Dewan Ulamak PAS Pusat akan mengadakan Multaqa Ulamak Se-Malaysia di  Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar pada 14 September  bermula 8.00 pagi hingga 12.00 malam.

Pengarah Multaqa, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, program tersebut bakal menghimpunkan para ulama PAS di semua  peringkat dari seluruh tanah air bagi memperkasakan peranan ulama dalam  mengaktifkan diri kepada masyarakat.

Katanya lagi, multaqa itu  penting untuk penyatukan fikrah, kefahaman dan tindakan  para ulama ke  arah yang lebih tersusun dan bersistematik.

“Multaqa ini akan  memberi suntikan semangat kepada ulama pelapis dalam memastikan wujudnya kesinambungan perjuangan ulama yang terdahulu yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah,” ujarnya yang juga Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS  Pusat.

Katanya, konsep Multaqa Ulamak kali ini ialah ucaptama,  pembentangan kertas kerja, taujihat pemimpin dan wacana dengan  tajuk-tajuk semasa yang pastinya menarik perhatian semua dan kemuncaknya ceramah perdana pada sebelah malam.

Menurutnya, multaqa ini  mensasarkan kehadiran semua peringkat dalam kalangan ahli Majlis Syura  Ulamak PAS, ahli-ahli jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat, AJK  Kerja Ulamak PAS Negeri-Negeri dan Wilayah Persekutuan, seluruh ulamak  kawasan, ahli Dewan Ulamak PAS, tuan-tuan guru pondok, Mudir-Mudir  Sekolah Agama Rakyat serta alumni lepasan Pengajian Islam dalam dan luar negara serta seluruh lapisan masyarakat sebagai pemerhati.

Alhamdulillah, memang patut kita adakan multaqa ini pun. Pengaruh ulama’ pun saban hari saban berkurangan. Isu banyak. Ulama’ senyap. Yang bercakap golongan profesional. Sudahnya, ahli makin kenal engineer daripada ulama’.

Ana harap, multaqa ini juga jadi medan para ulama’ dalam parti kita ini bermuhasabah. Dengan jujur. Tanya diri sendiri, cukup atau tidak sumbangan. Atau hanya turun kerana fulus wal glamour. Itu yang tak berapa kena tu.

Ana tahu ada kalangan ulama’ yang tak mahu turun program kalau tak dapat bayaran sekian banyak. ‘Harga ana tinggi Sheikh’, selalu kita dengar alasan tu. Kalau kurang RM3000, tak mahu turun jumpa rakyat dan jamaah. Letih kita.

Kita faham, ulama’ pun ada tanggungan. Tapi biarlah berpada-pada. Kena juga ada pengorbanan untuk parti dan harakah.

Kalau semua ukur dengan fulus. Baik jadi UMNO.