena rujuk kepada sirah nabawiyyah dan apa yang pernah menjadi amalan Nabi Muhammad SAW dan sebelum daripadanya. Apakah menjadi salah jika kita bekerjasama dengan orang Islam lain? Apakah ini tidak ada di dalam Piagam Madinah? Apakah juga menjadi kesalahan kalau kita mempertahan pakatan – juga ada di dalam Piagam Madinah. Ini semua kita kena nilai secara menyeluruh.
Tuan Guru Haji Hadi bercakap mengenai sesuatu yang sangat ‘tinggi’ dan hebat. Kerajaan perpaduan ini kalau mampu diamalkan akan menjadi ‘titik tolak’ kepada nilai ber-kerajaan yang luar biasa hebat. Ini bukan UMNO-PAS ya, ini kita bercakap tentang ‘keseluruhan’. Baru betul perpaduan. Benda sama yang pernah dibuat di UK (sewaktu Perang Dunia 1 dan 2); di Canada, di banyak tempat lain di dunia. Untuk seorang ulama’ bercakap mengenai kerajaan perpaduan – adalah hebat dan menterujakan.
Pemahaman mengenai kerajaan perpaduan inilah yang kita belum ada. Kita sibuk dengan UMNO dan PAS. Yang Haji Hadi maksudkan lebih daripada itu. Sayangnya, orang kita sendiri yang bangun dan balun. Letak macam-macam banner di Kelantan. Letak macam-macam banner di Manek Urai. Kenapa perlu jadi begitu? Jangan cepat sangat melatah dan menyalahkan. Ini bukan fiil ulama’.
Piagam Madinah hebatnya mengalahkan mana-mana dokumen sekalipun di dunia. Mengalahkan apa yang pernah dikeluarkan di Athens. Mengalahkan apa sahaja yang kononnya menjadi nadi Perlembagaan dunia sekalipun. Demikian hebatnya Piagam Madinah. Takkanlah ada sedikit perkara baik yang mampu kita amal dan laksana daripada perkara ini. Kita kena kaji Piagam Madinah – dan kehebatannya memelihara hubungan sesama orang Islam dan bukan Islam. Bagaimana Piagam Madinah mampu mengawal dan memelihara hubungan dengan kaum lain, waima Yahudi sekalipun!
Amalan Piagam Madinah luar biasa. Dengan sistem Naqib dan ‘saqifah’, semua 10,000 penduduk Madinah berada dalam suasana aman damai, dinaungi oleh 52 Fasal dalam Piagam. Hebat. Islam sama Islam bersatu. Bangsa lain juga mengamalkan kesetiaan kepada Bangsa dan lingkungan kepimpinan. Luar biasa hebat. Sistem federalisme mutakhir ini pun belum tentu boleh mengamalkan semangat sama.
Kita di dalam PAS kena ‘walk the talk’ (kata orang putih). Kalau kita bersungguh dengan Islam, kita mesti menyanggah dengan amalan dan fahaman Islam juga. Mestilah ada dalil. Aqli dan Naqli. Baru sedap nak bertempur secara idea dengan puak dalam UBN nih. Ini tidak, asal marah sahaja – halau orang dari parti. Asal marah sahaja, ingat semula sejarah lama. Asal marah sahaja, herdik sini sana. Ada ke patut? Tak nampak nilai Islam-nya.

Antara bangga dan tidak, sebaik sahaja membuka akhbar New Straits Times Singapura pagi ini – terpampang wajah Ustaz Nasa dan Nik Aziz di muka 2. Muka 2!!! Muka 1 adalah cerita mengenai Singapura seluruhnya. Muka 2, terpampang besar wajah kedua-dua pimpinan PAS di akhbar Singapura. Hebat. Ini sudah membayangkan bahawa perjuangan kita di dalam PAS sudah benar-benar diikuti sampai ke seberang tambak. Sampai ke Singapura.

Penulis datang ke Singapura kerana menghadiri pernikahan sepupu penulis di Jurong. Dah lama tak masuk kawasan LKY ini, nampak sangat pembangunan menggila. Jalan-jalan di Orchard Road, budaya konsumerisma Singapura luar biasa. Yang berpeleseran, sibuk dengan skate board dan budaya melepak semuanya anak Melayu Singapura. Selekeh. Tidak ada masa depan. Kesian. Mungkin mereka sudah menyerah kalah dengan kesusahan dan kepimpinan yang sangat tidak membantu. Polisi dan dasar, sudah menjadi sangat tidak membantu mereka – mungkin. Atau jiwa pejuang agama di kalangan remaja Melayu Singapura sudah sangat luntur dan tidak kuat. PAS kena masuk ke Singapura nampaknya, sebagai sebahagian daripada usaha ‘tarbiyyah jama’i’ di kawasan serantau.

Antara bangga dengan tidak, PAS sudahpun menjadi perhatian di Kota Singa. Antara yang diperkatakan oleh penulis artikel terbabit adalah bagaimana PAS Kelantan sudah membuat keputusan bahawa wajah Haji Hadi dan Nasaruddin Md Isa TIDAK AKAN diletakkan langsung di Manek Urai. Ya ALlah, sampai begitu sekali sikap ‘sombong dan tidak berlapang dada’ PAS Kelantan??? Arahan siapa? Kenapa sampai begitu dalam membuat keputusan?

Kata wartawan Kota Singa lagi, adalah menjadi amalan biasa pilihanraya, gambar dan wajah Presiden Parti mesti menjadi tunjang kepada usaha menawan hati rakyat dan pengundi. Apakah PAS Kelantan sudah benar-benar berpaling tadah daripada perjuangan PAS sebenar? Apakah ini sebagai sikap ‘membalas dendam’ kerana perwakilan menolak calon dari Kelantan? Apakah ini sebagai cara PAS Kelantan sudah kecewa dengan PAS?

Sebagai ahli dan pendokong PAS, kita khuatir ini menjadi antara asas perpecahan di dalam PAS lagi. Kita tidak mahu PAS berpecah. Sampai ke Kota Singa dirasai perpecahan PAS ini. Jamaah di Kampung Siglap malam tadi pun meminta penulis menyampaikan pandangan ini kepada kepimpinan PAS. Kami di Singapura ini mengharapkan parti yang kuat bagi memperjuang nasib kami juga di Kota Singa ini. Kata mereka. Walaupun sebelum ini mereka berharap kepada UMNO. Sekarang ini mereka lebih suka dengan perjuangan PAS. Mereka kata PAS ada potensi jadi jaguh politik rantau ini.

Bayangkan, kalau Melayu Singapura juga mahu berteduh dengan perjuangan PAS – apakah ianya tidak membawa makna yang besar kepada parti? Kita mesti berusaha keras untuk memastikan bahawa kita tidak berpecah dengan masalah kecil seperti yang berlaku ini. Melayu di Bedok, Jurong, Kampung Siglap, Arab Street, Bugis Street semuanya menyampaikan ‘salam perjuangan’ buat pimpinan PAS. Sayangnya, di muka 2 akhbar mereka – yang terpapar hanyalah wajah tidak puas hati Nik Aziz kepada Ustaz Nasa sahaja. Sayang.

Kita mohon Husam Musa jangan meneruskan usaha merosakkan fikrah Tok Guru Nik Aziz lagi. Husam jangan nak tunjuk lagak bahawa diriya mempunyai ‘pengaruh’ di dalam parti. Jangan nak tunjuk lagak konon dialah bakal pengganti Nik Aziz. Husam bukan di kalangan yang ikhlas berjuang untuk parti. Mengumpulkan kekayaan diri, merosakkan jamaah adalah bukti bahawa Husam memang sudah mempunyai rencana peribadi dalam parti.

Kita faham, bahawa kisah mengenai kerajaan perpaduan ini bukan kisah kecil. Ini melibatkan masa depan parti. Ini melibatkan janji manis kita di dalam Pakatan Rakyat. Kita faham. Kita akur dan setuju benar la dengan kemarahan Tok Guru Nik Aziz kali ini. Ini bukan isu main-mainan. Ini isu yang semua penyokong PAS jadi risau dan tidak karuan. Kena cari jalan nak selesaikan. Berdasarkan maklum balas yang kita dapat, Nik Aziz sudah bagaikan ‘ikon utama’ di dalam PAS. Haji Hadi mungkin menang tanpa bertanding, tapi peranan dan fungsi Nik Aziz jangan diketepikan. Ini yang buat sebahagian besar ahli PAS kecik hati. Maunya tidak, kalau dah kita sendiri menyerang dan menyanggah ulama’, takkan kita nak harap puok UMNO nak hormat kita. Takkan kita nak harap orang macam Awang Adek cakap molek pasal kita. Takkan jadi begitu. Yang penting, apa yang diperkatakan Tok Guru Nik Aziz itu betul juga. Kenapa nak senyap? Kenapa tak benarkan orang bercakap pasal kerajaan perpaduan? Yang cadangkan siapa? Siapa yang nak usulkan? Siapa yang nak suruh senyap? Macamana Tok Guru tak rasa ada yang nak jadi boneka kepada UMNO. Yang lebih elok, jika Tok Guru buat juga kenyataan: kita tak terima boneka dalam PAS. Termasuk boneka PKR dalam PAS. Kalau Tok Guru bercakap macam itu – lagi molek. Baru la puok yang beria menyokong Anwar pun kembali kepada perjuangan parti. Orang ramai tengak dok perati kita. Apa strategi kita. Apa tindakan dan maklum balas kita mengenai isu. Dalam facebook, orang ramai juga mengutuk kita sebab nak haramkan SIS. Orang kata kita regresif. Pemikiran terkebelakang. Ini orang cakap pada kita. Benarkah begitu? Hakikatnya, isu yang lebih besar adalah kerajaan perpaduan. Kita tidak mahu isu ini berterusan. Mesti ada usaha untuk hentikan segala pertelingkahan pendapat ini. Jangan biarkan orang tengok kita sebagai parti yang tidak bersatu. Ini peranan yang perlu dimainkan oleh SU Agung yang baru. Mustapa Ali kena berjumpa dengan Tok Guru Nik Aziz dan memastikan tidak ada siri ‘serangan’ terbaru. Kelab Penyokong PAS pun mesti dinasihatkan supaya tidak berlebih sangat dalam tindakan mereka. Buat kenyataan suruh mereka yang sokong kerajaan perpaduan supaya TIDAK TURUN ke Manek Urai. Siapa mereka? Apa hak nak suruh pemimpin kita jangan turun padang? Kita semua mesti berada di Manek Urai yang sudah diserang bertalu-talu ketika ini. Kelab Penyokong pula jadi berlebih dalam meminta kita jangan turun. Jangan kurang ajar!!! Kerajaan perpaduan adalah kisah dalaman PAS. Kelab penyokong PAS ini jadi ‘boneka siapa’? Boneka DAP? Boneka yang sengaja nak memainkan peranan sebagai ‘pemerhati’ dan ‘perencana’ kepada perjuangan PAS. Ini sudah kes kurang ajar. Ini sudah kes tak sedar diri. Kita yang berada dengan PAS selama inipun, tidak berani nak mengarah itu ini kepada kepimpinan. Apatah lagi, dalam tempoh pilihanraya kita memerlukan semua orang parti berada di bawah. Apahal pulak kelab penyokong nak bagi warning yang tak boleh pakai. Siapa mereka nak halang Haji Hadi, Ustaz Nasa nak turun ke Manek Urai. Jangan cuba nak gunakan platform kelab penyokong sebagai alat mengekang gerakan ulama’. Ini baru betul boleh bermandi darah kalau tidak hati-hati. Amaran kepada kelab penyokong; JANGAN BERLEBIH dalam mengemukakan pandangan. Padah nanti.

Alhamdulillah, Tuan Presiden sudahpun melaksanakan amanah untuk memilih saf yang difikirkan terbaik untuk PAS selepas Muktamar yang baru lalu. Dengan saf baru inilah kita mengharapkan agar kepimpinan mampu merealisasikan hasrat ‘PAS for All’ dalam erti kata yang sebenarnya. PAS kena realistik. PAS kena berubah pantas sesuai dengan tuntutan masa dan keadaan. Zaman dan masa untuk kita tengok dan memerhati perubahan sudah lama berlalu. Zaman untuk kita bergantung dengan kekuatan politik orang lain juga sudah berlalu.
Saf Haji Hadi, atau saf PAS kali ini sememangnya sudah nampak idea ‘saf perpaduan’. Kita lupakan pecah belah pertandingan dan kembali kepada parti. Jangan lagi ada sangsi dan kurang percaya. Jangan lagi ada syak wasangka. Yang terpilih pastinya dapat membawa hasrat Presiden. Kena setia kepada Presiden. Jangan nak cari tempat untuk diri sendiri sahaja. Jangan cuba nak gerak sendiri.
Di bangunan SUK Kelantan, kalau adik kakok lalu dalam sehari dua ini – ada banner besar yang tertulis: ‘Kami Bersama Tok Guru Nik Aziz Dalam Isu Kerajaan Perpaduan’. Ramai juga kalangan ahli kita yang kata, ini diusahakan oleh kumpulan tertentu dalam parti. Mesej ini yang kita tak mahu ada. Nampak sangat PAS ini masih ada elemen perpecahan. Soal boneka atau tidak, sepatutnya tidak timbul. Apa beza boneka UMNO dengan boneka PKR? Kita nak orang PAS tulin. Bukan boneka.
Perlantikan beberapa orang pimpinan PAS Kelantan diharapkan dapat meredakan sedikit ketegangan dan syak wasangka sesama kita. Jangan kata perwakilan ketepikan orang Kelantan. Tidak. Tidak ada ‘plan’ yang sebegitu halus pun. Perwakilan hanya mahu meratakan dominasi sebelum ini. Jangan semuanya tertumpu kepada kelantan; kerana kita juga sudah memimpin di Perak dan Kedah. PAS sudah jadi ‘nasional’.
Perlantikan Mustafa Ali menggantikan KJ PAS adalah suatu keputusan paling hikmah dan bijaksana. Sudah-sudahlah kita bergantung harap dengan orang yang ‘setianya’ terarah kepada orang/parti lain. Sudah-sudahlah kita membiarkan PAS ini menjadi alat kepada mainan dan caturan politik orang lain. PAS bukan lagi PAWN. PAS sudah jadi Queen. Queen boleh makan keliling.
Perlantikan SU Agung ini sangat ‘crucial’ dan penting kepada PAS. Inilah ‘nerve’ dan nyawa PAS. Inilah jambatan pimpinan dengan Jawatankuasa dan penyokong PAS. PAS bergerak atau tidak akan banyak bergantung kepada kekuatan SU Agung. Kalau orang yang ‘setianya’ diragui boleh melakukan yang terbaik untuk parti. Kenapa tidak warlord PAS sendiri.
Husam, Mat Sabu – seharusnyalah melupakan episod kekalahan dan kembali kepada saf dengan jiwa yang baru. Mat Sabu misalnya, patut berasa bangga – disebabkan tanpa sebarang ‘elemen kehebatan’ pun, mampu mendapat undi yang amat dahsyat. Membayangkan bahawa Mat Sabu sememangnya ada ‘kekuatan’ dalam PAS. Jangan pandang sebelah mata.
Kita kena mantapkan semula hubungan Presiden dan Mursyidul Am. Jangan kita biar mereka terus berbalah dan tidak selari dalam pandangan. Kita hentikan bicara yang boleh membawa perpecahan. Kita minta dan rayu mereka bersatu dalam memantapkan parti. Manek Urai – kalau kita terus berbalah begini, akan mengorbankan peluang kita.
Blog ini merayu dengan hati yang cukup rendah, memohon kalangan blogger untuk menghentikan tindakan memecahbelahkan parti selepas pemilihan yang baru lalu. Membaca tulisan ‘kickdefella’ sahaja membuatkan penulis runsing dan susah hati. Runsing dengan keadaan PAS. Susah hati dengan sikap kita yang tidak boleh menerima kekalahan dan ‘suara kepimpinan’. Yang sudah tu sudahlah, kalau kita lelaki tulin – mesti menerima keputusan dengan hati terbuka.
Kekalahan ramai pemimpin PAS Kelantan (sentimen yang mahu dimainkan oleh kickdefella – bekas Ketua Pemuda UMNO Cawangan Sri Hartamas) ini tidak sihat dan tidak molek untuk parti. Samalah keadaannya dengan msomelayu.blogspot.com yang terus-terusan menyerang Husam Musa dalam blognya. Cukup! Jangan sebut lagi benda lama.
Kekalahan ramai pemimpin PAS Kelantan, harus dimuhasabah sebab dan rasionalnya. Kalaupun hebat, tetapi hebat di Kelantan sahaja – memanglah menempah jalan kekalahan. Ustaz Nik Ammar hebat dan gah di Kelantan, tetapi di negeri lain – dengar pun tak berapa nak kenal. Ini hakikat. Yang lain, Husam Musa – terkenal juga, tetapi di atas sebab lain. Bukan perjuangan PAS yang luhur. Tetapi perjuangan poket yang bertabur.
Kita kena jelas dan lapang dada dengan keadaan ini. Mungkin ini masa PAS Kelantan meneliti semula kekuatan dan kelemahan diri. Jangan salahkan lantai, jika tidak pandai menari. Kita kena santuni ulama’; dan ulama’ juga mesti santuni keputusan parti. Noktah. Jika ada suara sumbang yang lain-lain itu – buat tak tahu sahaja.
Kekalahan pimpinan PAS Kelantan bukan salah Tok Guru Nik Aziz. Bukan salah pemimpin yang amat kita hormati dan sanjung tinggi seperti Tok Guru. Ini jatuh kepada salah setiap seorang pemimpin itu sendiri. Bukan orang lain. Jangan cuba nak bangkitkan sesuatu yang tidak ada kena mengena. Bukannya perwakilan buat undi tidak percaya kepada Tok Guru. Cuma kadangkala mungkin orang dan jentera Tok Guru yang lebih sudu dari kuah.
Kickdefella menyiarkan satu artikel ‘benci’ seorang ahli PAS dari Melaka. Dari perenggan awal hingga akhir mengutuk Ustaz Nasa bagai nak runtuh bumi. Habis segala masalah parti ditelanjangkan. Untuk apa? Siap ugut lagi untuk beralih arah jika Nasa meneruskan usaha ‘kerajaan perpaduan’. Apa masalah Pemuda PAS Melaka ini? Sudah gila ism’?
Ustaz Nasa menang dengan ‘kepercayaan majoriti’ perwakilan. Soal undi Husam campur undi Mat Sabu lebih dari Nasa itu tidak timbul. Menang tetap menang. Majoriti perwakilan mempercayai perjuangan Nasa. Jangan bangkitkan soal sumbangan Nasa kepada PAS. Pemuda PAS Melaka itu sendiri seharusnya malu dengan diri sendiri! PAS Melaka macam tidak wujud! Tidak ada wibawa! Ali Rustam yang kaki komisen babi pun tak dapat nak ditumbangkan! Siapa lebih kurang menyumbang kepada parti???
Janganlah ungkit bagaimana Ustaz Nasa kalah sebelum ini. Anta buat apa? Pemuda PAS Melaka ada sibuk membantu. Atau sibuk nak menjatuhkan pimpinan. Inilah masalah dan penyakit dalam parti. Sampai bila Pemuda PAS Melaka heboh nak jatuhkan Nasa. Sampai 3 tahun lagi. Dengarlah kehendak dan rasional pemimpin. Kalau umur baru setahun jagung dalam perjuangan; janganlah hendak mengajar pemimpin seperti Nasa.
Pemuda PAS Melaka mesti muhasabah perjuangan sendiri. Jangan mengarut dan mengaruk untuk memburukkan kepimpinan yang ada. Sedar diri bahawa Melaka juga memerlukan usaha PAS yang lebih bersungguh. Bukan setakat cakap dan bisini sana sini. Usaha kurang. Kan ke tin kosong tu.
Kickdefella diminta insaf daripada terus meneruskan usaha menjatuhkan parti. Tak payah nak menyumbang kepada kejatuhan PAS lagi. Kami tahu bagaimana nak menjaga parti ini. Orang macam enta ini lebih kepada onak dan duri kepada perjuangan PAS.
Buat Pemuda PAS Melaka – pergi sekolah dan tarbiyah lagi. Tak payah nak kutuk pemimpin. Korang pun suka jadi hamba abdi UMNO Melaka agaknya?
Keputusan perwakilan tempohari bolehlah kita angkat sebagai konsensus bahawa PAS memerlukan jalan baru seperti yang diinginkan oleh perwakilan. Pemilihan sudah habis. Saf kepimpinan sudah kita perolehi. Jangan kita mempertikai apa sahaja keputusan yang telah dibuat oleh para perwakilan. Kita anggap sahaja ini sebagai kaedah kita memilih khalifah. Inilah syura bentuk baru yang kita amalkan.
Blog ini jadi sangat kecewa dengan sikap penyokong sesetengah pihak yang masih mahu mewujudkan suasana tidak tenteram di dalam parti. Masih ada bunyi yang tidak sedap didengar selepas Muktamar tempohari. Ada yang rasa dizalimi. Ada yang rasa ditindas. Ada yang rasa dirinya bagaikan diketepi oleh parti. Ada yang rasa tidak disantuni dan dilayani baik oleh parti. Baru ini nak berbunyi? Sebelum ini sibuk bangga diri dan riak dengan pencapaian peribadi. Lagak dengan kaya dan hebat diri.
Menang tidak harus menjadikan kita bangga diri. Kalah jangan jadi gila talak. Jangan pertikai keputusan ramai. Walaupun kalau dicampur dengan calon seorang lagi, undi kita lebih banyak sekalipun – tidak perlu diumum ke sana dan ke mari. Jangan jadi ‘sore loser’; kata orang putih. Ini tidak, masih ada kehendak untuk kutuk parti dan menafikan keputusan jamaah. Apa punya pemimpin ni?
Kita juga mesti menerima kekalahan dengan hati terbuka. Tidak payah peluk di atas pentas; dan kembali menikam bila di bawah. Sanggup mengelurkan kata carutan dan benci nista. Sumpah seranah. Ini tidak betul. Ini bukan sikap seorang pemimpin Islam. Penulis dengar sendiri ayat ‘ambik la dia sebagai pemimpin…lingkup lah PAS ini’ – dikhabarkan kepada perwakilan di parking kereta. Masya’Allah Sheikh, anta naik dengan PAS. Anta kaya raya dengan PAS. Kenapa kalah nak salahkah parti. Terima seadanya.
Apa yang penting, semua jamaah PAS perlu kembali bersatu selepas Muktamar ini. Kita punya tugas di Manek Urai. Walaupun kita yakin menang, itu bukanlah penentunya. Kerja parti mesti diteruskan sedaya upaya. Jangan ada sakit hati bila kalah. Memang PAS Kelantan kalah teruk dalam Muktamar kelmarin – ini bukan soal benci dan tidak suka, tetapi perubahan. Kita kena turun ke Manek Urai sebagai satu jamaah semula.
Kita tahu, Allahyarham Pak Su sebelum ini memang kesukaan rakyat. Bukan sahaja alim, malah tabiat suka bermain ‘laga’ juga memberikan Pak Su kelebihan yang banyak. Kumpulan yang suka laga ayam, laga ikan, laga segala benda memang sayang kepada Pak Su. Almaklum, mana nak cari wakil rakyat yang boleh main laga ayam dengan hebat. Itulah antara kekuatan Allahyarham yang tidak ada pada wakil rakyat lain.
Khabarnya, Setiausaha PAS Kawasan Kuala Krai mungkin diletakkan sebagai calon kita di Manek Urai. Orangnya baik. Ada tsiqah. Tak pandai laga ayam – tetapi pandai memberikan khidmat kepada rakyat. Orang hebat. Alhamdulillah jika benar. Jangan kita nak cuba letak calon luar. Masalah kita nanti. Ini rasanya sudah diketahui oleh pimpinan PAS.
YB Laga Ayam, akan kita gantikan dengan YB yang lebih mampu memberikan khidmat kepada masyarakat. Kita sudah sedia dengan perubahan yang rakyat harapkan. Kita jangan bagi ruang pun kepada puok kerajaan datang cucuk jarum di Manek Urai. Puok ini kita kena tentang habis-habisan.
PAS Kelantan kena buat post-mortem bukan sahaja berkenaan Manek Urai, tetapi prestasi calon Kelantan yang ditolak oleh perwakilan. Di mana silapnya? Apa kelemahan yang ada? Siapa punca? Kita kena pastikan, PAS Kelantan tidak dinafikan tempat yang baik di peringkat nasional. Setakat jadi Mursyidul Am yang tidak dihormati, kita tak mahu. Kesian Tok Guru Nik Aziz – keseorangan dan tidak disantuni.

Laman Berikutnya »