Salam Perjuangan,

Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim berjanji lagi. Tapi janjinya kali ini berlapik. Tidak gelojoh seperti biasa. Tiada tarikh ditetapkan, tiada lokasi perisytiharan dipilih.
Sebaliknya janji beliau kali ini ialah dengan menyuntik “psy war” beremosi – perang psikilogi untuk mengheret Sarawak, sebuah negeri aman damai ke kemelut politik negara.
Anwar mencanang nama pemimpin dalam Pakatan Rakyat seperti Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dari PAS, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dari DAP dan diri beliau dan isterinya Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pertaruhan psy war kali ini.
 
Beliau kata mereka akan terus mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan anggota Parlimen BN untuk memujuk mereka supaya berpaling tadah menyertai mereka.
 
Sarawak yang mempunyai 30 anggota Parlimen adalah kunci kepada kerajaan Pakatan Rakyat di negara ini, kata Ketua Pembangkang tersebut.
 
Dulu Sabah, kini Sarawak. Atau Anwar nak kita baca Dulu Sabah, Kini Tambah Sarawak?
 
Hakikatnya benar, berpaling tadah boleh berlaku. Malah, 30 tidak mustahil boleh diperolehi. Ketika angka keramat “30 Ahli Parlimen” dilaungkan untuk menubuhkan Kerajaan pada 16 September 2008 pun ramai orang kita yang tabik pada Anwar.
 
Sarawak negeri besar. Luasnya Sarawak hampir sama dengan Semenanjung. Ketua Menterinya orang lama Pehin Sri Tan Sri Dato’ Patinggi Abdul Taib Mahmud. Banyak isu, penuh kontroversi. Memang senang nak semarakkan semangat rakyat di sana. Sebab mereka sudah lama tidak puas hati.
 
Jika nak dianalisis, politik Sarawak memang kompleks dan apa sahaja boleh berlaku. Ingat Ming Court? Ingat sistem pemerintahan BN 3? Ingat Leo Moggie anak Irok? Pembangkang di negeri, Kerajaan di Pusat.
 
Hujah Anwar kali ini berasas. Memang tidak mustahil mendapat jumlah 30.
Cuma, persoalan asas masih perlu dijawab. Di mana parti kita, PAS dalam senarai kerajaan kelak?
 
Anwar tidak pernah nak jawab dan nampak gaya tidak mahu sentuh langsung hal ini.
 
Selekeh sangat kah pimpinan PAS sehinggakan Anwar meminggirkan kita ke ceruk?
 
Perjuangan PAS jelas. Sejak berdekad kita sudah menyerap masuk ke saraf rakyat dengan memahami dan memperjuangkan nasib mereka.
 
Dalam keadaan ini, PAS perlu melihat jauh, perlu membuat tindakan berani. Yang pertama sekali, kita kena berani berfikir dan seterusnya membuat rumusan.
 
Anwar tidak boleh dibiarkan jika kedudukan kita tetap samar dan tidak berpenghujung.