Disember 2008


Isnin lepas, 29 Disember 2008, di atas pentas ceramah Mansuhkan ISA di Bangi, tiba-tiba muncul kumpulan yang mahu Pas membantu “memansuhkan” Babi di Melaka.

Kumpulan tersebut yang terdiri daripada Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Gabungan Gerakan Melayu Muda (GGMM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mewakili penduduk enam kampung di negeri itu yang mahu Pas membantu menyelesaikan masalah ternakan babi yang semakin berleluasa.

Pentas Perdana anjuran Pas Selangor itu “terganggu” sebentar kerana pimpinan Pas perlu mendengar rintihan rakyat yang sudah geli geleman mual loya tekak dengan akibat penternakan babi.

Ini satu petanda besar dalam perkembangan Pas. Kumpulan penduduk di Melaka datang meminta bantuan pada satu majlis Ceramah Perdana di Selangor.

Melaka bukan kubu Pas. Secara tradisi ia diwarisi Umno dan Umno telah membangunkan Melaka dari sebuah tanah gersang dengan pelbagai kekangan sumber semulajadi kepada sebuah negeri industri yang mampu menyediakan pekerjaan kepada pelbagai lapisan rakyat.

Cuma, isu kali ini ialah isu Babi dan mereka yang tertekan telah membawa aduan ini ke pentas Pas.

Pas perlu bertindak pantas dalam hal ini. Dasar Pas kena jelas. Tindakan perlu dibuat dengan segera dan kalau perlu cepat-cepatlah hantar wakil bertemu dengan Ketua Menteri Dato’ Seri Mohd Ali Rustam.

Ini soal hidup rakyat. Seperti mana isu ISA yang disebut sebagai isu semua pihak, isu babi juga perlu diberi perhatian wajar kerana ia menjejaskan banyak pihak.

Benar Melaka bukan tempat Pas tetapi apabila rakyat sudah mula memberi harapan, maka sudah semestinya ia disambut dengan azam perjuangan.

Cuma kita harap parti kita ini merumuskan satu dasar yang lebih jelas dalam soal ini. Jangan berpolitik dengan isu Babi kerana Babi bukan isu politik. Ia isu yang meruntun jiwa semua pihak. Ingat virus nipah? JE? Berapa banyak lagi yang kita mahu dikorbankan?

Janganlah pimpinan Pas memecahbelahkan dasar dalam soal ini. Jika tindakan hapuskan Babi hendak dibuat ke atas Melaka, fikirkan juga dasar di Selangor, Perak dan mungkin Pulau Pinang. Jangan pula sebab hendak menjaga hati DAP, Pas terus-terusan berkompromi.

“Brendon”

Advertisements

Sila rujuk akhbar Harakah Bil. 1401, keluaran 28-30 Zulhijjah 1429 (26-28 Disember 2008) muka surat 2. Di bawah tajuk: Kenapa marah guna bahasa Cina?

Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam laporan berita tersebut cuba menenangkan rakyat dengan menjelaskan bahawa isu bahasa Cina pada papan tanda di Pulau Pinang adalah perkara yang diperbesar-besarkan.

Beliau berkata ia sengaja dihebohkan tanpa menggunakan pemikiran logik bahawa bahasa itu adalah satu kurniaan Allah. Nik Aziz mendakwa ia tiada nilai berita dan hanya bertujuan melaga-lagakan orang Melayu dan Cina.

Sesungguhnya rata-rata penyokong dan pencinta parti Islam di Pulau Pinang tergamam apabila terbaca apa yang disebut oleh Nik Aziz.

Ramai yang memujuk diri dan berkata pada diri sendiri yang Mursyidul Am ingin meredekan tekanan politik yang sedang melanda hubungan Pas-DAP.

Ada juga yang menyebut dalam hati sendiri bahawa pemimpin veteran Pas ini bijak menggunakan ilmu mantik dan pendekatan psikologi bagi menarik sokongan orang Cina di Kuala Terengganu nanti.

Namun jauh dalam hati sanubari penyokong Pas di Pulau Mutiara amat terkilan dan sebak dengan kenyataan tersebut.

Isu papan tanda dalam bahasa Cina adalah satu isu yang jelas dan mempunyai ‘substance’ kerana sudah lama sangat orang Melayu ditindas di Pulau Pinang. Tindakan itu sebenarnya menghiris perasaan orang Melayu. Sudahlah hidup orang Melayu ditekan dek arus pembangunan yang hanya mementingkan satu kaum sahaja. Kini pula Nik Aziz sendiri membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti penyokong Pas sendiri.

Tidak tahukah Tuan Guru berapa ramai orang Islam yang teraniaya ekoran tindakan pemimpin bukan Melayu. Orang Islam diperlekehkan, malah isu azan juga pernah timbul satu masa dahulu. Beberapa tahun lalu juga nama jalan “Masjid Kapitan Keling” yang berjaya ditukar oleh Umno dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong hendak dilenyapkan kepada “Lebuh Harmoni”. Dalam isu-isu tersebut yang timbul sewaktu pemerintahan Barisan Nasional telah berjaya diselesaikan oleh pimpinan BN.

Tindakan pemasangan papan tanda bahasa Cina oleh kerajaan DAP-PKR bukan berpunca daripada wujudnya pelbagai bahasa di negara ini tetapi isunya ialah peta garisan sempadan sejarah dan ketamadunan Melayu Islam hendak dilenyapkan.

Ingin kita ingatkan Tuan Guru bahawa, hakikatnya tidak wujud apa yang disebut sebagai hubungan Pas-DAP di Pulau Pinang. Pas bukan salah satu sekutu dalam kerajaan negeri. Sila rujuk semua kenyataan akhbar Ketua Menteri Lim Guan Eng dan cari bila masa dan ketikanya DAP mengiktiraf Pas di Pulau Pinang.

Kita harap Nik Aziz boleh lebih peka dengan keadaan. Janganlah menghiris perasaan orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang.

Ibu negeri ini memang tersohor sejak lama dahulu. Catatan akhbar-akhbar tahun 1950an ada yang mengaitkan Kota Bharu dengan kegiatan pelacuran, kongsi gelap dan kelab malam.

Itu fakta sejarah yang ramai di kalangan orang Kota Bharu sendiri pun tak maklum.

Namun segalanya telah berubah. Bandar tersebut sudah pun melalui tempoh transformasi yang hebat ekoran kerja keras para rakyat dan penduduknya yang progresif.

Kota Bharu dari sudut politik merupakan pusat penentu trend dan penyebaran mesej politik yang berkesan untuk ke segenap pelosok Kelantan.

Apa sahaja mesej yang hendak disebarluaskan ia mesti dicetuskan di Kota Bharu. Di situ tempat berhimpun dan di situlah juga tempat menentukan gerak agenda.

Namun dalam sedar tak sedar Kota Bharu dan penduduknya yang pragmatik tidak mendapat nikmat yang sewajarnya dinikmati sebagai sebuah pusat bandar yang terkenal.

Peningkatan kadar cukai perkhidmatan bandar dan tanah tidak pernah dipertikai oleh penduduknya walaupun semua rakyatnya rata-rata sedar itu adalah perkara asas yang wajib disediakan oleh kerajaan.

Cuba bergerak di segenap kawasan perumahan atau rumah-rumah agam yang tersergam indah dibina. Perkhidmatan kutipan sampah dari rumah tidak disediakan di semua tempat. Kalau ada pun sejak dari tahun 1980an hanyalah di Telipot dan beberapa tempat lain.

Di kawasan lain secara majoritinya setiap penghuni rumah perlu memasukkan sampah baik-baik ke dalam plastik dan memunggahnya sama ada dengan kereta, motosikal atau basikal untuk dibuang ke tong sampah besar yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu di tepi jalan-jalan utama.

Begitu halnya dengan kemudahan parit dan longkang. Oleh kerana tiadanya kesungguhan kerajaan, majoriti kawasan kediaman tidak mempunyai kemudahan yang penting itu. Jadi apabila tiba musim tengkujuh, walau tidak banjir, jalan-jalan dan perkarangan rumah pastinya berselut. Mereka yang berduit, tanpa fikir panjang gemar menurap simen di dalam kawasan pagar masing-masing, tanpa mempedulikan jiran sebelah menyebelah.

Bila tiba musim banjir dan digabungkan dua masalah tersebut iaitu kutipan sampah yang lemah dan kegagalan mewujudkan sistem perparitan yang lengkap, maka timbullah banyak masalah, sama ada dari sudut kesihatan dan sebagainya.

Ini kisah hidup rakyat Kota Bharu yang hampir 20 tahun dipimpin Kerajaan yang mendakwa memerintah secara Islam.

Sukar difahami, Islam apa yang dimaksudkan jika kemudahan asas rakyat tidak diutamakan.

Satu lagi yang mengejutkan di Kota Bharu ialah caj letak keretanya sama dengan yang dikenakan di Pulau Pinang. Namun, taraf hidup, kemudahan perbandaran, pendapatan rakyatnya secara per kapita macam langit dengan bumi. Pemerintahan Islamkah itu?

Presiden kita Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan calon Pas pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pastinya lebih baik daripada calon Umno.

Dari sejak zaman menjadi Timbalan Presiden, kenyataan bekas Menteri Besar Terengganu itu berbunyi agak “menakutkan” kerana ia kedengaran agak angkuh.

Memang dalam politik, apa sahaja nada kenyataan, ayat dan cakap-cakap, ceramah dan hujah perlu bernada tegas, lantang dan meyakinkan tetapi lain halnya pula jika selama-lamanya bercakap menongkat langit.

Umno telah mengumumkan calon pilihan parti jauh lebih awal daripada Pas. Itu kenyataan dan sejarah yang telah tercatat. Bukan awal sehari dua tetapi awal berhari-hari. Keadaan ini menggambarkan ada kekusutan dalam parti untuk menentukan calon.

Mursyidul Am Pas Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat muncul sebagai pimpinan pertama yang menyuarakan hasrat hatinya untuk mencalonkan bekas calon yang kalah iaitu Naib Presiden Mohamad Sabu.

Tidak ada siapa yang menegah dan tidak ada siapa juga yang mampu menyekat kenyataan Nik Aziz kerana dia seorang tokoh teratas parti. Cuma dari aspek politik apa yang berlaku sebenarnya memperlihatkan kepincangan cara politik kita yang tidak sepatutnya berlaku kerana kita bergerak secara jemaah.

Nampak sangat Nik Aziz bercakap mewakili satu pihak iaitu pandangan peribadi beliau sendiri. Nik Aziz tidak boleh lupa bahawa dia pemimpin tinggi parti dan apa sahaja yang diucapkan mewakili kepentingan parti serta mengheret semua pihak. Pemuda Pas pula timbul dengan cadangan beberapa nama manakala Haji Hadi pula memberi gambaran semuanya akan diselesaikan dengan baik dan nama calon akan diumumkan di stadium negeri.

Runsing sebenarnya bila kita menilai apa yang berlaku dalam parti kita. Kepimpinan kita masih lemah dalam berorganisasi. Keputusan tentang perkara ini pada hakikatnya perlu diselesaikan di peringkat teratas terlebih dahulu dan janganlah disebarluaskan jika belum ada keputusan. Nama calon pilihan peribadi atau dalam kes ini pilihan Nik Aziz atau Hadi atau Pemuda Pas tidak patut timbul langsung.

Jika ditafsir kes ini, ia seolah-olah penyakit warisan dalam Pas Terengganu. Keputusan sukar dibuat kerana pemimpin tidak habis-habis mempunyai kepentingan.

Pas perlu lebih gagah menghadapi pilihan raya kali ini kerana Terengganu adalah negeri yang lama diterajui oleh Barisan Nasional. Pas pernah memerintah tetapi pemerintahannya meninggalkan seribu satu wajah polemik dan cerita.

Perlu diingat kerusi Parlimen Kuala Terengganu ialah satu kerusi yang berkedudukan 50-50. Bekas ahli Parlimennya Dato’ Razali yang juga tokoh pendidik dan merupakan Timbalan Menteri Pelajaran adalah seorang yang dihormati oleh para pemimpin Pas kerana komitmennya yang tinggi dalam agenda pendidikan negara.

Tidak mudah untuk mana-mana parti menang dengan mudah. Corak pemikian pengundi di Kuala Terengganu juga perlu dikaji. Kita tidak boleh mendabik dada dan berkata calon kita lebih hebat. Rakyat tidak suka keangkuhan kerana sikap itu akan membinasakan diri.

Rakyat Terengganu kenal benar dengan calon Umno. Tidak perlu kita cerita di sini kerana kerusinya ialah Kuala Terengganu, kampung halamannya dan pastinya “jauhari lebih mengenal maknikam”.

Jadi yang sebaik-baiknya dibuat ketika ini ialah untuk menggerakkan jentera kempen. Cuma alangkah baik kalau Presiden dan Mursyidul Am kita mempunyai penasihat yang lebih bijak agar kita di bawah ini tidak tercungap-cungap menjawab soalan-soalan di peringkat akar umbi.

Hudud sudah menjadi begitu sinonim dengan Pas.

Biarpun hudud sebenarnya adalah hukum Islam, hukum Allah yang wajib dilaksanakan tetapi oleh kerana pemimpin Pas kerap sangat mengutarakan isu tersebut maka ramai di kalangan bukan Islam secara tidak langsung menganggap hudud adalah satu-satunya matlamat utama Pas.

Mungkin tanggapan tersebut benar kerana Pas mendefinisikan pemerintahan Islam mengikut kaedah yang ditetapkan oleh pimpinan mereka iaitu wajib diwujudkan perundangan Islam 100% barulah negara ini bergelar negara Islam.

Dalam membicarakan isu ini, Umno pada hakikatnya tidak pernah menolak pelaksanaan hukum tersebut tetapi para kepimpinannya sering mengatakan masa belum tiba dan masyarakat belum bersedia kerana kita berbilang kaum dan agama. Umno melihat banyak lagi perkara lain yang boleh didahulukan.

Pas sebaliknya terus berwajah pendesak dan gemar memainkan sentimen agama untuk menarik sokongan padu daripada para pengundi beragama Islam.

Kaedah Pas tidak salah kerana mereka terbukti berjaya memancing undi segolongan pengundi yang yakin jitu bahawa para pemimpin parti yang membawa tema perjuangan Islam itu adalah benar dan tidak ada yang tidak benar kerana mereka Islam.

Tidak salah mempunyai fikiran sedemikian tetapi perlu diingat bahawa semua yang berada dalam kepimpinan Pas adalah manusia dan manusia tidak mampu hidup tanpa berbuat salah.

Apa yang jelas dalam melaksanakan sesuatu dasar yang amat besar, perlu ada kertas dasar yang terancang dan pendekatan holistik atau menyeluruh bagi mencapai matlamat berkenaan. Sesuatu agenda tidak akan berlaku hanya di atas kertas atau dengan termetrainya undang-undang.

Barangkali semua pihak sudah mula pelik dengan tindak tanduk Pas kerana sejak memerintah beberapa negeri, lebih-lebih lagi Kelantan sejak 1990, langsung tidak kedengaran siri-siri konvensyen, seminar, bengkel atau simposium kefahaman hudud.

Pelaksanaan undang-undang perlu dibuat berlandaskan kefahaman umum dan keinginan masyarakat untuk melihat sesuatu undang-undang itu terlaksana. Pendekatan ini tidak mengira sama ada ia perlu dilaksana oleh kerajaan Pusat atau negeri. Apa yang penting kefahaman umum boleh ditingkatkan dan matlamat tersebut difahami secara meluas.

Semua pihak sebenarnya hairan mengapa Pas tidak mahu bergerak langsung untuk menyebarluaskan kefahaman mereka tentang kepentingan hukum Allah kepada masyarakat. Semuanya ditunjuk ke arah perundangan.

Pas gemar mencanangkan cerita, berita dan kisah bahawa mereka mahukan hudud, dan pada masa yang sama memberi gambaran seolah-olah pihak Umno menolak hudud.

Kenyataan terbaru Naib Presiden Pas Dato’ Husam Musa baru-baru ini pada satu sidang akhbar di Kota Bharu amat mengejutkan. Ini kerana nada yang digunakan Husam saling tidak tumpah dengan kefahaman dan pendekatan pimpinan Umno. Husam berkata pelaksanaan hudud mungkin terpaksa ditangguhkan walaupun Pakatan Rakyat memerintah negara.

Ini sudah jadi nada Umno dan kenyataan itu datang dari pimpinan tertinggi parti menerusi satu kenyataan rasmi. Husam berkata kesepakatan perlu dicapai terlebih dahulu antara parti-parti dalam PR.

Perkara ini telah mengundang mereka yang mahu berfikir secara rasional kembali untuk menilai perjuangan Pas selama ini. Keadaan ini dianggap malapetaka oleh para penyokong Pas tetapi pada masa yang sama ramai yang bersyukur kerana lebih ramai rakyat dapat membuat penilaian secara rasional.

Khabarnya lebih kurang 50 atau 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kepentingan kaum Bumiputera di Pulau Pinang sepakat untuk mengadu hal kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.

Jika benar seperti yang didengar, mereka akan mengadakan perarakan untuk menghantar memorandum kepada TYT tentang masalah yang mereka lalui sejak jatuhnya kerajaan Barisan Nasional di Pulau Pinang 8 Mac 2008.

Tentu sekali tindakan ini akan menjadi tajuk besar di dada akhbar atau televisyen. Setidak-tidaknya perkara ini akan diperdebatkan untuk satu tempoh tertentu. Kupasan akan dibuat dan analisis akan diketengahkan.

Pihak yang berkepentingan mungkin mendakwa perarakan tersebut adalah perancangan Umno untuk mengkucar-kacirkan pemerintahan DAP dan sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Namun, untuk bertindak adil, kita perlu bertanya sama ada dalam 50 atau 60 NGO tersebut ada atau tidak di kalangan mereka nanti merupakan pengikut Pas.

Beberapa pihak mengesahkan tindakan tersebut melibatkan bukan sahaja penyokong padu Umno tetapi orang Pas dan malahan PKR juga dijangka terlibat. Mungkin ada yang tidak sanggup menonjolkan diri tetapi mereka berada di belakang tabir.

NGO-NGO ini mahu berarak dari Padang Polo pada 29 Disember 2008 ke kediaman rasmi TYT yang sememangnya tidak jauh dari padang berkenaan.

Apa yang ingin disuarakan adalah untuk menyatakan sokongan terhadap agenda perjuangan golongan anak bangsa yang masih belum mencapai tahap yang memuaskan dalam hidup. Soal ketuanan Melayu, soal perjuangan, meningkatkan taraf hidup dan sebagainya.

Mereka khabarnya kesal dengan pihak yang memandang lekeh dan hina tentang perjuangan anak bangsa untuk memperbaiki kehidupan.

Hakikatnya, kedudukan kaum majoriti di negara ini masih tertinggal. Memang ramai yang sudah melepasi garis kemiskinan tetapi masih ramai yang tertinggal, khususnya di luar bandar.

Golongan bumiputera atau Melayu yang bernasib baik pula ada pula yang telah berpaling tadah dan lupa diri. sanggup menerima agenda DAP dan PKR untuk menafikan kepentingan penduduk asal. Dengan mudah mereka ini berkata hak istimewa perlu dihapuskan.

Ini kezaliman dan keadaan inilah yang mahu dibantah oleh para NGO tersebut.

Mereka membawa mesej perdamaian yang menuntut kesedaran semua pihak tentang soal ketuanan Melayu yang sememangnya merupakan agenda yang perlu diberi keutamaan.

Melayu tidak menganiaya kaum lain. Sejarah mencatatkan bahawa kaum-kaum lain yang berhijrah ke Tanah Melayu telah menikmati hidup yang baik. Lantas mereka terus bermastautin.

Tanah ini Tanah Melayu dan agenda yang perlu diperdengarkan dan difahami oleh semua adalah agenda membela anak bangsa, semua peringkat dan kaum. Melayu tidak meminggirkan kaum lain, malah peluang selama ini terbuka dengan cukup luas.

Apa yang mahu NGO ini sampaikan adalah perlunya agenda tersebut diteruskan dan hak-hak bumiputera atau Melayu terus dipertahankan dan jangan sekali-kali dilenyapkan.

Janji Pas Kedah

Sudah hampir 10 bulan Pas memerintah Kedah. Dalam sebulan dua lagi cukup setahun.

Mereka yang mahir mengenai pentadbiran kerajaan maklum bahawa tempoh setahun itu lebih dari cukup untuk meluluskan dasar-dasar penting yang dijanjikan sepanjang kempen pilihan raya umum yang lalu.

Kalau pun tidak mahir sekali pun, tempoh 10 bulan itu memadai untuk menggariskan perancangan seperti yang telah disebut sewaktu memancing undi.

Secara mudahnya, dalam tempoh tersebut sepatutnya kerajaan pimpinan Pas sepatutnya terlebih dahulu fikir tentang usaha mengotakan manifesto.

Ada beberapa isi penting dalam gerak kerja pilihan raya lalu yang telah membuai fikiran orang Kedah. Antara yang menarik ialah janji Pas untuk menjadikan Kedah Belanda Timur atau Holland of The East.

Kedah akan ditukar menjadi pengeluar hasil tanaman yang berpotensi tinggi. Kedah akan menjadi pengeksport tanaman yang mampu menukar corak hidup rakyat. Rakyat Kedah seterusnya akan makmur kerana kepelbagaian pertanian adalah salah satu amalan yang mampu menukar kebergantungan punca ekonomi kepada sumber yang terhad.

Isi manifesto sepoi-sepoi bahasa itu bagaimanapun langsung tidak diperdengarkan lagi sehingga kini. Tempoh 10 bulan bukan jarak masa yang sesuai untuk muncul kembali untuk mengatakan rundingan sedang dibuat. Dalam tempoh tersebut sepatutnya sudah ada rangka kerja yang jelas dalam mencapai matlamat berkenaan.

Rakyat di Kedah ternganga menanti tindakan lanjut kerajaan negeri. Namun bukan sahaja mereka tidak berani bertanya tentang perkembangan perkara itu, tetapi sudah mula hilang harapan.

Ini kerana kerajaan tidak putus-putus memanfaatkan masa untuk berbincang mencari kepincangan kerajaan lepas. Dalam hal ini, teringat pula tindakan Dato’ Seri Idris Jusoh apabila mengetuai kerajaan Terengganu.

Beliau tidak memberi tumpuan melampau-lampu tentang kesan-kesan negatif akibat pemerintahan satu penggal Pas di Terengganu, bahkan membawa agenda memenuhi manifesto. Beliau kotakan janji dengan sokongan padu para exco.

Perkara yang sama bagaimanapun tidak kelihatan di Kedah. Kerajaan Kedah lebih gemar membenamkan manifesto dan terus menggembar gemburkan cerita tentang pemerintahan kerajaan lalu.

Satu lagi agenda yang dijanji ialah untuk menubuhkan institusi khas agama bagi mengeluarkan para imam tahfiz dan ilmuan agama. Sehingga kini tidak kedengaran. Sedangkan Pulau Pinang sewaktu diperintah Barisan Nasional sudah pun melaksanakan perkara itu, walaupun Ketua Menterinya seorang bukan Islam.

Sukar kita hendak percaya lagi dengan janji pimpinan Pas. Biarkan mungkin ada yang berkata, tempoh ini sekejap sangat, mana logik dibandingkan dengan tempoh lama Umno atau BN memerintah. Namun apa yang dipertikaikan di sini bukannya pelaksanaan pembangunan tersebut tetapi lebih kepada keputusan atau frame work atau road map yang sepatutnya sudah mampu diputuskan dalam tempoh 10 bulan.

Laman Berikutnya »