Mei 2009


Budaya politik dalam PAS memang beza dengan parti lain. Kaedah kita bersiap untuk pertandingan pun berbeza. Tak perlu guna pendekatan kempen yang menggila. Cukup sederhana – sebab semua perwakilan memang dah kenal pemimpin. Lainlah budaya dalam parti yang lagi satu, kalau tak turun ke bawah; tak hulur; tak suap; tak jumpa; tak sembang; tak ramah – jawabnya KALAH. Ini yang terjadi kepada ramai kalangan pimpinan yang terkehel sebab ‘kurang RM’ nak beli perwakilan.
Disebabkan kita membawa perjuangan Islam, kempen ini dilakukan secara senyap dan tersusun. Tak boleh heboh-heboh. Kita tak jumpa perwakilan di hotel-hotel lima bintang. Kita tak jumpa perwakilan di ballroom. Kita tak jumpa perwakilan di lounge. Kita jumpa perwakilan di masjid. Ya, kenapa tak percaya? Inilah cara dan kaedah yang lebih molek.
Secara jujur, penulis dan rakan-rakan percaya bahawa pemilihan PAS kali ini akan berlangsung dalam suasana yang tenang dan penuh kekeluargaan. Nasihat Mustafa Ali semalam – bahawa jika calon berkempen terlalu kuat; ada kemungkinan kalah. Jangan main-main. Ini nasihat yang betul dan tepat. Dah banyak terjadi sebelum ini. Bunyi dalam suratkhabar kuat. Kempen sangat kuat. Akhirnya terkulai layu.
Dalam orang sibuk pasal Husam-Nasa, jangan lupa dengan ‘kuda hitam’ bernama Mat Sabu. Ayam sabung PAS ini banyak berjasa dan selalu bersungguh dalam perjuangan parti. Bukan calon mainan yang boleh diketepikan begitu sahaja. Tetapi, antara calon yang paling menarik perhatian adalah – Dr Nik Ammar di jawatan Naib Presiden.
Bekas pensyarah UIAM ini mempunyai talian keluarga ‘ulama’ yang sangat dihormati. Seorang yang juga berani dan mampu menjadi ‘check and balance’ kepada sebarang usaha untuk membawa PAS – ditadbir secara ‘de facto’ oleh orang luar. Nik Ammar adalah seorang yang ‘no-nonsense’. Straightforward dan amat cerdik. Inilah salah seorang pimpinan yang MESTI kita menangkan.
Kita ucap tahniah kepada Dewan Pemuda dan Dewan Ulama’ yang sudahpun memilih pemimpin mereka dengan sebulat suara. Inilah hebatnya PAS. Kita puji dan sanjung kemampuan mereka membuat keputusan terbaik demi kepentingan parti. Inilah muafakat yang kita harapkan, walaupun tidak berlaku di peringkat lebih tinggi.
Nasruddin Hassan Tantawi – mesti cepat membina imej diri yang lebih mampu menarik pengundi muda. Sekali sekala, kena pakai baju kot dan tali leher. Serban jangan tinggal. Ini imej. Barulah kita nampak bagai langit dan bumi dengan Pemuda yang lagi satu. Nasruddin ada bakat dan pastinya mampu berdepan dengan kelompok lawan.
Kita harap, pemilihan kali ini akan membariskan saf terbaik untuk kelangsungan perjuangan PAS. Inilah yang kita amat harapkan. Kita tak mahu menang sorak, tapi parti tergadai. Khususnya dengan usaha-usaha membawa kita ke jalan yang salah. PAS mesti berdiri sendiri. Berdikari. Mandiri politik – inilah yang kita hajatkan.
Rakyat sudah menerima kita dengan seadanya. Alhamdulillah, ini petanda yang baik. Ruang ini jangan kita persiakan – dan dengan kepimpinan baru, moga kita lebih cemerlang.
Advertisements
Terperanjat sungguh menerima khabar daripada seorang rakan – bahawa pihak yang terlibat dalam mengusahakan mogok lapar menggunakan ‘event management company’? Hebat? Apakah usaha mogok lapar yang diusahakan begitu komersil dan mempunyai nilai ‘media’ sampai memerlukan sebuah syarikat pengurusan acara? Ini adalah ‘standard’ baru yang nak kita perkenalkan mungkin? Namun, ramai juga ulama’ yang menentang usaha mogok lapar ini.
Apa yang penulis ingin perkatakan adalah – apakah mogok lapar ini jalan politik atau ‘jalan agama’? Kita jangan mudah sangat nak mengikut kaedah dan amalan orang lain. Jangan sampai ‘nilai’ kita sendiri dijadikan sebagai sesuatu yang tidak berharga. Sebagai sebuah parti Islam – kita jangan mudah sangat dijadikan alat kepada pihak lain? Orang merusuh kita merusuh? Orang mogok lapar – kita mogok lapar? Kita dah jadi ‘pak turut’ dalam politik?
Cerita lain pulak.
Semalam juga berlangsung sesi ‘pengumuman’ mereka yang berhajat nak mengekalkan status bertanding di dalam Muktamar PAS nanti. Maka, sewaktu ditanya oleh media – Husam mengatakan Timbalan Presiden sekarang sebagai seorang yang terlalu liberal? Terlalu menurut kehendak orang lain. Husam meneruskan pandangan, bahawa seorang pemimpin PAS yang terlalu liberal dan bersungguh mendekati UMNO adalah sesuatu yang tidak baik kepada parti?
Tetapi Husam gagal mengatakan bagaimana seorang yang terlalu liberal dalam mendekati PKR juga bahaya kepada parti. Itu gagal Husam terangkan. Husam gagal nyatakan bagaimana dia dilihat sebagai ‘jambatan’ PAS kepada PKR. Jika jambatan ini wujud di peringkat Timbalan Presiden, maka PAS akan jadi sebuah parti yang akan liberal kepada perjuangan PKR yang kadangkala lari jauh daripada perjuangan Islam yang kita usahakan. Macamana nak pastikan itu tidak berlaku?
Husam sepatutnya tidak mudah menyerang calon lain. Tenang sahaja, dan bertanding atas kekuatan diri sendiri. Jangan burukkan orang lain. Apakah liberal kepada sekumpulan menjadi salah; sementara liberal menuruti pemimpin yang kosong moral menjadi sahih dan dibenarkan?
Liberal ini adalah sesuatu yang sangat subjektif. Nasharuddin hanya melaksanakan apa yang dia rasa betul pada masa dan ketika itu. Tidak salah untuk mengusahakan sesuatu yang mengerat silaturrahim dan kerjasama. Ianya memang dituntut dalam Islam sekalipun. Apakah ini tidak difahami oleh sesetengah pihak di dalam PAS?
Kita tidak mahu pertandingan dalam PAS menjadi sesuatu yang sangat dahsyat dan mencederakan asas parti Islam yang kita sayangi ini. Kita nak perebutan berlaku dalam suasana yang serba terdidik dan Islami. Jangan ada usaha untuk mengutuk dan merendahkan peribadi orang lain. Sebagai seorang yang ditarbiyyah di dalam sekolah qiyadi yang sama, tidak sepatutnya ada usaha yang sedemikian sifatnya.
Perwakilan akan membuat keputusan berdasarkan apa yang mereka nampak dan rasakan. Mereka akan meneliti kalangan pimpinan yang boleh membawa kelangsungan kepada kepimpinan ulama’ dan mampu mendepani realiti baru. Walaupun, Husam ada karisma – namun karisma sahaja tidak cukup. Bagaimana dengan nilai kepimpinan? Bagaimana dengan ‘perjuangan parti’?
Jangan kita tuduh orang lain sebagai ‘liberal’; jika kita juga sangat liberal dalam menuruti kehendak pemimpin yang BUKAN pun dalam parti kita. Jika memperteguh silaturrahim dilihat sebagai ‘liberal’; bagaimana dengan kita yang terlalu mengikut telunjuk pemimpin yang rosak moral; parti yang korup dan mengamalkan rasuah?
Nizar dikatakan mengetuai usaha mogok lapar sebagai usaha memastikan adanya pembubaran DUN di Perak. Mogok lapar? Penulis ditanya oleh seorang ahli kariah Subuh tadi – mogok lapar adakah dalam Islam? Penulis bukan ulama’. Sekadar pengikut ulama’. Mungkin ilmu belum cukup nak cakap pasal hukum.
Tetapi, di dalam Islam hanya ada Puasa Wajib dan Puasa Sunat. Puasa di bulan Ramadhan adalah wajib. Puasa sunat boleh dilakukan untuk mendapat pahala yang lebih. Takpun, ada juga istilah puasa ganti. Terutamanya kepada orang perempuan yang berhadapan dengan uzur syarie waktu bulan ramadhan. Mogok lapar – setahu penulis belum ada.
Blog ini mengharapkan kalangan ulama’ dalam PAS bercakap semula dengan Nizar tentang niat ini. Mogok lapar ini seakan budaya politik ‘hindu’ yang cuba Sivakumar buat. Yang Nizar pergi ikut sekali untuk apa? Orang PAS tidak perlukan tindakan mengikut yang melulu seperti ini. Mohon Tok Guru nasihatkan Nizar agar tidak melakukan usaha yang menyebabkan penyokong kita sendiri jadi pening dan keliru.
Yang parahnya kita yang ada di akar umbi ini. Orang akan tanya kita, samada tindakan mogok lapar ini selari dengan ajaran Islam. Kita ini kan pejuang agama. Kita tidak boleh bertindak sesuka hati dan mengatakan ianya adalah sebahagian daripada ‘kaedah politik’. Kita kena santuni kaedah politik dengan wahana dan manhaj agama. Jangan ambil mudah. Orang mula perli kita – ‘mogok lapar atau puasa sunat’?
Kita harap tidak ada pimpinan PAS yang ambil mudah dengan amalan begini. Jangan kita terjebak dalam amalan politik yang merosakkan imej parti – atau lebih teruk lagi IMEJ ISLAM itu sendiri. Jangan amalkan ‘bid’ah’ yang merosakkan. Berdosa kita nanti. Apatah lagi dengan status Nizar yang semakin dilihat sebagai ‘bintang’ dalam PAS hari ini. Jangan disebabkan Sivakumar – Nizar jadi masalah dalam parti.
Blog ini harap Sivakumar tidak ‘jahit mulut’ dan buat macam perangai orang India di tanah besar sana. Sikit-sikit jahit mulut. Mogok lapar. Yang lebih penting, Nizar jangan ikut sekali. Masalah besar kita nanti.
Kepada seluruh keluarga YB Ismail Manek Urai, blog ini mengucapkan takziah. Sebagai seorang pemimpin kita yang sangat dihormati, pemergian YB adalah sesuatu yang amat dirasai. Kehilangan ini adalah suatu kehilangan kepada ‘kepimpinan ulama’ yang sering kita perjuangkan. Al-Fatihah buat Paksu Mail. MOga seluruh ahli keluarga Paksu akan menerima ketentuan ini dengan hati terbuka dan redha.
Yang menjadi kita naik darah, soalan yang dikemukakan oleh media kepada Speaker DUN Kelantan berkisar mengenai pilihanraya, sedangkan tubuh dan jenazah YB masih lagi belum dikebumikan. Tidak ada adab langsung. Seolah menjadikan semuanya suatu ‘nikmat politik’. Masya’Allah. Apa nak jadi dengan media kita ini. Pernah atau tidak berfikir tentang sensitiviti keluarga si mati. Apakah media kita ini beku moral dalam menyatakan persoalan.
Yang pasti, PAS akan bertanding dengan sepenuh hati dalam memastikan kerusi ini kekal milik PAS. Walaupun ditekan oleh jentera Tok Pa Jeli – kita tidak akan undur. Kita akan memastikan DUN Manek Urai akan kekal dalam tadbir PAS. Tok Pa bukan main sombong – kononnya mereka pernah menang tahun 2004 dengan jumlah kurang 60 undi. Maka, tidak mustahil mereka mampu merampas DUN Manek Urai.
Blog ini mengharapkan PRK Manek Urai akan menjadi pengikat kerjasama dan ‘tali persahabatan’ sesama kita dalam PAS. Walaupun kita dikatakan berada di ambang perpecahan, di antara kelompok itu dan ini – Manek Urai akan menyaksikan PAS hadir sebagai satu pasukan. Puak sebelah sana nyata tidak bersatu pun. Tok Pa gerak sendiri. Zulkifli Omar pun gerak sendiri. Pergi ke merata kampung memberi janji. Ada yang kata, UMNO nak ketengahkan orang akademik kali ini – Prof Dr Che Musa. Kita tunggu sahaja.
Penyokong PAS, ulama atau bukan ulama’, erdogan atau bukan erdogan, semuanya kena turun ke Manek Urai sebagai orang PAS. Bukan mana-mana kumpulan. Kita kena gunakan Manek Urai sebagai medan kita mengukuh semula kerjasama antara kita. Jangan ada beza dan saling tidak percaya. Teguhkan – husnul-zann dan bersangka baik. Kita hakikatnya daripada ‘rahim perjuangan’ yang sama. Kita menentang musuh yang sama.
Manek Urai akan menjadi medan penentu penerimaan rakyat (orang Melayu) dengan kaedah dan cara politik kita. Insya’Allah di Kelantan – kita punya asas kekuatan. Kita ada ‘kepercayaan’ orang Melayu di Kelantan. Jentera musuh akan gunakan segala macam fitnah, termasuk kita diperkudakan oleh DAP sebagai bahan. Ini kita boleh agak. Kita harap Nizar mampu turun ke Kelantan sama, memberikan penyokong kita asbab dia GAGAL mengumumkan Islam sebagai ‘perjuangan’ PAS. Orang kampung dah mula percaya Nizar tidak perjuangkan PAS dan jadi kuda DAP. Ini semua kerana Puteri UMNO yang bawa laptop ke hulu ke hilir siarkan ‘youtube’ ucapan Nizar di DUN.
Kita kena rapatkan barisan dan memastikan tidak ada ruang untuk mereka menawan Manek Urai. Ini medan dan kampung perjuangan kita. Kita mahu mereka merasai lagi kekalahan dalam PRK – supaya moral dan kesungguhan mereka tersembam ke bumi.
Manek Urai akan kekal milik PAS – insya’Allah.
Dewan Tertinggi BN telahpun membuat keputusan untuk sama sekali tidak terlibat dengan PRK Penanti yang bakal diadakan tidak beberapa lama lagi. Hebatnya kita, tidak ada satu artikel pihak kita pun yang mengutuk ketidakhadiran BN dalam PRK itu nanti. Hebatnya kita, perkara begini kita tidak cari jalan untuk musnahkan musuh. Harakahdaily sendiri pun tidak mengeluarkan artikel/tulisan membayangkan keputusan ‘takut kalah’ itu.
Tidak mengapa, kita biarkan puak BN mengatakan apa sahaja dengan keputusan tersebut. Nak jimat duit. Nak pastikan rakyat terbela. Nak pastikan rakyat tidak dijadikan alat ataupun apa sahaja. Ini kita akan dengar dan baca di dada akhbar dan media ‘prima’ penyokong kerajaan. Biarkan mereka terjun dengan labu-labunya. Nak bertanding atau tidak; mereka sebenarnya sudahpun kalah ‘hatrick’ dengan kita dalam PRK. Ini pembuktian rakyat bersama dengan kita. Mereka takut untuk tumbang lagi.
Namun begitu, dalam siri pertemuan penulis dengan rakan-rakan PAS di Penanti memang ada suara ketidakpuasan hati kalangan kawan-kawan. YB Fairus dikatakan memang tidak melaksanakan amanah dan tugasan. Lebih banyak berada di KOMTAR, daripada kawasan sendiri. Kerjasama kita di bawah rosak teruk dengan kawan pakatan lain. Ini kita kena perbetulkan.
Dalam masa yang sama, pengundi atas pagar pun dah mula suarakan rasa bosan dan marah. Mereka tak suka ramai sangat orang luar berkampung di Penanti. Mereka katanya dan bosan dengan ulang tayang drama pilihanraya. Mereka sokong kita – tapi ada juga suara yang kata, tak payah bertanding lebih elok. Ini kata mereka.
Kita nak gesa Anwar Ibrahim untuk berusaha memastikan tiada pertandingan di Penanti. Baru kita boleh menjawab tuduhan bahawa kita tidak merugikan rakyata. Anwar kena pujuk mantan Ketua Wanita PKR tersebut untuk tarik diri. Anwar dan PKR fikirlah cara mana sekalipun. PKR pasti punya strategi untuk memastikan ini berlaku. Macam tak biasa. Gunalah strategi yang terbaik.
Kepada PAS – jalan terbaik adalah ‘menang tanpa bertanding’. Baru bergaya! Baru kita nampak kesatuan dan mampu menjadi ‘ikon rakyat’. Kita kena terus tekan kerajaan dengan pilihanraya kecil. Itu mesti kita lakukan dalam menentukan kita terus ‘visible’ dalam hati dan minda rakyat. Ini kita kena lakukan dengan strategik. Kalau terlebih sangat pun – akan mengundang masalah.
PKR perlu pastikan TIDAK ADA PERTANDINGAN di Penanti dan kita akan mampu tampil lebih kuat di mata rakyat. PAS Pulau Pinang – walaupun ada suara ketidakpuasan hati; seperti yang dikhabarkan kawan-kawan sewaktu makan mi udang – boleh diselesaikan. PAS ada cara dan kaedah sendiri selesaikan masalah. PAS bukan macam parti lain yang tidak ada ‘mekanisme dalaman’. PAS ada kelebihan bab ini.
Kita sedia pada bila-bila masa nak ke Penanti. Tapi kita nak, Pakatan Rakyat diisytihar menang tanpa bertanding. Inilah jalan politik yang terbaik buat kita pada ketika ini. Ini hanya boleh berlaku jika kalangan rakan dalam PKR dapat pastikan usaha ini dapat dijayakan.
Kita nak sorak sorai, gegak gempita pagi penamaan calon diisi dengan ‘kemenangan bergaya’ PR. Kita sanggup ketepikan hati yang luka demi untuk memberikan ‘cita kerjasama’ kepada pakatan rakyat. Niat kita ikhlas. Niat kita mahukan yang terbaik untuk PR.
Kempen seterusnya yang dibuat oleh wanita Pakatan Rakyat adalah mengumpul sejuta tandatangan rakyat Perak untuk mendesak pembubaran DUN Perak. Kempen ini diketuai oleh Zue Taliban (Zuraida – Ahli Parlimen Ampang) seperti yang disiarkan oleh Harakahdaily tadi. Tidak pula ada komen daripada Dewan Muslimat PAS – namun kita rasa, jika Zue yang katakan, insya’Allah Dewan Muslimat akan bersetuju.
Akhir-akhir ini Zue Taliban lebih terkehadapan dalam isu-isu tertentu. Bukan sahaja dalam isu Perak, tetapi dalam banyak perkara dan isu, Zue memang tahu meletakkan dirinya di hadapan dan membiarkan ‘Dewan Muslimat’ kita berada sedikit di belakang. Apakah kita memang rela diperbuat sedemikian? Atau ini semua dilaksanakan atas dasar ‘faham kerjasama’ antara kita dan pimpinan Pakatan Rakyat.
Kita nak Zue kotakan janji untuk mengumpul sejumlah tandatangan ini. Kena sejuta la jumlahnya. Baru ada ‘weight’ dan diterima oleh Paduka Seri Sultan Perak. Kita nak katakan, ‘rakyat’ sudah menyatakan pendirian – bahawa mereka mahukan pilihanraya. Kalau itupun tidak didengari, payah la kita nak cakap. Ini soal rakyat yang memerlukan kepimpinan. Patutnya, rakyatlah yang patut menjadi tonggak keputusan – dengan izin Duli Tuanku.
Tak kisahlah dibuat dan dilaksana siapa pun – syaratnya kita mahu sejuta tandatangan. Media perdana heboh mengatakan kita sudah bersedia untuk berbincang. Tetapi tanpa syarat. Najib ingat ini macam beli kapal selam ke. Tanpa syarat dan naikkan komisen sesuka hati. Ini kerjasama politik yang mesti disulami dengan syarat dan persetujuan. Dia ingat kita ini bodoh ke?
BN bukan macam Pakatan Rakyat, yang mempunyai kerjasama dan nilai persahabatan teguh. Dalam BN, sesama sendiri pun nak dibawa bergaduh. Tengok pada Kayveas dan Murugiah. Perangai macam penduduk setinggan. Besar diri dan gila kuasa. Dalam Pakatan Rakyat, kita tidak ada perangai hodoh begini. Kita pun tidak ada Samy Vellu penipu. Sebab itu kita lebih tersusun dan sepakat.
Zue Taliban agaknya nak berlatih kumpul tandatangan sekiranya kes Anwar Ibrahim tersangkut. Bolehlah Pakatan Rakyat anjurkan lagi kempen 5 juta tandatangan rakyat Malaysia untuk bebaskan Anwar. Kita nak terlibat – kalau kepimpinan kita bersetuju apa salahnya.
Selama inipun, Anwar banyak menjadi peneraju kepada pakatan kita ini. Kita akui senario ini. Kalau tidak ada Anwar pun susah juga kita nak kalahkan BN di 5 negeri. PAS kena terima hakikat ini. Kita jangan lagi ragu dengan ‘qudwah’ Anwar dalam Pakatan Rakyat. Kita follow.
Tugas kita, penyokong PAS kali ini – pastikan sejuta tandatangan rakyat Perak dapat kita kumpul dan serahkan kepada Paduka Seri Sultan. Ini suara rakyat yang mahukan penentuan kepimpinan dibuat secara adil. Persetan dengan rasional ‘representative democracy’ yang dibuat oleh kerajaan. Kita mahukan pilihanraya. Blog ini ucap tahniah kepada Zue Taliban yang mengetuai usaha ini.
Salam.
Wah nampaknya bersungguh benar media perdana menyerang kemungkinan PAS berhadapan dengan senario politik wang yang kotor dalam pemilihan kali ini. Kenyataan Dewan Ulama’ – kononnya sudah ada dakwaan bahawa perwakilan menerima ‘khairat’ tertentu menjelang pemilihan kali ini adalah mendukacitakan. Sejak bila pula
Dewan Ulama’ boleh buat kenyataan kepada Utusan Malaysia?
Takpelah, kita anggap sahaja kenyataan tersebut sebagai kenyataan ‘preventif’ supaya kalangan perwakilan PAS tidak terbuai dengan budaya politik wang yang merosakkan seperti dalam UMNO. Dalam UMNO, politik wang ini sudah menjadi macam ‘budaya’. Sudah menjadi barah. Yang menang di peringkat Majlis Tertinggi kebanyakannya semua pakai duit. Kecuali mungkin beberapa orang yang baik budi.
Dalam PAS, benda ‘khairat’ dan kebajikan ini perkara baru. Jika ada pertandingan yang sengit dan ketat, inilah jadinya. Ada pihak yang akan menggunakan kemampuan untuk menghalalkan pemberian khairat dan kebajikan. Mungkin bagi sesetengah perwakilan, ini adalah ‘sedekah’ dan ianya tidak salah. Orang nak memberi, kita terima sahaja. Bukannya 5/6 ribu seperti Pemuda UMNO dapat. Ini sekadar boleh membeli rokok dan duit minyak sahaja. Tak lebih daripada itu. Sebab itu – dalam PAS bukan politik wang; tetapi ‘politik khairat’ (politik kebajikan).
Nak jadi pemimpin, tanpa mengenepikan realiti semasa – mestilah kalangan yang ada duit dan kemampuan. Abdul Rahman Auf dahulupun ahli korporat yang banyak menyumbang kepada pembangunan Islam. Tidak salah. Malahan diperlukan dalam usaha mengangkat darjat Islam itu sendiri. PAS jangan ada usaha nak tolak kemampuan kewangan seperti ini.
Gandingan terbaik untuk PAS (menurut suasana semasa) – mestilah gandingan ulama’ dan korporat ulama’. Inilah yang sebaiknya. Kita mahukan kepimpinan PAS yang mampu membawa perubahan. Bukan sekadar menjadi ‘pelengkap’. Tetapi menjadi pemangkin kepada perubahan PAS secara keseluruhannya. Jangan kita terbawa-bawa dengan kecaman kononnya kita terlibat dengan politik wang.
Amalan politik berkebajikan ini adalah polisi dan dasar parti kita. Jangan kita ketepikan kepentingan kalangan penyokong marhaen untuk memperoleh sedikit ‘penterjemahan’ kepada parti berkebajikan yang pimpinan selalu nyatakan.
Kita perlu hati-hati dengan tindakan media perdana merosakkan imej ‘pemilihan PAS’ kali ini. Kita jangan percaya dengan segala tohmahan ini. Politik wang tidak wujud dalam PAS. Kita ada ‘politik khairat’ dan politik kebajikan. Yang politik wang itu ada dalam parti lain.

Laman Berikutnya »